Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 28 Jun 2013

Malas Yang Bahaya

Ramadhan Is Coming






















Tanpa terasa, waktu demi waktu berlalu dengan cepatnya, dan berapa hari lagi bulan suci Ramadhan akan tiba kembali lagi. Kehadirannya memberi harapan dan semangat kepada setiap Muslim, kerana ia akan membawa kenikmatan jiwa dan rohani dalam kehidupan ini.

Dalam menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini, orang-orang beriman menyambutnya dengan rasa gembira kerana kekasihnya Ramadhan akan datang, sehingga perintah shaum (puasa) yang diwajibkan Allah pada bulan itu dapat dilakukannya dengan baik. Nabi Muhammad Saw bersabda; “Siapa yang bergembira menyambut kedatangan bulan suci Ramadhan, Allah mengharamkan tubuhnya disentuh oleh api neraka” (Al-Hadis).

Tetapi ada juga orang yang menyambut bulan suci Ramadhan dengan perasaan tidak senang, sebab kedatangannya dianggap akan merugikan dirinya. Juga mengekang kebiasaannya yang dilakukannya di luar bulan Ramadhan, seperti makan dan minum di siang hari, merokok, dan sebagainya.

Ramadhan akan kembali menyapa kita, suatu bulan yang penuh dengan keberkatan. Kehadirannya membawa keberkatan yang melimpah ruah, kerana sebulan dalam bulan Ramadhan itu dibuka selebar-lebarnya semua pintu syurga dan dikunci semua pintu neraka,

“Sesungguhnya telah datang bulan yang penuh keberkatan, dimana telah difardhukan atas kamu berpuasa. Dibukakan pada bulan itu semua pintu syurga dan dikuncikan padanya semua pintu neraka dan dibelenggu pada bulan itu segala syaitan. Dalam bulan itu, ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. (HR. Ahmad, Nasai dan Baihaqi dari Abu Hurairah).

Khamis, 27 Jun 2013

Sikap Ibu Bapa Ketika Ibu Mengandung

















Kepada ibu yang sedang mengandung, perlulah anda tahu bahawa anak di dalam kandungan mula mengenal erti kehidupan sejak dari dalam perut lagi. Permakanan ibunya, tingkahlaku ibunya, tuturkata ibunya dan pelbagai lagi. Jadi perbanyakkan amalan yang baik untuk menjamin anak yang soleh sejak dari dalam kandungan lagi.

Rabu, 26 Jun 2013

Erti Ketenangan Yang Sebenar


















Seorang raja Abdullah membuat satu pertandingan melukis – tema lukisan untuk menggambarkan ketenangan…. 

Beribu peryertaan dihantar, akhirnya baginda memilih dua gambar sebagai pemenang.

“Antara dua ini, yang mana patut jadi juara?” tanya raja Abdullah.

Gambar pertama berkisarkan sebuah tasik yang tenang, aman dengan gunung-ganang di sekitarnya dan langit biru berawan. Cukup menggambarkan ketenangan.

Gambar kedua mempunyai gunung… tapi gunung yang botak… di atasnya langit mendung, hujan sedang turun dan berpetir… Antara gunung terdapat satu air terjun. Susah nak menggambarkan ketenangan, tapi cara lukisan itu menarik.

Baginda melihat lagi, di dalam gambar kedua, di tepi air terjun ada satu semak, yang seekor ibu burung telah membina sarangnya. Dalam aliran air yang ganas, ibu burung duduk di dalam sarangnya dengan penuh ketenangan.

“Ustaz, beta tak tahu nak pilih. Apa pandangan ustaz?” tanya Raja Abdullah kepada Ustaz Salahuddin.

“Apa erti ketenangan sebenar pada Tuanku?” tanya Ustaz Salahuddin.

“Tenang segalanya…,” jawab Raja Abdullah… “tapi tak pasti.”

“Sesuatu situasi yang tenang, boleh menjadi satu keresahan – jadi suasana tenang itu bukan kunci kepada ketenangan. Ketenangan tidak bermaksud bebas daripada bunyi bising, masalah dan kerja. Ketenangan sebenarnya adalah seperti ibu burung, di sebalik suasana yang tidak tenang, hati ia tenang berehat di dalam sarangnya. Itulah ketenangan sebenar…” terang Ustaz Salahuddin.

Gambar kedua akhirnya dipilih oleh Raja Abdullah…

Selasa, 25 Jun 2013

Jerebu: Bencana Dukhan dan Amaran Tuhan


Kita mempunyai pilihan untuk sekadar melihat jerebu ini sebagai satu kejadian bencana alam yang penjelasannya berlegar pada laporan berita serta penerangan saintifik. Namun Allah SWT memberi peringatan bahawa bencana-bencana hasil perbuatan tangan manusia itu, adalah kejadian bermesej daripada-Nya.

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [Al-Rum 30:41]

Apa yang sedang Allah bicarakan dalam musibah?

Kerosakan itu hasil kerja tangan manusia sendiri. Dan bencana kerosakan yang dialami pula, baru sedikit. Tangan manusia mampu menghasilkan bencana yang berganda-ganda lagi. Bencana datang bukan untuk menghukum. Tetapi mahu menyedarkan.

Agar kita kembali.

Bagaimana pula dengan asap jerebu? Langsung teringat kita kepada apa yang berlaku di zaman Nabi sallallahu alayhi wa sallam seperti yang disebut di dalam surah al-Dukhan :


  • Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat) 
  • Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan”. 
  • (Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!”. 
  • Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? Pada hal mereka telah pun didatangi seorang Rasul yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)! 
  • Sekalipun demikian, mereka juga berpaling ingkar daripada menerima keterangannya sambil berkata (sesama sendiri): “Dia seorang yang diajar (oleh bangsa asing), dia juga seorang yang gila!” 
  • Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar). 
  • (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya). 
BENCANA KAUM MUDHAR


Berkenaan ayat 10 hingga 14, Al-Bukhari (hadith 4821) dan Muslim (hadith 2798) mendatangkan riwayat Ibn Mas’ud radhiyallahu anhu bahawa sesungguhnya kaum musyrikin Mudhar apabila mereka berkeras mengingkari seruan Nabi Muhammad sallallahu alayhi wa sallam dan menentang baginda dengan segala bentuk keangkuhan dan kekejian, Baginda telah mendoakan mereka kemarau yang pedih seperti yang pernah menimpa umat manusia di hari-hari pemerintahan Yusuf alayhi al-Salam. Lalu mereka ditimpa dengan kemarau yang teruk hingga ke tahap menampung makan dengan menjamah tulang.

Ketika itu, langit mereka diselubungi asap tebal yang menyeksa. Kaum Mudhir mendatangi Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam merayu agar Baginda memohon kepada Allah agar diturunkan hujan untuk kaum Mudhar kerana sesungguhnya belenggu asap itu memusnahkan mereka.

Baginda telah memohon kepada Allah dan Allah memperkenankan permohonan baginda.

Hujan turun.

Al-Bukhari mendatangkan riwayat yang menyambung kisah tentang ayat ke 15 dan 16.

Setelah asap itu hilang, kehidupan kembali normal, mereka kembali kufur kepada Allah.

“Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar). (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).” 

Datang musibah, ingat Tuhan.

Dilepaskan sedikit daripada kesusahan, kembali kufur dan lupakan Tuhan.

Duhai bangsaku, jangan sampai Tuhan ‘berdendam’ dengan kita! Kembalilah!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Kredit: http://saifulislam.com/2013/06/jerebu-bencana-dukhan-dan-amaran-tuhan/

Isnin, 24 Jun 2013

Betapa Kecilnya Kita di Hadapan Allah


Alhamdulillah masih diberi kesempatan olehNYA untuk bersama-sama berkongsi ilmu.. Entry kali ni saya copy dari facebook.. diolah sikit agar mudah difahami. Moga dapat dimanfaatkan bersama. InsyaAllah.

1. Allah memberi setiap insan masalah agar kita belajar, tumbuh dan berperibadi yang lebih baik kerana masalah itu.

2. Jangan berperasangka buruk pada orang lain. Tapi jangan terlalu mudah mempercayai, kerana ada orang yang memang tidak boleh dipercayai.. berhati-hatilah..

3. Terkadang bila meminta maaf, bukan berarti anda salah. Itu hanya bererti anda lebih memilih persahabatan daripada ego di dalam diri.

4. Tidak ada masalah yang terlalu besar, atau rasa sakit yang terlalu dalam, selama kita sentiasa mahu mengingati Allah setiap detik, setiap saat. DIA tidak akan menguji, diluar kemampuan setiap hambaNYA.

5. Janganlah pernah mengeluh. Mengeluh adalah tanda kelemahan. Ingatlah, kita adalah makhluk Allah yang paling sempurna.

6. Semua orang melakukan kesalahan, anda harus cukup dewasa untuk memaafkannya, percayalah..bebanan rasa itu akan hilang. InsyaAllah…Belajarlah memaafkan, walaupun perit untuk ditelan.

7 . Apapun yang terjadi, jangan dijadikan beban. Berserah diri sepenuhnya pada Allah, dan yakin Allah telah merencanakan yang terbaik.

8. Saat anda terjatuh, sentiasalah senyum.. kerana orang yang pernah jatuh adalah orang yang sedang berjalan dan yang pernah jatuh adalah orang yang sedang berjalan menuju kejayaan.

9. Kekuatan manusia ada batasnya. Mintalah bantuan Allah untuk tiap-tiap masalah yang tidak dapat anda selesaikan sendiri.

10.Ada saatnya orang yang anda sayangi tidak akan bersamamu lagi. Nikmatilah setiap detik ketika mereka masih bersamamu.

11. Ketika seseorang menyakiti anda, anda akan membenci apa yang telah dia lakukan, tetapi kadangkala anda tidak dapat membenci dirinya...

12. Ketika bersedih, anda memerlukan seseorang untuk berkongsi rasa bersama...dan kadangkala, orang yang mampu melakukan itu adalah dia yang pernah membuatmu terluka.

13. Hakikat kehidupan.. amat menyedihkan ketika anda bertemu dia yang sangat bererti buatmu, hanya untuk mengetahui anda bukan orang yang tepat untuknya.

14. Jangan membalas mereka yang menyakiti anda, maafkan. Setiap kemaafan akan membuatkan mereka tak berdaya untuk menyakitimu lagi.

15. Anda tidak akan dapat apa yang anda inginkan jika anda hanya memikirkan yang anda tidak mampu dapatkan. Berusahalah.

16. Dalam hidup ini, terkadang anda harus meninggalkan seseorang agar dapat menemukan kembali jati diri .. dan kemungkinan.. dialah yang akan anda temui semula nanti.

17. Dengarkanlah suara hati anda, bukan suara hati orang lain. Kerana yang bertanggungjawab atas kebahagiaan anda adalah diri anda sendiri.

18. Jujurlah, jangan berbohong. Orang yang suka berbohong akan sukar untuk mempercayai orang lain, kerana ada ketakutan dia akan dibohongi. Janganlah takut dengan baying-bayang sendiri… sedangkan bayang-bayang sendiri akan hilang di dalam kegelapan.

19. Walau sebesar mana cinta anda pada seseorang…cintailah diri sendiri, belajarlah bertahan..dan bersedialah melepaskan.

20. Kenangan tidak akan berubah, meskipun orang dan watak di dalamnya telah berubah. Tapi anda harus bangkit jika ingin terus melangkah. serahkan semuanya pada Allah S.W.T.

INSYAALLAH ...SEMUANYA AKAN INDAH PADA WAKTU NYA

SALAM NISFU SYA'ABAN 1434H


Khamis, 20 Jun 2013

Dosa Umpat Kekal Jika Tak Diampun Mangsa



MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, "mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim). 

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat.

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).

Pahala Kita Menjadi Milik Orang, Dosa Orang Menjadi Milik Kita 

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". 

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya" .

Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.


Kenapa manusia boleh terjerumus ke dalam perangkap ghibah (mengumpat) ?

1. Lemah iman dan tidak takut kepada Allah. Seseorang yang lemah imannya, tidak akan mampu mengawal dan menguasai lidahnya.

2. Berkawan dengan orang yang suka mengumpat. Lantaran itu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengingatkan kita agar mendampingi orang yang baik-baik. Sabda baginda (maksudnya): “Seseorang itu mengikut cara hidup teman rapatnya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa teman rapatnya.” (Riwayat At-Tirmizi)

3. Dengki dan iri hati. Dengki merupakan penyakit hati yang terpendam di dalam diri seseorang. Orang yang dengki tidak senang hati melihat orang lain memperoleh nikmat daripada Allah dan bercita-cita agar nikmat tersebut segera hilang, malah kadang-kadang mendorongnya berusaha dengan langkah-langkah tertentu untuk menghilangkannya.

4. Cintakan dunia dan berlumba-luma untuk meraih keuntungannya. Al-Fuadhil bin Iyadh pernah berkata: “Tiada seorang pun yang cintakan pangkat kecuali dia akan berdengki, berbuat zalim, mencari-cari keaiban manusia dan tidak suka kebaikan orang lain disebut.” Sesetengah orang tidak melihat kecuali dirinya. Dia suka mengangkat dirinya dan menyebut keaiban orang lain.

5. Tidak tahu mengisi masa lapang. Sesetengah manusia berasa seolah-olah dia mempunyai banyak masa lapang dan tidak tahu mengisinya dengan perkara yang berfaedah. Lalu masa itu diisi dengan percakapan kosong sehingga terbawa-bawa kepada mengumpat dan mengorek rahsia orang lain.

Selamatkan diri daripada dosa ini dengan:

1. Takut kepada Allah pada setiap masa dan tempat. Bertakwa kepada Allah membantu kita berhenti daripada mengumpat dan dapat menghapuskan dosa-dosa lalu. Firman Allah bermaksud: “...Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan membesarkan pahala balasannya.” (At-Talaq: 5)

2. Sibukkan diri dengan membaiki kelemahan sendiri, jangan asyik memerhati kelemahan orang lain. Bak kata seorang penyair: “Perhatikanlah dirimu dan periksa kelemahannya; biarkanlah kekurangan manusia itu diurus oleh mereka.”

3. Membaca sirah para sahabat dan salaf as-soleh serta mendampingi orang-orang yang baik. Dengan itu kita dapat mencontohi akhlak mereka. Kata seorang penyair: “Tirulah mereka walaupun kamu tidak seperti mereka; sesungguhnya meniru seseorang tokoh akan membawa kejayaan.”

4. Muhasabah diri dan mencelanya ketika ia melakukan kesalahan. Itu merupakan cara yang dianjurkan untuk membaiki kesilapan diri.

5. Sentiasa menyedari kepentingan taubat daripada dosa ghibah dan sentiasa menanam azam untuk tidak melakukannya. Minta maaf daripada orang yang pernah kita umpat dan mohon ampun kepada Allah untuk diri sendiri dan untuk kaum Muslimin seluruhnya.


Moga-moga Allah memelihara lidah kita daripada ghibah dan menyelamatkan kita daripada fitnah dunia dan akhirat.

Selasa, 18 Jun 2013

Rasulullah juga pernah ditegur oleh Allah swt..

terimalah teguran dengan hati yang terbuka.

Kita sebagai manusia sangat sukar untuk menerima teguran atas kekhilafan diri sendiri. Semakin sukar apabila si penegur adalah orang bawahan atau pekerja kita. Ini berlaku di mana-mana sahaja kita berada. Teguran dan nasihat amat penting untuk kita cepat sedar dan seterusnya bangun memperbaiki diri. Namun, bukan semua mampu berbuat demikian.

Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyyah sendiri pernah menegur panglima zalim, Mahmud Ghazan ketika tentera beliau menjarah kota Baghdad. Bergitu juga apabila wali Allah, Sheikh Abdul Kadir al-Jailani yang menerima teguran daripada seorang ketua perompak. Ketua perompak itu menegur Sheikh Abdul Kadir untuk memperingati semua ilmu-ilmu yang diperolehinya bukannya bergantung kepada buku. Peristiwa itu berlaku semasa buku-buku Sheikh Abdul Kadir al-Jailaini dirampas dalam satu perjalanan menimba ilmu. Sejak itu, beliau terus menghafal setiap ilmu yang diperolehinya.

Tidak kira kita siapa, teguran mesti diterima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Percayalah, setiap teguran ada hikmahnya. Lihatlah teguran seorang perompak kepada seorang wali. Bagaimana teguran seorang perompak mampu mengubah 360 darjah cara pembelajaran seorang wali Allah. Itulah hikmahnya wahai saudara.

Percayalah bahawa, junjungan besar kita, Rasulullah saw beberapa kali ditegur oleh Allah swt dan ia disampaikan melalui wahyu. Jika melalui wahyu, ini bermakna, sehingga kiamat kita sebagai orang mukmin akan sentiasa membaca teguran Allah swt tersebut di dalam Al-Quranul karim.

Persoalannya, adakah Rasulullah menyembunyikan wahyu tersebut daripada kaum muslimin ketika itu? Jawapannya adalah tidak sama sekali. Rasulullah saw jika menerima wahyu baru daripada Jibrail as, beliau segera akan memanggil penulis wahyu iaitu Zaid bin Tsabit untuk berada di sampingnya. Itulah kelebihan dan sifat amanah Rasulullah saw yang wajib kita contohi yang mana tidak mungkin ditandingi oleh insan lain hari ini.

Daripada beberapa teguran Allah swt kepada Rasulullah saw ini terdapat hikmah di sebaliknya. Kepada pembaca, kutip dan gali hikmah daripada teguran Allah swt kepada Rasulullah saw.

Teguran Allah swt kepada Rasulullah saw 

Surah Abasa ayat 1-10 

(1) Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, (2) Karena Telah datang seorang buta kepadanya (3) Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa), (4) Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? (5) Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup (6) Maka kamu melayaninya. (7) Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman). (8) Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), (9) Sedang ia takut kepada (Allah). (10) Maka kamu mengabaikannya. 

Surah Abasa ayat 1-10 adalah surah khusus untuk mendidik dan menegur Rasulullah saw tentang perlakuan baginda terhadap seorang sahabat yang cacat perlihatan. Sahabat tersebut adalah Abdullah ibnu Maktum. 

Pada satu hari Abdullah Ibnu Maktum yang cacat perlihatannya telah datang kepada Rasulullah dan berkata, “Berikan pertunjuk kepadaku ya Rasulullah”.

Pada waktu itu, Rasulullah saw sedang sibuk untuk berdakwah kepada para pemuka Quraisy yang terdiri daripada Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahal), Umayyah bin Khalaf dan Al Walid bin Mughirah (ayah Saiyidina Khalid bin Al Walid).

Rasulullah saw berpaling kepada Abdullah namun tidak memperdulikan pertanyaan Abdullah Ibnu Maktum kerana kesungguhan baginda ingin memberi dakwah kepada lima pemuka Quraisy tersebut.

Abdullah ibnu Maktum menyedari hal itu lantas bertanya Rasulullah saw, “Adakah ia menggangu tuan?” Rasulullah saw menjawab, “Tidak”.

Maka, turunlah wahyu ke dalam hati Rasulullah saw saat itu juga bagi memberi peringatan dan teguran Rasulullah berhubung kelakuan baginda terhadap sahabatnya yang bernama Abdullah ibnu Maktum. Selepas saat itu, Rasulullah saw sentiasa mendahulukan Abdullah ibnu Maktum dalam segala hal. Abdullah ibnu Maktum sendiri pernah dilantik menjadi pemangku setelah Rasulullah keluar berjihad di jalan Allah. Abdullah ibnu Maktum juga dilantik menjadi muazzin selain Bilal bin Rabah. Abdullah ibnu Maktum meninggal dunia setelah syahid di medan peperangan. Moga Allah swt merahmati roh beliau.

Surah al-Tahrim ayat 1 

“Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” 

Ayat ini turun sebagai teguran kepada Rasulullah saw. Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah mengharamkan dirinya minum madu hanya untuk menyenangkan hati isteri-isterinya. Maka turunlah ayat teguran ini kepada baginda Rasulullah saw.

Surah at-Taubah ayat 84 

“Janganlah sekali-kali kamu menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati dari mereka (keadaan munafik), dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di atas kuburan mereka. Sesungguhnya mereka telah kafir pada Allah dan utusannya dan mereka mati dalam keadaan fasik.” 

Ayat ini turun ketika Rasulullah saw menyembahyangkan ketua munafik, Abdullah bin Ubai miskipun mendapat halangan daripada Saidina Umar al-Khattab ra. Saidina Umar al-Khattab ra sangat tidak setuju dengan tindakan Rasulullah saw kerana beliau tahu bahawa Abdullah bin Ubai adalah individu munafik dan merosakkan Islam dalam diam. Kerana tidak setujunya Umar ra, beliau telah menarik baju Rasulullah saw untuk menghalangnya melakukan solat jenazah. Akibat tindakan Saidina Umar ra itu, Allah swt menurunkan ayat di atas. Sejak daripada itu, Rasulullah saw tidak pernah hadir untuk menyembahyangkan orang-orang yang dikhabarkan munafik.

Surah at-Taubah ayat 43 

Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta? 

Ayat ini turun setelah Rasulullah saw memberi tolak ansur dan toleransi kepada golongan munafik untuk tidak turut serta dalam kempen perang memerangi musuh Islam. Golongan munafik memberi pelbagai alasan kepada Rasulullah saw sehingga baginda akhirnya memberi kelonggaran kepada golongan perosak akidah Islam ini. Lantas, ayat 43 dalam surah at-Taubah ini turun bagi menegur perbuatan baginda. Setelah jelas ayat yang diturunkan, Rasulullah saw tidak pernah bertolak ansur dengan golongan tersebut kemudian harinya.

Surah ali-Imran ayat 128 

Tak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka ituatau Allah menerima taubat mereka, atau mengazab mereka karena sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim. 

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Humaid bin Tsabit daripada Anas bin Malik ra, beliau berkata, 

“Rasulullah saw terluka di kepalanya semasa Perang Uhud, maka baginda bersabda: ‘Bagaimana akan beruntung kepada kaum yang melukai nabi mereka?’ Maka turunlah ayat “Tak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka”. 

Dalam satu riwayat lain pula, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah saw pernah patah gigi dan luka berdarah pada wajahnya semasa Perang Uhud, maka baginda bersabda, 

“Bagaimana akan beruntung kaum yang berbuat seperti ini kepada Nabi mereka, sedangkan ia (Nabi) mengajak mereka kepada Rabb mereka” 

Maka Allah swt menurunkan ayat 128 dalam surah ali-Imran bagi menegur Rasulullah saw,

Tak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka ituatau Allah menerima taubat mereka, atau mengazab mereka karena sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.

Surah al-Anfal ayat 67

“Tidak pantas bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuh-musuhnya di muka bumi. Kau menghendaki harta duniawi sedang Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu), dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.” 

Ayat 67 surah al-Anfal turun setelah selesaikan Perang Badar yang dimenangi oleh kaum Muslimin. Dalam perang tersebut, kaum muslimin telah menawan lebih kurang 70 pemuka Quraisy. Rasulullah saw telah menawarkan pandapat para sahabatnya tentang untung nasib 70 pemuka Quraisy tersebut.

Maka bangkitlah pendapat daripada Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra. Beliau berpendapat supaya dilepaskan sahaja tawanan tersebut. Kemudian, bangkit pula pendapat Saidina Umar al-Khattab. Beliau berpendapat supaya dibunuh sahaja tawanan tersebut. Kedua-dua pendapat daripada dua sahabat besar Rasulullah saw ada benarnya. Pendapat Abu Bakar lebih kepada tolak ansur dan berunsur pendamaian manakala pendapat Umar al-Khattab lebih memikirkan kepada ancaman kaum musyrikin yang bakal bangkit jika dilepaskan bergitu sahaja. Oleh sebab itu, pendapat Umar lebih kepada keselamatan kaum Muslimin di kemudian harinya.

Akan tetapi, Rasulullah saw memilih pendapat Abu Bakar as-Siddiq ra. Setelah itu, turunlah ayat 67 dalam surat al-Anfal. Para jumhul ulama berpendapat, Allah swt lebih menyenangi pendapat Umar al-Khattab. 

Maka diketahuilah bahawa, susuk paling unggul seperti Rasulullah saw sendiri juga ditegur oleh Allah swt dalam al-Quran. Namun, kita tidak boleh terkongkong dengan dakwaan bahawa Rasulullah saw ditegur oleh Allah swt menyebabkan ‘hilangnya’ sifat maksum milik baginda. Ia tidak benar sama sekali kerana teguran Allah swt terhadap baginda adalah untuk mendidik baginda dan bukan untuk menjatuhkan martabat kerasulan baginda Rasulullah saw.

Jika dilihat daripada segi logik akal, setiap perbuatan Rasulullah saw ditegur dalam wahyunya. Ia mencakupi hubungan Rasulullah dengan isteri-isteri baginda, sahabat dan musuh-musuh Islam.

Jikalau dihitung dengan jumlah ayat dalam al-Quran, berapa banyak ayat yang menunjukkan baginda ditegur oleh Allah swt? Hanya sedikit sahaja berbanding beribu ayat yang diturunkan oleh Allah swt.

Ini membuktikan Rasulullah saw hanya membuat kesalahan yang sangat kecil yang kemudiannya diperbetulkan pula oleh Allah swt. Yang lebih hebat adalah, kesalahan tersebut adalah normal bagi manusia biasa yang mana dengan kata lain, ia adalah tidak menjadi kesalahan jika manusia tersebut bukan bermaktabat seorang Rasul dan Nabi.

Namun yang pasti, teguran Rasulullah oleh Allah swt menunjukkan semua manusia WAJIB ditegur untuk memperbetul dan mendidik mereka. Kita jangan melenting jika ditegur kerana ingatlah Rasulullah saw juga pernah ditegur malahan sehingga hari ini kita akan membaca kisahnya dalam al-Quran. Siapalah kita ini berbanding Rasulullah saw jika ditegur pun melenting sakan.!

kredit: http://takusahrisau.wordpress.com

Isnin, 17 Jun 2013

ALLAH itu pemurah....dan manusia janganlah pula bersikap BAKHIL
































ALLAH itu pemurah....dan manusia janganlah pula bersikap BAKHIL

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda, “Tidak berpagi-pagi seseorang itu melainkan turun kepadanya 2 malaikat lalu seorang daripada kedua-duanya dengan berkata, “Ya Allah, berikan ganti kepada orang yang berbelanja”, dan seorang lagi pula berdoa dengan katanya, “Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil”. [Bukhari & Muslim]

- Islam menggalakkan umatnya supaya gemar membelanjakan harta dan membenci sifat kedekut (bakhil). 

- Harta yang dibekukan oleh seseorang akan dimusnahkan oleh Allah.

- Islam melatih umatnya supaya menjadi manusia yang pemurah dan tidak menjadi manusia yang bakhil. 

- Berbelanja atau tidak adalah hak seseorang sedangkan pembalasannya adalah hak Allah.

- Harus berdoa untuk orang yang pemurah supaya digantikan apa yang dibelanjakan dengan yang lebih baik daripada apa yang telah dibelanjakan, dan harus berdoa ke atas orang yang bakhil dengan dibinasakan hartanya yang ditahan daripada berbelanja pada jalan yang diwajibkan.

Sumber : Kitab Riyadh as-Solihin

Rabu, 12 Jun 2013

10 Ramuan Ubat Pencuci Dosa





















Sempena kedatangan bulan Sya'aban 1434 saya nak tambah sedikit lagi artikel untuk anda semua. Artikel bertajuk seperti diatas kiriman seorang rakangroup.

Hassan Basri telah bercerita bahawa suatu hari dia bersama seorang pemuda ahli ibadah berkeliling melalui jalan-jalan kecil dan beberapa pekan di negeri Basrah. Tiba-tiba ia bertemu dengan seorang tabib yang sedang duduk diatas sebuah kerusi, di hadapannya ada beberapa orang lelaki, perempuan, dan kanak-kanak yang sedang memegang botol berisi air di tangan mereka. Setiap orang meminta tabib itu menyebutkan ramuan ubat bagi penyakit masing-masing.

Hasan Basri mara ke depan tabib itu dan berkata: Tuan tabib! Adakah tuan mempunyai ubat yang boleh mencuci dosa, serta menyembuhkan penyakit hati?".

Berkata Tabib itu: "Ya, saya ada". Lalu pemuda itu berkata: "Berilah pada saya". Berkata Tabib itu: "Ambillah dari saya sebagai ramuannya sebanyak 10 perkara iaitu: Ambil oleh mu akar kayu fakir dan akar kayu tawaduk dan campurkan dengan pencuci kotoran perut bernama taubat. Lalu masukkan semua ke dalam lesung redha, dan giling sampai halus dengan pengetam Qana'ah. Kemudian masukkan ke dalam periuk taqwa, dan tuangkan ke dalamnya air hayak (malu). Lalu didihkan dengan api mahabbah (cinta). Selepas itu pindahkan dia ke dalam mangkuk syukur dan kipaskan dengan kipas angin rajak (harapan). Kemudian minumlah dia dengan sudu pujian. Jika engkau perbuat semua itu, maka dia bermanfaat bagimu, untuk melindungi dirimu dari semua penyakit serta bala di dunia dan di akhirat". Yang baik jadikan ikhtibar...

Ahad, 9 Jun 2013

Selamat Datang Syaaban


Alhamdulillah. Semoga Allah panjangkan usia kita untuk menikmati bulan Sya'ban dan bulan yang penuh mulia; bulan Ramadhan.

Bulan Sya'ban adalah bulan terakhir sebagai persiapan kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan. Maka pada bulan inilah sepatutnya kita memperbanyakkan lagi amalan-amalan yang sedia ada, contohnya memperbanyakkan puasa sunat.

Dari Aisyah R.HA katanya: "Tidak pernah Nabi SAW itu berpuasa dari sesuatu bulan lebih banyak daripada Sya'ban, kerana Beliau SAW itu berpuasa dalam bulan Sya'ban itu seluruhnya."

Dalam suatu riwayat disebutkan: "Beliau SAW itu berpuasa pada bulan Sya'ban, melainkan sedikit sekali yang tidak - yakni sebagian besar dalam bulan ini dipuasai." (Mutafaqun Alaih)

*Rujuk kitab Riyadhus Shalihin bab 225, hadis ke 1244 )

Selasa, 4 Jun 2013

KRONOLOGI DAN IBRAH PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ




























Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada / perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

  1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
  2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah, 
  3. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan), 

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. 

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat. 

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.




























Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Naik langit kedua. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Di Langit Ketiga: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang ketiga, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”.

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya. 

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj: 

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa’id)

Ahad, 2 Jun 2013

Pewangi Wangian Terwangi


SubhanALLAH, apabila ALLAH Subhana wa Ta`ala yang Maha Mulia Memuliakan seseorang hambaNYA, maka Menjadilah hamba itu semulia-mulianya walaupun seluruh makhluk menghina hamba itu sehina-hinanya...

Namanya senantiasa mekar mewangi walaupun mereka cuba untuk mencemarinya dengan pelbagai fitnah dan tohmahan... Persandingan diantara kebathilan dan kebenaran tidak akan pernah terjadi, yang berjaya mendapatkan kebenaran pasti kerna terhidu wangian budi pekertinya yang agung, sungguh indah, menyegarkan iman...

Maka wahai ALLAH, Dzat yang Maha Mulia, Pemilik segala kemuliaan, yang Menganugerahkan kemuliaan itu kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki, Muliakanlah kami dengan berkah Kemuliaan hambaMU yang terpilih, Junjungan kami Nabi Muhammad ShalALLAHu `alaihi wa Alihi wasalam, agar kami Memuliakan Baginda ShalALLAHu `alaihi wa Alihi wasalam dan apa-apa yang Engkau Muliakan... Bantulah dan Bimbinglah kami untuk bersungguh-sungguh dalam mengikuti dan mencontohi Baginda ShalALLAHu `alaihi wa Alihi wasalam dan segala ajaran Baginda ShalALLAHu `alaihi wa Alihi wasalam yang mulia...

Ampunilah dan Maafkanlah kami diatas segala kecuaian kami yang telah kami perbuat secara sedar mahupun tidak, sungguh Engkau tidak Cuai dalam PengawasanMU terhadap kami samada yang terdetik dalam hati kami, yang terlintas difikiran kami dan segala gerak dan diam kami... Curahkanlah Taufiq, Hidayah dan `InayahMU keatas kami dan juga mereka sederas-derasnya, sungguh Engkau Maha Mengetahui apa-apa yang telah terjadi dan akan terjadi, maka Tentukanlah ia seindah-indahnya wahai yang Maha Indah, Tentukanlah ia dengan KelembutanMU, wahai yang Maha Berlemah-Lembut, wahai ALLAH...

Jangan... Jangan... Jangan pernah Tinggalkan kami, wahai ALLAH, tidak pada bathin, tidak pada zahir, tidak di dunia, tidak saat sakaratul maut, tidak di alam barzakh, tidak di Akhirat, tidak dihari pertanggung-jawaban, tidak di shirat, tetaplah Bersama kami, dan Jadikanlah RedhaMU sebagai teman sejati bagi kami, wahai ALLAH...

Tiada daya dan upaya kami melainkan dengan Bantuan dari ALLAH yang Maha Agung... Inilah doa kami dan dariMU `Ijabahnya, wahai yang Maha Dekat, wahai yang Maha Mendengar segala doa dan Mengabulkannya, wahai yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dengan berkah dan kemuliaan Nabi Muhammad ShalALLAHu `alaihi wa Alihi wasalam yang Engkau Pilih dan Utuskan sebagai Rahmat untuk sekalian alam... `ala hadzihi niyyah wa kulli niyyatin shalihah wa ila hadratin Nabiy al-Musthafa ShalALLAHu `alaihi wa Alihi wasalam, al-Fatihah...♥

kredit:  ukhti27.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...