Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 29 April 2011

Islam Hanya Pada Nama

سم الله الرحمن الرحيم

Alhamdullilah. Syukur kepada Allah kerana kita masih lagi dapat bersama hari ini. Apa-apa pun saya harap kita semua semakin hari semakin mendalam ilmu kita kepada ajaran Islam.

Alhamdulillah, selepas Solat maghrib, diadakan slot Tazkirah di Masjid An-Nahdah Shah Alam. Alhamdulillah, saya hari itu yang sudah maklum akan program pengisian ini bersedia dengan sekeping kertas yang dilipatkan dalam poket baju melayu dan sebatang pen.

Sememangnya zaman sekarang ini sudah terbalik, kebanyakan kita yang menghadiri Majlis Ilmu datang dengan tangan kosong, dan tokguru / ustaz yang datang ingin memberi kuliah itu membawa kitab. Kalau zaman tok nenek kita dulu, tokguru datang dengan sehelai sepinggang, dan para pendengar sekalian bersiap sedia dengan kitab rujukan / buku nota.

Zaman sudah berubah... kesedaran untuk menuntut ilmu kurang, kita sekadar datang untuk mendengar, itupun kebetulan pihak masjid mengisi ruang-ruang antara maghrib dan isyak dengan Kuliah Agama. Kalau tak ada, mungkin kita lebih suka berbual atau menonton televisyen di rumah dari menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid.

Berbalik kepada program tazkirah sesudah Solat maghrib tadi, saya kongsikan sedikit ilmu yang sempat saya catatkan, sebagai peringatan untuk kita semua terutamanya diri saya sendiri. Itulah pentingnya kita yang menghadiri majlis ilmu ini bersedia dengan buku nota dan pen, catatan itu dapat kita simpan dan boleh kita membacanya kembali, kalau harapkan ingatan kita saja untuk mengingati segala ilmu yang disampaikan, rasanya tak sampai 2,3 hari, maklumlah kita manusia ini sifatnya pelupa, ditambah lagi dengan kita mendengar dan melihat perkara-perkara lagha di televisyen, akhbar, semua yang bermanfaat hilang begitu sahaja.
Antara tazkirah yang disampaikan :

Seorang mualaf yang baru memeluk Islam. Terharu apabila beliau menceritakan detik-detik beliau terbuka pintu hati untuk memeluk agama Islam.

Beliau muda juga orangnya. Nak dekat 30. Alhamdullilah. Tetapi hari ini saya nak berkongsi sedikit pengajaran dan pengalaman beliau…

Apa yang saya nak ceritakan pada hari ini, kita yang lahir telah atau secara automatiknya menjadi Islam diatas kertas tidak begitu berbangga dan bersyukur kerana kita dianugerahkan agama Islam kepada kita.

Pada diri kita, janji kita tahu mengucap, tahu sebut nama Allah dan Nabi S.A.W, solat sekadar yang kita mampu itu sudah mencukupi kerana kita langsung tidak mahu membincangkan dan memikirkannya.

Bagaimana perasaan anda apabila orang yang berbangsa cina atau india yang baru memasuk Islam dan dapat menghayati Islam lebih baik dari kita dan satu hari dia menyoal kita sesuatu perkara dan kita tidak dapat menjawabnya?

Pernahkah anda terfikir bagaimana perasaan kita diwaktu itu? Adakah hati kita akan diam begitu sahaja? Atau adakah hati kita akan merasa malu kerana orang yang baru memeluk Islam itu lebih pandai agamanya berbanding diri kita yang telah Islam sejak lahir TETAPI satu ilmu pun tidak ada?

Soallah hati anda? saya begitu sedih apabila sahabat mualaf semalam berceritakan alangkan bertuahnya anak-anak melayu yang sejak lahir telah memeluk Islam sedangkan dirinya baru terima Islam pada lewat 20an.

Alangkan bagusnya jika dia memeluk Islam sejak lahir lagi seperti diri kita anak-anak melayu? itulah sebahagian kata-katanya yang membuatkan saya tersentak dan terharu serta sedih apabila memikirkan bahawa banyak anak-anak melayu sebenarnya leka dengan pentas duniawi ini.

Beliau banyak berbicara mengenai Islam. Seronok juga dapat mengetahui dari hati beliau dan bagaimana terbuka pintu hatinya untuk menerima Islam. Salah satu sebab beliau memasuk Islam adalah kerana beliau ingin mencari TUHAN? Beliau mengkaji kesemua agama yang ada di negara ini. Dari satu agama ke satu agama sehinggalah beliau terjumpa dengan salah satu ayat Al-Quran yang betul-betul terbuka pintu hatinya iaitu surah Al-Ikhlas...

Bismillahhirrahmanirrahim :
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyanyang.

Qulhuwallahhuahad :

Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.

Allahhussamad :
Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

Lamyalidwalamyulad :
Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan.

Walamyakullahukufuwanahad :
Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Pada waktu ini cubalah anda meneliti kenapa beliau begitu tertarik pada ayat diatas sehingga dia memeluk Islam? Fikirkanlah dan renungkanlah sejenak!

Kesimpulan

Islam adalah cara hidup kita secara menyeluruh. Dari cara berbahasa, berpakaian, makanan, beri nama anak, cara berurus-niaga, perkahwinan dan sebagainya. Sedar atau tidak kita sering diperhatikan oleh orang bukan Islam. Niat kita mengamalkan sesuatu perlu sentiasa kerana Allah... dan secara tidak langsung menunjukkan ciri-ciri istimewa sebagai seorang yang bergelar muslim ini kepada orang lain. Kita orang Islam beruntung, ada panduan Al-Quran dan sunnah peninggalan Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sudah hampir tiba suatu masa di mana tidak ada yang tinggal pada ISLAM kecuali namanya sahaja dan tidak tinggal pada AL-QURAN kecuali tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka tersergam indah, namun kosong / roboh dari petunjuk. Ulama' mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kulit langit dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali."

Yang BARU terbuka hati dengan Islam, apakah agaknya hati mereka tentang Islam.

Selalu kita dengar mualaf cakap;

"Saya syukur kenal Islam sebelum kenal orang Islam. Barangkali saya tidak peluk Islam kalau kenal orang Islam sebelum kenal Islam."

Subhanallah!

Kadang-kadang ada juga terfikir...orang yang dilahirkan dalam agama Islam pun agak payah untuk menjiwai Islam. Tapi, mualaf yang baru memeluk agama Islam... menjiwai agama Islam seperti dari kecil dia dah mengetahui keindahan Islam...rasa terharu, dan harap-harap jiwa dan minda saya akan terus sentiasa menjiwai dan mencintai agama Islam yang indah...

Mulakan Islam Dari Diri Kita

Untuk meningkatkan komitmen kita terhadap Islam, banyak yang mesti kita lakukan. Langkah berikut merupakan beberapa langkah dasar yang patut dilaksanakan:

1.Meningkatkan pengetahuan Islam secara sempurna dan menyeluruh:Perlulah memahami ilmu tentang Allah, Rasul dan al-Quran. Untuk melahirkan keyakinan dan kekuatan iman mustahil diperolehi tanpa pengetahuan terhadap apa yang diimani. Ertinya, tahap keimanan, banyak ditentukan oleh tahap pemahaman seseorang.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."(Surah az-Zumar ayat 9)

Oleh itu sebagai seorang Muslim ilmu pengetahuan mengenai Islam yang asas dan menyeluruh perlulah dipelajari dan difahami supaya kefahaman kita bukanlah berdasarkan ikutan semata-mata. Kerana Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Dewasa ini umat Islam hanya memahami secara serpihan yang terpisah-pisah dan tidak difahami secara satu sistem hidup.

2. Memperbanyakkan amal soleh dan mempertingkatkan ketaatan.

3. Zikir dan fikir: Zikir adalah mengingati Allah beserta sifat-sifat-Nya, kebesaran-Nya dan membaca kitab-Nya; sehingga hati selalu berhubung dengan Allah s.w.t.


Jika anda ingin menjaga Islam, mudah sahaja petuanya, mulalah dengan jaga perangai anda sentiasa. Jadilah umat Islam yang boleh dicontohi oleh orang lain. Tunjukkan Islam itu syumul dan maha adil dalam tindak tanduk kita. Ingatlah jaga perangai sendiri adalah juga tugas menjaga maruah Islam dan agama Allah.
                                                                                                                                      Jiwa Hamba

Selasa, 26 April 2011

Fadhilat Istighfar

سم الله الرحمن الرحيم

  • Sabda Rasulullah SAW : "Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70 X sehari, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk)." Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah SAW menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendiri melakukannya lebih dari 100 kali sehari.
Adalah diingatkan untuk mencapai target ini, eloklah kita menjadualkan amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.
  • Sabda Rasulullah SAW : "Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita".
  • Istighfar juga memurahkan rezeki. Jangan dianggap rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit atau harta benda. T etapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak.
  • Sedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Sedekah juga termasuk:
  1. Tuturkata / percakapan yang baik. Yang paling utama ialah terhadap keluarga sendiri. Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak menambat hati suami. Diriwayatkan, Saidatina Khadijah ra, isteri Rasulullah SAW yang pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang hayat baginda SAW, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga sering menyebut nama beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu di kalangan isteri-isteri baginda. Diriwayatkan juga, Jibril as setiap kali selepas memberi wahyu kepada Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah. Suatu hari Rasulullah SAW telah bertanya beliau dan jawab Jibril, "Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tuturkatanya".
  2. Memberi salam.
  3. Memaniskan wajah. Juga terutamanya kepada ahli keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda,"Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah." Terdapat juga suatu syair Arab yang berbunyi :"Nak buat baik, sangatlah mudah, Maniskan wajah, lembutkan lidah." Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW marilah kita bertafakkur dan bermuhasabah diri-diri kita. Sekiranya terdapat sifat-sifat buruk yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka itu, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang.

Khamis, 21 April 2011

Masa depan Untuk Islam

سم الله الرحمن الرحيم


Asalamualaikum,


Semakin gelapnya malam menandakan semakin dekatnya siang, begitu juga semakin kuat Islam di tekan dan di tindas menunjukkan musuh-musuh Islam merasa terdesak disebabkan tidak dapat menahan gelombang Islam.

Pejuang pejuang Islam semakin ditekan dan di fitnah dengan pelbagai cara. Tapi kita yakin dengan janji Allah, Islam pasti menang dan sistem Islam bakal menjadi ikutan negara-negara barat.

Islam bakal kembali menjadi Agama paling popular suatu hari nanti.
Masa depan adalah untuk Islam, dan petanda awal kearah itu sudah kelihatan.

Seorang pemikir Eropah, Goerge Bernard Shaw secara jujur pernah mengatakan
Saya yakin ajaran Muhammad ini, suatu hari nanti akan di terima oleh Eropah."

Walau bagaimanapun kemenangan Islam bukanlah sessuatu yang mudah, ianya memerlukan
perjuangan dan pengorbanan dari kita semua. Islam akan bersinar dibumi Malaysia dan dunia umumnya walaupun cuba di halang oleh musuh dengan pelbagai cara dan taktik. Benarlah janji Allah.

"Mereka hendak memadam cahaya agama Allah dengan mulut mereka. Allah tetap akan menyempurnakan cahaya agamaNya, walaupun dibenci oleh orang-orang kafir."
As-Saff ayat 8

Walaupun hari ini, kualiti ummat Islam berada di tahap rendah kerana ditimpa penyakit Al-Wahan (cinta dunia), melemah dan merosakkan ummat. Sehingga mereka kehilangan taring dan kehebatan. Cinta dunia perlu diganti dengan cinta terhadap Allah tanpa mengabaikan kehidupan dunia. Orang yang benar-benar cintakan akhirat akan sanggup melakukan apa saja untuk menentang arus kezaliman dan kemungkaran.

Jihad yang paling besar ialah menyatakan kebenaran dihadapan pemimpin yang zalim. Mereka yang seperti ini adalah Ashabul kahfi di zaman moden. Sabda Rasullulah SAW,

"Islam itu bermula dalam keadaan terasing dan akan kembali terasing seperti permulaannya. Maka berbahagialah golongan 'Ghuraba'. Sahabat bertanya siapakah Ghuraba, ya Rasulullah?.

"Mereka adalah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan oleh manusia"
Hadis Riwayat Ahmad

Dalam usaha dakwah, perasaan kecewa dan putus asa perlu dibendung. Apatah lagi bila berhadapan dengan kekuatan musuh yang ketara. Yakinlah Allah tidak pernah memungkiri janji.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya lebih kurang.

"Roda putaran Islam itu akan berputar, ada kalanya Islam berada di atas adakalanya berada di bawah, hendaklah kamu bersama-sama dengan jemaah Islam tidak kira samaada semasa Islam berada di atas atau di bawah" (kalau tersalah harap tolong betulkan)

"Allah pasti menolong orang yang membantu agamanya"
-surah Al-Haj ayat 38-

Persoalannya sejauh mana kita berjuang untuk Islam...

Rabu, 20 April 2011

Malu itu sebahagian iman

سم الله الرحمن الرحيم



MALU ITU SEBAHAGIAN IMAN. Begitu sabda Rasulullah 1418 tahun lalu. Malu yang dimaksudkan ialah malu kepada Allah. Malu untuk melakukan maksiat dan malu meninggalkan taat.


Jika malu itu 50% daripada IMAN, mana 50% lagi. Yang selebihnya ialah TAKWA. MALU DAN TAKWA adalah gandingan sifat yang menjadikan seseorang mempunyai 100% keimanan. Takwa bermaksud bukan saja takut kepada Allah tetapi lebih daripada itu 'buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang ditegah'

Jika sekadar takut saja tak jadi apa-apa. Misalnya takut gagal dalam peperiksaan tidak bererti jika tidak diikuti dengan rajin membaca buku dan mengulangi pelajaran. Takut kepada Allah mestilah diikuti dengan melakukan ketaatan dan menjauhi larangan.

Ukurlah diri kita berapa peratuskah sifat MALU dan TAKWA yang ada pada diri kita. Itulah darjah keimanan kita. Bak kata orang periksalah diri kita sebelum kita diperiksa.

Ulama pernah menyebutkan 'bertafakkur satu saat (dalam memikir kebesaran Allah) adalah lebih baik daripada beribadat 1000 tahun'. Ini jangan disalahtafsirkan sebagai tak perlu beribadat memadai dengan tafakkur. Ia cuma memberi gambaran bahawa tafakkur menjadi faktor utama dalam mencari kekuatan beribadat.

Proses musyahadah perlu dilakukan secara konstan sehingga menjadi darah daging. Atau sehingga terasa benar di dalam diri kita tentang kebesaran Allah dan merasakan bahawa 'tidak ada sesuatu yang Allah jadikan secara sia-sia'. Kesemuanya ada hikmah yang di luar kemampuan kita untuk memikirkannya.

Musyahadah menjadi satu daripada beberapa jalan untuk mendapat 'iman'. Dengan iman ini kita akan berasa lazat berzikir, mencari ilmu agama, melakukan ibadat fardu, menambah dengan ibadat sunat serta berusaha mencari keredhaan Allah. Sebaliknya kita benci melakukan kejahatan sebagaimana takutnya kita menghampiri kepada api neraka. Barulah ketika itu kita merasakan kelazatan iman dan terasa hubungan yang rapat dengan Allah disebabkan oleh keredhaan Allah terhadap diri kita.

Di samping melakukan proses musyahadah, kita perlu melakuakn muraqabah yakni menghampirkan diri terhadap Allah dengan melakukan segala amal fardu dan sunat. Amalan 'hablum min'Allah' (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan dengan manusia). Kita perlu menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia.

Dalam hubungan ini, Allah sering mengingatkan kita supaya berjalan/melawat di muka bumi Allah dengan niat melihat kebesaran Allah sambil memerhatikan balasan yang Allah timpakan kepada mereka yang menganiaya diri mereka sendiri.

Semoga dengan coretan di atas dapat menjadikan diri kita khususnya diri saya sendiri orang yang sentiasa muhasabah diri dan bermusyahadah serta bermuraqabah mudah-mudahan kita diterima menjadi orang yang soleh yang bakal menghuni syurga di akhirat kelak. Amin ya Rabbal Alamin.

Ahad, 17 April 2011

Jangan berat menyebut nama ALLAH

سم الله الرحمن الرحيم


- Al- Habib Munzir al Musawa -

Namun tujuan adalah satu,
Iaitu saat berjumpa dengan Rabbulalamin,
Berakhir seluruh apa yang kita lewati,
Dari kehidupan dunia, kepada tujuan tunggalnya, iaitu berjumpa dengan ALLAH.

Hadirin hadirat ingatlah,
Akan datang suatu saat bibir kita tidak bisa lagi bergetar menyebut nama ALLAH,
Di saat itu kita diturunkan ke dalam kubur kita,
Dan wajah kita dibuka, dan wajah kita diciumkan ke tembok kubur kita,
Lalu kita dikuburkan dan ditinggal oleh semua kerabat.

Di saat itu tidak ada kekasih,
Di saat itu tidak ada jawatan,
Di saat itu tidak ada harta

Itulah hadirin hadirat,
Kita sendiri,
Dan di saat itu beruntunglah, mereka yang selalu berzikir,
yang mengingat ALLAH dan ALLAH mengingatnya,
yang merindukan ALLAH dan ALLAH merindukannya

ALLAH masih terus bersabar
yang ditunggu adalah hamba pendosa, hamba yang hina,
yang hidup dari berasal dari sebutir sel,
dan akan berakhir sebagai bangkai,
makanan-makanan haiwan di dalam tanah,
menanti hambanya memohon taubat,
DIAlah yang Maha Baik,
DIAlah yang Maha Mulia,

Setelah kita diberi kehidupan, diberi jasad, lantas allah meminjamkan pula dunia ini berserta isinya, meminjamkan matahari meminjamkan bulan, meminjamkan daratan, meminjamkan haiwan dan tumbuhan,meminjamkan air dan lautan yang kesemuanya adalah milik ALLAH.
Kita tidak menyewanya, tidak pula membelinya, tidak pula berdoa untuk meminjamnya, ALLAH yang memberinya sebelum kita meminta.

Hadirin hadirat,
Sedemikian luasnya rahmat ilahi, dan kasih sayangnya melebihi semua kasih sayang,
melebihi kasih sayang ibunda kita kepada kita, melebihi kasih sayang kekasih kita kepada kita.

Hadirin hadirat,
Jangan tahan lidahmu menyebut nama ALLAH,
Jangan berat menyebut nama ALLAH,
Dosa apa yang membuat lidah kita berat menyebut nama ALLAH,

Kami berlindung padamu dari pedihnya siksa kubur,
Kami berlindung padamu dari pedihnya siksa neraka ,
Pastikan kami selamat dari ini semua.

"Syukran Ya ALLAH"

Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita!

سم الله الرحمن الرحيم




Hati sayu dengan kata-kata yang disampaikan oleh Ustaz Asri....Muhasabahlah diri...Sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita...

Ingatlah...walaupun kita rasa kita disisihkan oleh manusia...ingatlah...ALLAH ada bersama kita...ingatlah.. subhanallah...sayu sangat hati ini...........

Hasbunallah Hu Waniaq mal wakil...

Sabtu, 16 April 2011

Nasihatilah Manusia Walaupun Engkau Seorang Pendosa

سم الله الرحمن الرحيم



"Saya bukan lah hebat untuk menegur orang"

"Saya bukan lah seorang ustaz"

"Saya bukan lah seorang ustazah"

Nasihatilah Manusia Walaupun Engkau Seorang Pendosa...Amanahmu sebagai KHALIFAH di atas muka bumi: "AMAR MAKRUF NAHI MUNKAR"

Mungkin ada sebahagian orang yang tidak tergerak hatinya untuk menasihati manusia, karena ia merasa banyak melakukan dosa dan tidak layak untuk mengucapkan ucapan kebaikan kepada sesama manusia.


Pandangan seperti itu adalah keliru dan bahayanya sangat besar, serta akan membuat
bahayanya sangat besar, serta akan membuat syaitan gembira.

Betapa tidak, kerana jika mesti menunggu sampai seseorang bersih dari dosa baru ia layak menasihati manusia, maka tidak ada seorangpun dimuka bumi yang layak memberi nasihat setelah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tercinta.

Sebagaimana dikatakan seorang penyair :

إذا لم يعظ في الناس من هو مذنب
فمن يعظ العاصين بعد محمد

Apabila seorang pendosa itu tidak menasihati manusia, Maka siapakah yang akan menasihati orang-orang yang berdosa setelah Nabi Muhammad kita”.

Sa’id bin Jubair berkata :

“Apabila seseorang tidak memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar, hingga ia menunggu dirinya bebas dari kesalahan, maka tidak akan ada seorangpun yang memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar”.

Imam Malik setelah mendengar perkataan Sa’id bin Jubair berkata :

“Benar apa yang dikatakan Sa’id. Siapakah yang tidak memiliki sedikitpun dosa dalam dirinya?”.

Al Hasan berkata kepada Mutharrif bin ‘Abdillah :

“Berilah nasihat kepada sahabat-sahabatmu”. Mutharrif menjawab : “Sesungguhnya aku takut mengatakan apa yang tidak aku kerjakan”.

Al Hasan balik berkata :

“Semoga Allah merahmati dirimu. Tidak ada seorangpun diantara kita yang melakukan semua yang diperintahkan Allah. Syaitan akan gembira apabila kita berpikir seperti itu sehingga tidak ada seorangpun yang memerintah kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari kemungkaran”.

Berkata Ibnu Hazm :

“Apabila orang yang mencegah dari perbuatan keji mesti orang yang tidak memiliki kesalahan, dan orang yang memerintah kepada kebaikan mesti orang yang selalu mengerjakan kebajikan, maka tidak ada seorangpun yang mencegah dari yang munkar dan tidak ada seorang pun yang mengajak kepada kebaikan setelah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam.”

(Semua nukilan diatas dapat ditemukan dalam kitab Al-Jami’ li Ahkamil Qur’an : 1/367, Al-Qurthubi).

Imam Nawawi berkata :

“Para ulama menyatakan bahwa tidak disyaratkan pada orang yang memerintah kepada kebaikan atau orang yang mencegah dari kemungkaran untuk mencapai kesempurnaan dalam segala hal. Tapi, ia mesti tetap mengajak kepada kebaikan walaupun ia memiliki kekurangan dalam hal yang ia ajak kepadanya, dan ia tetap mencegah kemungkaran walau ia terkadang mengerjakan apa yang ia cegah. Karena sesungguhnya wajib pada dirinya dua perkara yaitu : mengajak dirinya sendiri ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran; dan mengajak orang lain ke arah kepada kebaikan dan mencegah mereka dari yang mungkar. Tidak boleh ia melalaikan salah satu dari dua perkara tersebut”.

(Syarah Shahih Muslim : 2/23, An-Nawawi).

Semoga kita termasuk orang-orang yang selalu saling menasihati dalam kebaikan.


Khamis, 14 April 2011

Bila Dunia Dibesar-besarkan Dan Dakwah Ditinggalkan

سم الله الرحمن الرحيم


Rasulullah s.a.w bersabda

“Apabila umatku membesar-besarkan dunia nescaya kehebatan Islam akan dihapuskan dari mereka, dan apabila umatku mengabaikan amal-makruf dan nahi-mungkar nescaya mereka akan diharamkan dari keberkatan wahyu.

1) Apabila dunia terlalu dibesar-besarkan, tercabutlah kehebatan agama Islam. Misalnya kerana terlalu mengejar kemewahan dunia, sembahyang jemaah dan pengajian agama ditinggalkan.

Dunia ini sangat kecil berbanding akhirat. Bahkan dijelaskan dalam hadith dari Aisyah dari Nabi s.a.w sabdanya “ Dua rakaat sebelum subuh lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (HR Muslim )

Islam menekankan kedua-duanya, dunia dan akhirat.

Qasas [77] Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia …

Dunia ini adalah jambatan untuk ke akhirat. Hadis daripada Anas r.a yang diriwayatkan oleh Ibn `Asakir, maksudnya:

"Tidaklah dikira baik sifat orang yang membelakangkan “keadaan hidupnya” di alam dunia ini kerana berusaha untuk kebaikan dan kebahagiaan akhiratnya semata-mata, juga tidak dikira baik sifat orang yang membelakangkan kewajipan akhiratnya kerana berusaha untuk “keadaan hidupnya” di alam dunia ini semata-mata; tetapi baiknya sifat seseorang apabila ia berusaha untuk “keadaan hidupnya” di alam dunia ini dan untuk kebaikan, kebahagiaan akhiratnya sama, kerana keadaan hidup di alam dunia ini sungguhpun telah ditetapkan Allah menjadi sebab yang menyampaikan seseorang kepada kebahagiaan akhiratnya tetapi janganlah seseorang membiarkan dirinya menjadi beban kepada orang lain menjaga “keadaan hidupnya” di alam dunia ini, bahkan hendaklah ia sendiri berusaha menjaganya.

Tiap-tiap kebaikan atau dosa yang dilakukan di sini (dunia) akan dihantar ke sana.

Ali-Imran [30](Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya) dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya…

An-Nahl (96) (Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

2) Apabila amal ma’ruf dan nahi mungkar ditinggalkan, hilanglah keberkatan wahyu.

Bila manusia tidak mengajak ke arah kebaikan dan melarang kejahatan, maka ayat quran yang dibaca tidak lagi menjadi penawar. Sepertimana bila dakwah ditinggalkan. Tanpa usaha dakwah (amal ma’ruf dan nahi mungkar) Allah tidak terima doa.

Sabda Rasulullah SAW:Demi Allah (SWT) s.w.t yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf (baik) dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar (keji). Jika kalian tidak melakukannya Allah (SWT) s.w.t akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan.(Riwayat Tirmidzi)

Rabu, 13 April 2011

Hormati Guru dan Ulama

سم الله الرحمن الرحيم






Kesimpulan yang bermanfaat daripada isi ceramah :

Rasulullah SAW bersabda :"Sesiapa yang Allah ingin memberikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah memberi dia kefahaman yang baik tentang agama" (Muttafaqun ‘Alaih dari Mu'awiyah r.a). Maka jika ingin berubah menjadi orang yang baik, kenalah belajar dan faham tentang agama.

2. Firman Allah SWT : "Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”. (Surah Al-Baqarah, ayat 269)

3. Firman Allah SWT : “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”. (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

4. Allah angkat martabat orang yang berilmu itu pada jarak 500 tahun perjalanan menuju ke syurga mendahului orang yang tidak berilmu.

5. Apabila Allah memberikan ilmu kepada kita, maka perangai kita, tingkahlaku kita, sepatutnya sesuai dengan ilmu dan keimanan yang Allah SWT bagi. Kerana semakin orang itu berilmu, semakin tawadhu' orangnya. Semakin orang itu beriman, semakin dia merendah diri. Semakin orang itu bertambah ilmu, semakin diam mulutnya. Semakin orang itu diberikan hidayah oleh Allah, semakin insaf dirinya. Tetapi jika seseorang itu apabila semakin bertambah ilmunya, semakin sombong pula dia, maka ada sesuatu yang tidak betul dalam diri dan juga pengajiannya.

6. Guru yang mengajar itu menjadi teladan kepada orang yang diajarnya. Jika guru yang mengajar itu kasar, maka anak didiknya juga akan menjadi orang yang kasar. Tetapi apabila gurunya seorang yang tawadhu', anak didiknya juga akan menjadi orang yang tawadhu'.

7. Ilmu itu membentuk dan mendidik diri kita. Iman dan ilmu yang baik akan membentuk jiwa yang baik dan akhlak yang baik.

8. Allah SWT meletakkan iman dan ilmu itu adalah sebenar-benarnya darjat yang membezakan kedudukan setiap manusia disisi Allah. Darjat manusia disisi Allah adalah bergantung kepada tahap keimanan dan keilmuan seseorang, bukannya terletak kepada harta kekayaan, pangkat, keturunan ataupun rupa paras seseorang.

9. Yang menjadi kesedihan hari ini, terlalu banyak orang yang ingin bercakap tentang agama, yang kurang faham tentang agama pun nak bercakap tentang agama. Perkara inilah yang boleh merosakkan dan menyesatkan akidah dan akhlak umat Islam hari ini. Misalnya ditanya hukum bernyanyi kepada seorang penyanyi, ditanya hukum rasuah kepada orang yang tidak amanah. Maka, biarlah mereka yang 'ahli' sahaja yang bercakap tentang agama. Siapakah mereka yang 'ahli' itu? iaitu mereka itulah para alim dan ulama, maka rujuklah kepada mereka ini. Biarlah ulama yang menasihatkan kita.

10. Hari ini kita akan mendengar nasihat mufti atau ulama hanya jika nasihat mereka menepati kehendak dan selera kita, tetapi kita akan membelakangkan ulama apabila teguran dan nasihat mereka tidak sesuai dengan kehendak dan keinginan kita, sedangkan nasihat para ulama itu datangnya daripada sumber Al-Quran dan Hadis.

11. Orang yang berilmu itu ibarat orang yang celik, orang yang jahil itu ibarat orang yang buta.

12. Sekiranya kita meletakkan ilmu dan akhlak itu mendahului perkara-perkara lain dalam memilih sesuatu ianya akan mendatangkan kesenangan, misalnya, kalau hendak mencari suami carilah suami yang berilmu dan berakhlak, kalau hendak mencari isteri carilah isteri yang berilmu dan berakhlak, begitu juga kalau hendak memilih pemimpin atau guru atau ustaz, pilihlah pemimpin, guru dan ustaz yang berilmu dan berakhlak. Ilmu semata-mata tidak cukup, kerana berapa ramai orang yang ada ilmu seperti profesor dan pensyarah, tapi profesor dan pensyarah pun ramai yang jahat jugak. Berapa ramai ustaz-ustaz yang ada ilmu, tapi ramai jugak ustaz yang tidak betul. Tetapi kalau hanya akhlak sahaja yang baik, tetapi tidak berilmu pun tidak berguna. Sebab itulah Rasulullah SAW suruh pilih orang yang berilmu dan juga berakhlak.

13. Akhlak kini semakin luput daripada orang-orang Melayu, semakin kurang anak-anak Melayu yang hormat bila lalu depan orang-orang tua, yang diam bila orang tua bercakap, malah ramai budak-budak sekarang sudah berani bercakap kasar dengan orang-orang tua. Penghormatan sudah hilang, sopan-santun orang Melayu sudah menjadi kenangan, pepatah Melayu dan budi bahasa bangsa Melayu hanya sudah menjadi sebutan silam, kiasan-kiasan lembut orang melayu sudah bertukar dengan bahasa-bahasa yang kasar...

14. Marilah kita menghormati ulama, marilah kita menghormati ilmu, kalau kita tidak mampu menjadi ulama, jadilah orang yang belajar ilmu dengan ulama. Disiplin nak menuntut ilmu dengan alim ulama ialah, pertama, ulama mengajar ilmu kepada orang yang nak belajar, kedua, mestilah menghormati tok guru dan ulama walaupun tok guru dan ulama itu lebih muda atau lebih rendah pangkatnya berbanding kita, ketiga, mencontohi Imam Syafie iaitu Imam Syafie menuntut ilmu dengan Imam Malik, disebabkan tinggi rasa hormatnya kepada tok gurunya, Imam Syafie tidak sanggup melunjurkan kakinya ke arah rumah Imam Malik ketika dia tidur dirumahnya.

15. Dengan sebab kita menghormati ulama, menghormati majlis ilmu, Allah turunkan barakah terhadap ilmu yang kita belajar, bila ilmu itu barakah maka rumahtangga menjadi baik, anak-anak jadi baik, murah rezeki dan kesihatan menjadi baik.

Isnin, 11 April 2011

Majlis Bersama Ad Daie Habib Munzir Fuad Al Musawa

سم الله الرحمن الرحيم



Tarikh : 27 Mac 2011 (Sabtu)

Lokasi: Masjid Sultan Salahuddin, Masjid Negeri Shah Alam, Selangor

Alhamdulillah, Sabtu lepas saya berada di Masjid Negeri, Shah Alam untuk mendengar tausiyah yang disampaikan oleh ulama terkenal dari Indonesia, Habib Munzir Fuad Al-Musawa. Beliau adalah anak murid kepada Habib Umar ulama besar dari Yemen yang pernah mengunjungi Malaysia baru-baru ini. Beliau adalah ulama yang mengasaskan apa yang dipanggil sebagai “Majelis Rasulullah” di negara kelahiran beliau sehingga berjaya menarik ribuan malahan jutaan umat untuk mengikuti majlis mengingati baginda Rasulullah saw. Boleh dikatakan setiap daerah yang dikunjungi oleh beliau akan mengadakan majlis zikir maulid untuk memperingati Rasulullah saw. Pendekatan beliau dilakukan kerana umat sekarang terlalu jauh dari mengingati Rasulullah saw apatah lagi mengikuti sunnah atau cara hidup baginda. Selain itu, beliau juga giat berdakwah ke seluruh pelosok pulau Jawa sehingga ke kawasan pedalaman untuk mengajak manusia kembali semula ke jalan Allah.

Alhamdulillah, walaupun kita tiada kesempatan untuk menatap wajah Rasulullah saw secara zahirnya, melihat susuk tubuhnya secara lahir, mendengar nasihatnya secara langsung apatah lagi menyentuh dan mengucup tangan mulia baginda namun Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang masih menganugerahkan nikmat kepada kita untuk berada di dalam Majlis Zikir dan Majlis Berselawat. Sekurang-kurangnya dengan adanya majlis seperti ini jiwa kita tidak akan gersang kerana sering disirami dengan rahmat dari Allah berkat ingatan kita kepada baginda Rasulullah saw.

Memandangkan beliau baru sahaja tiba dari Jakarta dan masih keletihan, Habib Munzir hanya menyampaikan tausiyahnya selama 30 minit. Antara tausiyah beliau yang saya masih saya ingati ialah kisah kewafatan Rasulullah saw yang tidak sempat disaksikan oleh Muaz bin Jabal. Penceritaan beliau cukup menyentuh perasaan. Seorang jemaah di tepi saya menangis bila mendengar tausiyah ini. Berkata Ummul Mukminin Saidatina A’isyah r.a kepada Muaz bin Jabal bahawa jika Muaz berada di sisi baginda tentunya Muaz tidak sanggup untuk menatap saat-saat sakratul maut baginda. Wajah baginda sekejap merah sekejap pucat dek sakitnya dan mabuknya kesakitan sakratulmaut yang dipinta sendiri oleh baginda untuk merasainya bagi meringankan beban yang akan ditanggung oleh umatnya.

Justeru, Habib Munzir meminta semua jemaah supaya sentiasa mengingati baginda dan jasa-jasa baginda kepada kita.

"Diberikan segala kunci di dunia ditangan Rasulullah s.a.w.. jangan ditunggu lagi cintailah kamu akan Rasulullah s.a.w…jadikan dia itu akan idola, mentor kamu"…

Jumaat, 8 April 2011

Ilmu agama akan beransur-ansur hilang

سم الله الرحمن الرحيم

Alim ulama terkenal

Arus zaman berubah mengikut masa. Semakin hari semakin banyak teknologi baru yang bersaing dan menonjolkan diri di serata dunia. Tetapi bagaimana pula warisan ilmu agama yang dimiliki oleh para ulama? Adakah semakin hari semakin ramai ulama dilahirkan di dunia ini bagi mengajar dan menyampaikan ilmu yang lebih berharga dan kekal sebagai saham di akhirat kelak daripada kecanggihan sistem atau teknologi yang hangat dipromosikan kini? Tahukah anda, bilakah ilmu agama akan beransur-ansur hilang di muka bumi ini? Mengapa?

Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata:

Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi, Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama.

Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka akan sesat dan menyesatkan orang lain.

Hadis Riwayat Muslim

Jangan Harap Orang Lain Buat Untuk Kita

سم الله الرحمن الرحيم

Dunia ketika ini sedang memasuki akhir zaman. Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa manusia di zaman ini sudah tidak mementingkan agama. Barangkali agama hanya dianggap sebagai ritual semata-mata.

Ia mungkin sudah tidak menjadi sistem dalam kehidupan. Agama boleh dikatakan hanya digunakan di tempat dan keadaan tertentu sahaja. Misalnya, apabila mahu berkahwin, barulah agama digunakan. Sedangkan dalam sistem kehidupan yang lain, agama dipinggirkan.

Benar atau tidak, ramai daripada kita kelihatannya sudah tidak tahu membezakan antara Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Boleh dikatakan mereka tidak mempedulikan apakah yang Ain itu dan apakah pula yang Kifayah. Ain adalah wajib, sementara kifayah itu untuk direbut. Siapa yang cepat, dialah yang dapat. Bahkan menjanjikan banyak pahala.

Kita sudah tidak pedulikan semua berkenaan. Fardu Kifayah dilupakan terus. Manakala Fardu Ain pula bagaikan tiada. Entahkan mereka tahu atau tidak. Mungkin dalam kertas peperiksaan, mereka mampu mendapat keputusan yang cemerlang. Namun, untuk diamal, bagaikan tidak melekat di hati.

Contoh yang terbaik adalah makan. Fardu Ain itu adalah makan apabila lapar. Semua orang lapar dan semua orang akan makan bila lapar. Makan itu wajib. Andai tidak makan, ia akan menjadi mudarat. Ia tidak memerlukan kita untuk mewakilkan kepada orang lain untuk makan. Apabila diri kita kebulur, bukankah kita sendiri yang wajib untuk makan. Maka atas sebab itulah dalam perkara fardu ain, kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mengingatkan kita. Kita sendiri yang bertanggungjawab ke atas diri sendiri.

Kejahilan

Begitulah situasinya. Apabila ilmu Fardu Ain ditinggalkan. Untuk mengejar Fardu Kifayah apatah lagi. Kejahilan dalam mendalami dan mengamalkan Fardu Ain bertambah parah apabila usia semakin menaiki kedewasaan. Ada yang dipelajari sedari kecil, namun ditinggalkan di pertengahan jalan.

Fenomena ini juga barangkali sedang berleluasa dalam kalangan remaja kita. Remaja yang tidak dididik oleh ibu bapa tentang pendidikan agama termasuk Fardu Ain, kelihatannya sukar untuk mengenali fungsi dan tanggungjawab diri mereka. Ibu bapa yang jahil agama, menambahkan lagi parah situasi ini. Hanya membiarkan golongan pendidik untuk mengajarnya. Sedang mereka sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik kepada remaja.

Kejahilan Fardu Ain ini tidak terhenti di situ. Remaja yang semakin hanyut dengan kenikmatan dunia sudah tidak mempedulikan asasnya. Ketidakmahuan mereka mempelajari disebabkan tiadanya dorongan untuk remaja ke arah itu.

Ketika diri sendiri tidak bersungguh-sungguh mendekati ilmu agama, remaja semakin jauh daripada asas Fardu Ain apabila keseronokan dan pergaulan tidak terbatas menjadi keutamaan. Mengejar keseronokan berbentuk hiburan dan lagha menjadikan mereka tidak punya masa untuk mempelajarinya. Pergaulan dengan bertindak di luar batasan juga akhirnya membuatkan mereka semakin jauh.

Pendidikan

Sistem pendidikan di peringkat sekolah barangkali turut boleh ditambah baikkan. Sekiranya ketika ini penyelarasan ilmu Fardu Ain berada di peringkat sepatutnya, barangkali dari aspek amali boleh diperhebatkan lagi. Guru-guru dan ustaz menjadi pendamping yang paling rapat dalam kalangan pelajar.

Namun, pokok pangkalnya terserah kepada diri sendiri. Sama ada mereka mahu mendalami dan mengamalkannya, tuan punya tubuh punya kuasa. Membiarkan diri terus berada di dalam kejahilan tentang Fardu Ain, hanya akan memburukkan lagi keadaan mereka. Tepuk dada, tanya iman.

Ingatlah, tiada siapa yang dapat membina sesuatu kepada kita. Hanya diri sendiri yang boleh membinanya. Seperti contoh makan ketika lapar tadi, anda tidak boleh mewakilkannya kepada orang lain. Kita sendirilah yang perlu memakannya, andai tidak mahu mudarat menimpa.

Selasa, 5 April 2011

Kalau tak tahu, lebih baik diam

سم الله الرحمن الرحيم

Suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata, "Ya Rasulullah! Sungguh si fulanah itu terkenal banyak sembahyang, puasa, dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap tetangga-tetangganya. ". Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya, "Sungguh ia termasuk ahli neraka"

Kemudian lelaki itu berkata lagi, "Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit sembahyang, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah menyakiti tetangganya." Maka Rasulullah SAW berkata, " Sungguh ia termasuk ahli syurga . "(HR.Muslim) .

Kisah dalam hadis tersebut memberi pelajaran akan bahaya lidah. Betapa jika tidak dikawal iman, lidah boleh menjerumuskan ke dalam neraka. Walaupun seseorang itu ahli ibadah, banyak solat, puasa, akan tetapi apabila tidak mampu menjaga lidahnya dari memfitnah, berbohong dan hasad - amalannya tersebut sia-sia.

Oleh sebab itu, lidah boleh menjadi media taat kepada Allah, dan boleh pula untuk memuaskan hawa nafsu. Lidah boleh digunakan untuk membaca al-Quran, hadis dan menasihati, lidah juga berubah seperti layaknya penyalaan api. Memfitnah, bersaksi palsu, ghibah, namimah, dan memecah belah umat. Jika seperti ini seberapa banyak pun ibadah kita tak ada gunanya, semuanya gugur gara-gara lidah yang lancang.

Rasulullah SAW memberi amaran, bahawa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling beliau khuatirkan. Sebabnya, semua amal akan berguguran jika lidah kita jahat. Suatu kali salah seorang sahabat Sufyan al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, katakan kepadaku tentang satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!" Beliau menjawab: "Katakanlah,` Tuhanku adalah Allah `, lalu istiqomahlah". Aku berkata: " Wahai Rasulullah, apakah yang paling anda khuatirkan atasku? ". Beliau memegang lidah beliau sendiri, lalu bersabda:" Ini . " (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Antara kejahatan lidah adalah lidah yang banyak bicara dengan kebatilan. Jenayah lidah memang boleh setajam pedang. Jika kita tidak berhati-hati menggunakannya, maka ketajamannya boleh menumpahkan darah, sebagaimana pedang menusuk tubuh manusia. Boleh juga lidah itu menjadikan 'api' yang membakar semakin besar.

Imam Abu 'Ali Ad-Daqqaq pernah mengatakan: "Orang yang berbicara dengan kebatilan adalah syaitan yang berbicara, sedangkan orang yang diam dari kebenaran adalah syaitan yang bisu."

Gara-gara lidah, seseorang terjebak masuk ke neraka. Menjadi hamba yang rugi, sebab pahala orang yang berdosa kerana kerosakan lidah akan dihadiahkan kepada orang yang dizalimi. Gara-gara lidah yang jahat kita boleh menjadi hamba yang muflis (muflis).

Rasulullah SAW bersabda: " Orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain . "(HR.Muslim)

Oleh sebab itu, jika kita tidak tahu terhadap suatu persoalan sebaiknya diam terlebih dahulu sebelum mendapatkan jawapan dari ahlu dzikri (orang yang ahli/mengetahui). Jika tidak, ucapan kita yang tidak berdasarkan ilmu itu boleh menyesatkan.

Rasulullah SAW bersabda: " Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata yang baik atau diam . "(HR. Bukhari Muslim).

Lebih baik diam jika dihadapkan terhadap persoalan yang belum kita ketahui. Firman Allah SWT : "Janganlah kamu bersikap terhadap sesuatu yang kamu tidak ketahui." (QS al-Isra ': 36).

"Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di akhirat nanti adalah orang yang paling jelek akhlaknya, orang yang banyak bicara, orang yang bercakap dengan mulut yang dibuat-buat (mereka-reka cerita) dan orang yang sombong . "(Jami 'al-Shaghir).

Kesimpulannya, berhati-hatilah wahai saudara-saudari seIslamku, semoga Allah selamatkan lidah dan jari jemari kita daripada segala fitnah di luar sana. Amin.

Perkataan @ ucapan di zaman siber ini bolehlah disamakan juga dengan tulisan.

Sabtu, 2 April 2011

Kanak-kanak Syurga Membaca al-Quran dengan penuh kesedihan

سم الله الرحمن الرحيم

Bismillahirrahmanirrahim.

Post kali ini asalnya daripada blog peribadirasulullah

Barisan Ulama' menangis kerana pemergian kanak-kanak pilihan Allah SWT dalam menghadapi ujian Allah yang amat berat tetapi dalam usia yang amat muda.

Kisahnya :

Kanak-kanak perempuan ini belajar tadika dan menghafaz Al-Quran dengan didikan
agama. Ibunya seorang doktor, bapanya juga seorang doktor yang bertugas di Saudi ,
Setiap hari ibunya memperdengarkan bacaan Al-Quran kepada anak kesayangannya.

Namun pada suatu hari, ibunya merasakan suatu perubahan pada anak kesayangannya. Setelah dibuat pemeriksaan, anak kesayangannya disahkan menghadapi penyakit barah yang amat bahaya. Kini anak kesayangannya sudah berusia 8 tahun dan mampu
membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk dan merdu, namun apakan daya anak kesayangan mereka berdua akan menghadapi kematian.

Diringkaskan cerita, kedua ibunya meninggal dunia kerana terlibat dalam satu
kemalangan, ibu dan bapa meninggal dunia hanya berbeza jarak masa seminggu sahaja.

Sahabat handai kedua ibubapanya merahsiakan pemergian kedua ibubapanya.
Namun dengan kuasa Allah SWT, semasa sahabat handai kedua ibubapanya mengelilingi
nya di atas katil, setelah kedua ibubapa telah menemui Allah SWT…
Tiba-tiba dia mengeluarkan kata: "Saya telah melihat kedua ibu bapa saya yang
telah pergi menemui Allah".

Semua sahabat handai kedua ibubapanya merasa sedih kerana kecerdikan dan ketabahannya menghadapi cubaan dan ujian Allah SWT.

Akhirnya sahabat handai kedua ibubapanya dari Mesir dan Saudi mengumpul derma
dan menghantarnya ke Britain untuk mendapat rawatan terbaik di sana…

Namun apa yang anda dengar dari suara bacaan ayat suci Al-Quran (Dalam Youtube
di atas) adalah bacaannya secara langsung dari hospital di Britain dan dia telah tahu
bahawa nyawanya akan diambil oleh Allah SWT serta dia redha dengan takdir
Allah SWT…

Dengarlah suara bacaan Ayat Suci Al-Quran dan doanya kepada Allah SWT, sebelum nyawanya diangkat oleh Malikil Maut…. untuk bertemu Allah SWT serta menemui
kedua ibubapa…

6 Perkara Allah Sembunyikan

سم الله الرحمن الرحيم

UMAR BIN KHATTAB R.A BERKATA:

1- Allah menyembunyikan keredhaan dalam ketaatan. Allah tidak menzahirkan penerimaan atas amalan-amalan ketaatanyang kita persembahkan kepadaNya suapaya kita tidak kecewa diatas amalan tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut, walaupun terdapat sedikit kecacatan yang kita tidak ketahui.

2- Allah menyembunyikan Kemurkaan diatas kemaksiatan kita. Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat rahmat didunia. sedangkan sebenarnya Allah Murka kepada kita.sepatutnya kita gunakan peluang ini untuk bertaubat kepada Allah SWT.

3- Allah menyembunyikan kedatangan malam Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambaNya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan berpesta maksiat pada malam-malam yang lain. Oleh itu Allah menghendaki hambaNya melakukan ketaatan sepanjang ramadhan dan sepanjang hayatnya.

4- Allah menyembunyikan wali-wali Allah atau hambanya yang dikasihi supaya manusia tidak menghina atau menyembah wali-wali tersebut. Sesungguhnya wali Allah akan dibenci oleh mereka yang bertuhankan hawa nafsu kerana wali-wali Allah tidak pernah menaruh hati sedikit pun pada tawaran-tawaran mereka.

5- Allah menyembunyikan tarikh kematian hambaNya dengan hikmah agar hambaNya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dan tidak melakukan kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

Jika Allah zahirkan tarikh dan tempat kematiannya pasti hamba-hambanya tidak dapat menjalani kehidupan ini dengan lebih sempurna, lihatlah banduan yang berada dibilik akhir sebelum dihukum gantung, mereka telah hilang akal dan melakukan perkara-perkara diluar akal kita kerana akal mereka sudah tidak berfungsi lagi.

6- Allah menyembunyi solat kita yang terbaik disisiNya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadaNya sepanjang hayat.Jika Allah zahirkan penerimaan solat kita pasti kita akan bermegah-megah sesama manusia dan akan lalai serta mengambil peluang untuk melakukan maksiat.

Begitulah luasnya rahsia disisi Allah Yang Maha Esa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...