Ukhwah Islamiyyah

Selasa, 28 Ogos 2012

Menghayati Erti Kemerdekaan Sebenar Menurut Islam

بسم الله الرحمن الرحيم

MERDEKA. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan 55 tahun kemerdekaan negara ini. Kini negara kita Malaysia telah menjadi sebuah negara maju di mata dunia. Namun disebalik 55 tahun mengecapi dan menikmati kemerdekaan, masih ada masyarakat di negara ini terutama generasi muda (tidak semua) yang masih belum memahami dan memenuhi erti kemerdekaan sebenar menurut Islam.

Ya. Apabila kita berbicara tentang erti kemerdekaan, mungkin setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara dari cengkaman kuasa asing.

Kemerdekaan menurut Islam ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.


Walaupun dikatakan negara telah mencapai 55 tahun merdeka, sehingga kini kita dapat melihat penjajahan minda masih berterusan dan dominan dalam pemikiran anak-anak muda. Tidak hairanlah kalau kita melihat anak-anak muda berpeluk, bercium ditempat-tempat terbuka dan khalayak ramai, berpesta dengan minuman keras dan bercampur antara lelaki dan perempuan, samseng jalanan dan sebagainya. Apakah ini dikatakan “kebebasan” atau “kemerdekaan” ? Kemerdekaan yang boleh merosakkan diri, agama, masyarakat dan negara. Tidak sayukah hati kita melihat kegilaan ini ? Yes. Negara Merdeka !! Tetapi anak-anak muda (bukan semua) HANCUR!!! Erti kemerdekaan bagi generasi muda kini sebenarnya sudah luntur dan lusuh di jiwa mereka serta tidak dihargai lagi. Ini terbukti apabila berlakunya kes-kes jenayah yang membabitkan golongan ini sepertimana disebut di atas. Apa yang mereka tahu pada 31 Ogos setiap tahun adalah cuti umum kemerdekaan.

Di zaman teknologi ini, penjajahan datang dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz walaupun sebelum ini mereka datang dengan kapal dan senjata. Sekarang mereka masuk menerusi wayar kuprum, fiber optik serta satelit dan dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, lebih mudah untuk mereka mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial kita.

Oleh itu marilah kita menghayati kemerdekaan yang sebenar menurut Islam sepertimana yang terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.Rub’ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.

Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi? Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah: Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:

  • Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya. 
  • Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah SWT bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia. 

Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:

  • Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan. 
  • Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat. 

Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:

  • Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan. 
  • Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar. 

Justeru itu, kemerdekaan yang sebenar ialah membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia dan membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam. Wallahu ‘Alam…

Rujukan : http://www.ikim.gov.my dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
http://ibnismail.wordpress.com

Ahad, 26 Ogos 2012

RAMADHAN TELAH TINGGALKAN KITA, TETAPI APA KESAN PADA KITA?

بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh kerana bulan Ramadhan sudah pergi, maka pagi ini kenalah kita menyambut kedatangan Aidil Fitri walaupun berhari raya dan bergembira itu bukannya layak bagi kita. Pernah seorang salafussoleh tidak merayakan Hari Raya dengan alasan dia tidak berjaya dalam mujahadatunnafsi sepanjang Ramadhan yang berlalu. Maka bagi kita pula marilah kita bersyukur di pagi ini kerana pintu taubat masih terbuka untuk kita. Rayakan Aidil Fitri ini dengan bertaubat sebanyak-banyak taubat. Kemudian sembahyang, berdoa, berzikir, tasbih, tahmid dan takbirlah sebanyak-banyaknya. Bolehlah bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan saling berziarah tapi jangan sampai berketawa ria dan berpesta menjamu selera hatta berpoya­-poya. Semuanya itu sangat menggemuk dan merangsangkan nafsu untuk lebih menuhani kita.
Bulan Ramadhan sudah pergi meninggalkan kita maka selesailah sudah puasa dan ibadah kita selama sebulan mari sama-sama kita renungkan apakah hasil yang kita dapat daripada Ramadhan tahun ini. Sebulan kita berpuasa. Puasa ertinya mengekang nafsu. Bukan saja nafsu makan dan nafsu seks tapi juga nafsu yang jahat jahat, yang difirmankan oleh Allah dalam Al Quran: Sesungguhnya nafsu Amarah itu sangat mengajak kepada kejahatan. (Yusuf 53)

Di antara nafsu yang jahat itu ialah sombong, takabbur, pemarah, bakhil, hasad dengki, gila dunia, ujub, riak, gila kuasa, dendam, buruk sangka, bohong, mengampu, keluh kesah, gopoh gapah, tidak redha, tidak sabar dengan takdir, mementingkan diri sendiri, tamak, degil, tidak tolak ansur, tidak timbang rasa, mencerca, mengumpat dan lain-lain lagi.

Nafsu-nafsu ini sentiasa ada malah sudah menjadi perangai tetap kita. Sepanjang bulan puasa, adakah kita berpuasa dari mengikut kehendak-kehendak nafsu itu? Adakah kita lawan rasa ujub yang mengajak kita menuhankan diri sendiri. Lawan rasa riak yang dengannya membuatkan orang iri hati dengan kita. Lawan sifat sombong, takabbur dan ego yang kerananya orang tersinggung dan kecil had dengan kita. Lawan sifat bakhil yang adanya membuatkan orang benci dengan kita. Lawan sikap tidak sabar dan keluh kesah dan gopoh gapah yang selalu membuatkan orang cacat hati dengan kita. Lawan sifat tidak redha yang selama ini membuatkan kita tidak puas dengan ketentuan Allah. Lawan sifat tidak bertimbang rasa yang kerananya boleh menjadikan orang kecewa dengan kita.

Lawan sifat suka berdusta, yang membuatkan hilang kepercayaan orang kepada kita. Lawan sifat mementingkan diri sendiri yang selama ini membuatkan orang sakit had dan dengki dengan kita. Lawan perangai suka mengumpat dan mencerca orang yang boleh menghilangkan ukhwah lslamiah antara kita. Itulah mujahadatunnafsi (melawan hawa nafsu). Satu amalan yang hukumnya fardhu ain bagi setiap kita. Ertinya melawan hawa nafsu ini wajib kita lakukan, setiap masa, setiap ketika. Lebih-lebih lagi di bulan puasa. Sudahkah kita melakukannya dan sudahkan kita mendapatkannya.

Sepatutnya sudah lama kita mempunyai akhlak yang baik yakni memiliki sifat-sifat mahmudah. Sebab bukan baru sekali kita berpuasa yakni melakukan latihan mujahadahtunnafsi ini. Sudah berpuluh tahun umur kita. Maknanya sudah berpuluh-puluh kalilah kita berpuasa dan melatih diri untuk melawan hawa nafsu. Kalaulah latihan itu dibuat dengan betul, tentu hasilnya sudah kita memperolehi. Tapi bagaimana perangai kita di saat ini?

Ujub masih bersarang dalam hati setiap kita. Hingga kita rasa diri kita ini istimewa. Rasa ketuanan bahkan rasa keTuhanan. Kerana itu kita tidak rasa pun yang kita ini hamba. Hamba Allah yang hina dina, papa kedana, bodoh jahil, miskin melarat dan lemah serta kurang segala-galanya. Riak yakni menunjuk-nunjuk kelebihan dari samada kelebihan ilmu, kekayaan, darjat, bintang penghormatan masih menjadi kebanggaan hingga ramailah yang cemburu dan iri hati dengan kita. Ego, sombong, bongkak takabbur sudah sebati sungguh dengan perangai kita, hingga menjadi adat resam dan basahan harian. Sudah berapa banyak sikap dan cakap kita melukakan hati dan memalukan serta menjatuhkan maruah kawan. Hingga kerana itu manusia bawa hati dan bawa diri pergi jauh dari kita. Rengganglah kasih sayang, rosaklah perpaduan, walaupun mulut memekik-mekik perpaduan ummah. Bakhil jadi mainan kita. Rezeki yang Allah lebihkan kepada kita, kita catu­-catukan untuk diri dan klik sendiri saja. Hinggakan orang lain rasa terhina dan benci dengan kita. Maka jadilah kita keluh kesah dan gopoh-gapah membuatkan orang cacat hati dan rimas dengan kita. Tidak timbang rasa dan tidak tolak ansur masih menjadi prinsip hidup kita.

Kita rasa kita sajalah yang betul, yang pandai. Orang lain tidak perlu dan tidak berguna. Tidak payah dijaga perasaannya. Al hasil berapa ramai orang yang sudah kecewa dan putus harap dengan kita. Sifat mementingkan diri sendiri masih berakar umbi dalam tindakan kita. Kita hanya fikir kepentingan kita hingga tergamak mengorbankan kepentingan orang lain. Maka kerana itu sudah ramai kawan kita sakit hati bahkan dengki dengan kita. Mengumpat, mencerca dan mengata adalah amalan tetap kita. Kelemahan dan kesilapan kawan kita ambil sebagai modal untuk menghina dan menjatuhkannya. 

Akibatnya ukhwah antara kita remuk-redam hancur berkecai. Pemarah, keras hati, degil, keras kepala adalah budaya hidup kita. Habis kita rempuh orang atas dan orang bawah kita. Hatta anak isteri pun tidak rasa bahagia dengan kita. Maka yang benci pada kita bukan saja musuh tapi termasuk juga isteri yang kita sayangi. Jahat sangka, mengadu domba, mengampu dan berdusta juga adalah tabiat asal yang masih jadi asam garam dalam amalan kita. Yang semuanya hanya akan membinasakan din kita dunia dan akhirat.

Firman Allah: Demi jiwa serta penyempurnaannya. Lalu diilhamkan Allah kepadanya (jalan) yang salah dan (jalan) yang benar. Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan (jiwa)nya. Rugilah orang yang mengotorkannya. (As Syams: 7-10)

Firman Allah lagi: Adakalanya orang yang berpuasa tapi tidak mendapat apa-apa pahala dari puasanya selain lapar dan dahaga.

Kenapa terjadi demikian? Jawabnya ialah kerana Iman kita lemah dan tidak bersungguh-sungguh melakukan mujahadatun­nafsi. Bila hati tidak terasa benar-benar kehebatan Allah, maka rasa cinta, rasa malu, rasa takut, rasa gentar pada Allah dan rasa diawasi selalu oleh Allah tidak menguasai had dan fikiran kita, maka hati kita mudah dimasuki rasa-rasa lain seperti ujub, sombong, riak dengki, bakhil, putus asa, hampa kecewa iaitu bergantung pada situasi yang kita hadapi.

Ketika kita dipuji orang kerana sesuatu kejayaan, hati kita tidak terasa yang pujian itu sepatutnya untuk Allah, kerana kejayaan yang kita perolehi itu adalah pemberian ALLAH Sebaliknya hati kita berbunga dengan pujian itu samada sedar atau tidak datanglah rasa hebat diri dan ujub pada hati, yang kemudiannya dilahirkan pada sikap dan anggota lahir kita. Tapi hati yang berisi kental, setiap pujian diterimanya dengan perasaan malu pada Allah, sebab Allah lah yang memberi nikmat itu padanya. Dirasainya dirinya hanya hamba yang hina-dina, miskin melarat dan jahil sejahilnya di sisi Allah SWT. Maka dengan itu selamatlah hatinya daripada tipuan hawa nafsu dan syaitan.

Nyatalah sudah bahawa kita tidak mendapat apa-apa pun dari Ramadhan-Ramadhan yang datang dan pergi selama ini. Puasa tapi sebenamya tidak berpuasa. Inilah agaknya yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan sabdanya: Ketika orang yang mengejinya atau ketika kesusahan menimpanya, orang yang hatinya kuat dan sentiasa dengan Allah akan segera teringat ujian itu juga pemberian Allah. Allah bermaksud hendak menghapuskan dosanya atau mengangkat darjatnya. Kerana ujian itu diterima dengan sabar dan redha. Kerana itu hatinya tidak dapat dimasuki rasa putus asa, kecewa dan menderita dan lain-lain mazmumah. Begitulah kemampuan Iman. Dia boleh menyelamatkan had dari ditipu daya oleh hawa nafsu dan syaitan. Sebaliknya kalau Iman tidak terasa di hati, had tidak berisikan rasa cinta dan takut pada Allah. Maka walau siapapun kita tentu tidak boleh selamat dari kejahatan nafsu dan syaitan seperti ujub, sombong, bakhil, riak dan lain-lain.

Untuk mendapatkan Iman kita mesti sedar akan kebesaran Allah, kegagahan-Nya dan kekuasaan-Nya. Renungkan ciptaan dan pentadbiran Allah yang Maha dahsyat dan hebat. Dan siapa kita? Hanyalah setitis air mani yang diproses dengan diraut-raut dan dibentuk-bentuk mengikut kehendak-Nya. Dan alangkah agungnya Tuhan. Maka takut, gerun dan gentarlah hati terhadapnya. Rasailah yang kita hanya hamba. Hamba yang boleh dipandai dan dibodohkan. Dikaya dan dimiskinkan. Dimuliakan dan dihinakan. 

Sebagaimana firman Allah: Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani. Kemudian menjadikan kamu berpasang-pasang. (Faathir: 11)

Firman-Nya lagi: Engkaulah yang memberi kekuasaan pada siapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah yang rnemuliakan dan rnenghinakan. Pada kekuasan-Mu itulah kebaikan. Sesungguhnya Engkau pada setiap sesuatu Maha Berkuasa. (Ali Imran: 26)

Segala yang ada pada kita hanyalah amanah dan simpanan yang akan dituntut semula di Yaumil Mahsyar. Kalau begitu tiada apa­apa istimewanya kita ini. Jadi bagaimana kita boleh pandang rendah, menengking, mengherdik dan membenci orang lain? Bagaimana boleh sewenang-wenang dengan harta kekayaan di dunia? Bagaimana boleh membanggakan dan rasa selamat dari hukuman Allah? Bagaimana kita boleh berleluasa menggunakan kuasa kita? Bila terbuat dosa, maka hati yang beriman akan segera teringat dahsyatnya api neraka. Tergambar di ruang mata bagaimana nanti malaikat yang garang dan sombong akan menyergah dengan bengisnya, menginjak-ginjak dengan kerasnya dan menyiat-yiatnya daging-daging kita lantas dicampakkan dan dijunamkan jauh jauh ke neraka. Maka api pun menyambar kita bagai menyambar daun kering, membakar hati kita dan dalam seluruh badan kita. Begitulah kesakitan dan kehinaan yang terpaksa ditanggung akibat di dunia menyimpan dan melayan mazmumah.

Firman Allah: Terjemahannya: Dan ingatlah hari ketika orang kafir dihadapkan pada neraka, dikatakan pada mereka bukankah azab itu benar? Mereka menjawab, ya benar, demi Tuhan kami. Allah berfirman maka rasakanlah azab ini disebabkan kamu selalu engkar. (Al Ahqaaf. 34)

Segala kesombongan, bakhil, degil, tamak dan gila dunia pasti dibalas dengan kesombongan dan kedegilan serta kekasaran juga di akhirat nanti. Tetapi sekiranya kita bersusah-payah di dunia kerana melawan mazmumah tadi, menghina dm, mementingkan orang lain, memaafkan, mengorbankan harta kerana Allah dan di jalan Allah, maka kesusahan yang sementara itu akan dibalas dengan nikmat yang kekal abadi. Allah berjanji untuk menganugerahkan ganjaran istimewa pada orang-orang yang bersusah payah di dunia kerana Allah. Syurga itu seluas langit dan bumi, dibuat daripada emas permata, intan berlian. sejenis buah di Syurga mempunyai bermacam-macam rasa. Bau sekuntum bunganya berjenis jenis wangian. Air-air minuman mengalir menjadi sungai. Dan perhiasan-perhiasan di dalamnya bersangatan indahnya. Begitu sekali Allah akan bayar segala pengorbanan yang kita tanggung, kerana bermujahadah pada jalan Allah.

Firman-Nya: Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-­orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan membuat kerosakan di (muka)burni. Dan kesudahan yang baik itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Al Qasas: 83)

Bila rasa cinta pada Allah, rasa takut dan gerun dengan neraka Allah dan rindu dengan syurga Allah sudah benar-benar masuk ke hati, maka ia akan mendisplinkan dan mengawal serta mendorong kita terhadap tindakan-tindakan kita. Setiap kali terbuat dosa akibat dorongan nafsu mazmumah tadi maka rasa takut pada neraka akan membuat kita bertaubat sesungguh hati, yakni taubat Nasuha. Kita cemas kalau-kalau kesilapan itu berulang kerana itu kita merayu pada Allah mengharapkan pertolongan-Nya untuk kita melawan nafsu kita. Hati sentiasa ingin membuat amal soleh sebanyaknya dengan harapan Allah mengurniakan rahmatNya yakni syurga. Segala mehnah dari Allah diterima sebagai penghapusan dosa atau peluang naik pangkat di sisi Allah SWT kerana itu, diterimanya dengan sabar dan redha. Tiada keluh kesah dan kekecewaan dalam hidup, kejahatan lahir mahupun batin dicuba elakkan sedaya upaya. Dan masing-masing berlumba-lumba membanyakkan amal soleh, memberi khidmat dan membuat kebaikan.

Mujahadatunnafsi mestilah dibuat atas dasar cintakan Allah, gerun dengan nerakaNya dan rindu pada syurga. Setiap kali nafsu kita merangsang untuk melakukan sesuatu kejahatan dan dosa­-dosa maka ingatkan pada kemurkaan Allah, ugut dengan api neraka dan bisikan padanya nikmat syurga. Moga-moga dia ingat. Tapi jika masih terbuat lagi, bertaubatlah. Rasa kesal dan takut sungguh-sungguh dalam hati.

Ingatlah hadis Qudsi yang bermaksud: Allah lebih menyukai rintihan orang yang bertaubat daripada zikir para wali.

Kalaulah mujahadatunnafsi ini diulangi, buat setiap hari, maka hasilnya nanti perangai kita akan bertukar dari mazmumah kepada mahmudah. Dari dosa kepada pahala. Dari huru hara kepada harmoni dari sombong kepada tawadhuk. Dari bakhil kepada pemurah. Dari tidak berperikemanusiaan kepada bertimbang rasa. Daripada kemurkaan Tuhan kepada maghfirahNya.

Bila ini terjadi, yakni segala mahmudah telah menjadi perangai kita semua, maka bukan kita saja yang baik dan selamat. Tapi masyarakat dan negara dengan sendirinya menjadi baik dan selamat, aman dan makmur serta mendapat keredhaan Allah SWT. Inilah yang Allah kehendaki dari firman-Nya: Negara yang aman makmur mendapat keredhaan Allah. (Saba’ : 15)

Tetapi sebaliknya bila individu dalam masyarakat dan negara itu jahat zahir dan batinnya maka jadilah apa yang terjadi dalam masyarakat kita ini. Krisis demi krisis. Perpecahan demi perpecahan. Ukhwah remuk-redam, hancur berkecai. Percampuran bebas muda-mudi hingga di upacara agama pun masih menjadi jadi. Perkataan bersih, cekap dan amanah bukan kata-kata keramat lagi. Perzinaan dan rogol masih berleluasa hingga di kawasan kawasan masjid, rumah Allah pun terjadi. Arak dan dadah masih merupakan najis-najis yang belum dapat dibersihkan lagi. Rasuah selaku peras ugut terhormat seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Penyalahgunaan kuasa sudah menjadi tradisi para penguasa. Kata mengata, fitnah memfitnah menjadi basahan harian. Kejahatan sendiri sudah tidak nampak lagi, tapi kesalahan orang lain walau kecil sekalipun diperbesar-besarkan. Ahli-ahli agama berbagga dengan kelulusan serta menakut-nakutkan rakyat dengan jawatan. Tiada pimpinan tunjuk ajar dan didikan yang berhikmah dan berkasih sayang ke arah menegakkan hukum Allah. Sebab itu mereka tidak dihormati. Tegasnya masyarakat kita belumlah boleh dikatakan masyarakat yang bahagia yang aman makmur dan mendapat keampunan dari Allah. Yang ada hanyalah pembangunan dan kemajuan kebendaan, itupun bukan milik mutlak umat Islam.

Firman Allah: Terjemahannya: Akan ditimpa kehinaan di mana saja kamu berada kecuali kamu melakukan habluminallah dan hablumminannas. (Ali Imran: 112)

Oleh kerana bulan Ramadhan sudah pergi, maka pagi ini kenalah kita menyambut kedatangan Aidil Fitri walaupun berhari raya dan bergembira itu bukannya layak bagi kita. Pernah seorang salafussoleh tidak merayakan Hari Raya dengan alasan dia tidak berjaya dalam mujahadatunnafsi sepanjang Ramadhan yang berlalu. Maka bagi kita pula marilah kita bersyukur di pagi,ini kerana pintu taubat masih terbuka untuk kita. Rayakan Aidil Fitri ini dengan bertaubat sebanyak-banyak taubat. Kemudian sembahyang, berdoa, berzikir, tasbih, tahmid dan takbirlah sebanyak-banyaknya. Bolehlah bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan saling berziarah tapi jangan sampai berketawa ria dan berpesta menjamu selera hatta berpoya­-poya. Semuanya itu sangat menggemuk dan merangsangkan nafsu untuk lebih menuhani kita.

Moga-moga nafsu kita tidak berpeluang untuk melalaikan dan menipu serta menjauhkan kita daripada Allah SWT. Selama ini kita kononnya sudah sedar, sudah ingin membaiki diri kerana itu kita rela meninggalkan maksiat-maksiat lam. Tapi kemanakah kita pergi sebenarnya? Jawabnya, kita lari dari satu dosa kepada dosa lain. Dari kejahatan lahir kepada kejahatan nafsu amarah dan lauwamah yang mana kejahatan dan keburukannya lebih dahsyat lagi. Ertinya kita belum selamat lagi. Kita belum jumpa dan belum tempoh lagi jalan jalan ke syurga yang mana jalannya penuh ranjau dan duri mengait, seperti sabda Rasulullah: Di kelilingi Neraka oleh perkara-perkara yang digemari nafsu. Dan di kelilingi Syurga oleh perkara yang dibenci. 

Memang mujahadatunnafsi itu adalah pahit, susah dan payah sekali. Nilai kesusahannya adalah sepadan dengan nikmat syurga yang maha lazat dan manis. Maka hendaklah kita mencuba dan berlumba-lumbalah untuk merebut peluang istimewa ini.

Mulai hari ini marilah kita berjuang dan berperang. Berjuang untuk membentuk diri dengan tiga kekuatan. Kekuatan jiwa, kekuatan mental dan kekuatan fizikal. Inilah senjata untuk kita memerangi musuh utama kita, iaitu nafsu dan syaitan. Peperangan ini adalah peperangan paling besar kata Rasulullah. Jauh lebih besar dan dahsyat dari peperangan Badar. Yang mana kalaulah kita berjaya menewaskan kedua-duanya, musuh-musuh lahir seperti Yahudi, Nasrani dan Komunis dan Sekularis ini akan menjadi mudah untuk dihadapi. Kita bangunkan kembali iman dan ukhwah dan keselarasan di kalangan ummah. Inilah kekuatan asas bagi masyarakat atau jemaah. Kemudian kita perjuangkan tegaknya kebahagiaan masyarakat iaitu barisan pembesar dan penguasa yang adil. Ulama yang mendidik dan memberi nasihat kepada umat. Si kaya yang pemurah, jadi bank kepada masyarakat. Si miskin yang redha dan sabar, tidak meminta-minta dan mencari. Rakyat dan pengikut yang taat. Suami yang bertanggungjawab. Isteri yang malu dan suka berkhidmat. Anak-anak yang patuh. Gadis-gadis yang sangat menjaga maruah dan pemuda yang beri tenaga untuk membangunkan masyarakat.

Kita usahakan agar semuanya dilakukan kerana cinta pada Allah dan ingin mencari keredhaanNya. Seterusnya kita perjuangkan pula agar tertegaknya pembangunan, ekonomi, kenderaan dan alat-alat perhubungan dan apa-apa juga keperluan dan kemudahan hidup sebagai alat dan keselesaaan hidup ummah.

Kalaulah sempat kita melakukan itu semua, iaitu membina kekuatan, kebahagiaan dan alat kemudahan ummah, maka perjuangan kita akan menghala kepada terbentuknya satu rupa masyarakat yang tidak ada di mana dan bila-bila sebelum ini, kecuali di zaman Rasulullah dan salafussoleh. Waktu itu Islam akan dipuja dan dijunjung kembali oleh manusia sedunia. Dunia yang sunyi dari peperangan, pergaduhan, perpecahan dan sebarang kejahatan. Dan moga-moga kita kembah menjadi tuan-tuan dan penguasa-penguasa di bumi seperti mana datuk nenek kita iaitu para salafussoleh yang pernah menjawatnya dulu. InsyaAllah. Moga-moga jadilah kita hamba-hamba yang Allah redhai, yang layak menduduki SyurgaNya.

FirmanNya: Allah Taala telah berjanji kepada orang lelaki mukmin dan orang perempuan mukmin iaitu syurga yang mengalirnya di bawahnya sungai-sungai hal keadaan mereka kekal di dalamnya dan juga tempat tinggal yang baik di dalam syurga Jannatul Naim. Keredhaan Allah itu adalah lebih besar dan itulah dia kemenangan yang maha besar. (Surah At Taubah: 72)

kredit: www.usahataqwa.com

Selasa, 21 Ogos 2012

Puasa Enam nikmat keindahan luar biasa

بسم الله الرحمن الرحيم
 
Assalamualaikum, kemeriahan Aidilfitri masih terasa tetapi jangan lupa amalan sunat Puasa Enam. Melaksanakan Puasa Enam akan memberi nilai tambah kepada amalan puasa Ramadhan.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya : ”Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim).

Puasa enam boleh dilaksanakan bermula pada 2 syawal secara berterusan atau juga berselang seli sebanyak enam hari dalam bulan Syawal. “Allah telah melipat gandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa bulan Ramadhan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari bulan Syawal yang menggenapkannya satu tahun” (HR An-Nasa’i dan Ibnu Majah dan dicantumkan dalam Shahih At-Targhib).

Puasa Enam bagus disegerakan

Sayang sangatlah kalau kita tertinggal Puasa Enam hanya kerana sibuk dengan rumah terbuka. Korbankan enam hari untuk Puasa Enam dan kita masih ada baki 24 hari untuk ziarah hari raya keluarga dan sahabat. Nikmat keindahan luar biasa dapat melaksanakan amalan Puasa Enam hanya dapat dirasai oleh mereka yang tidak meninggalkan amalan yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW.

Perbezaan Sambutan Aidilfitri

بسم الله الرحمن الرحيم

Masya Allah. Perkongsian daripada sahabat, Saifuddin Hamizan.

Kata Fadhilah al-Syaikh al-Hafiz `Abdul `Aziz al-Tharifi: "jika kamu melihat diri kamu mengharap redha manusia melebihi kamu mengharap redha Allah maka ketahuilah bahawa pada diri kamu terdapat bahagian dari bahagian ciri nifaq (munafik), - firman Allah SWT - (mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mencari keredhaanmu, walhal Allah dan RasulNya itu lebih berhak untuk mereka mencari keredhaan jika mereka adalah orang-orang yang mukmin".

P/s : Biasanya hari raya tukar kereta baru dan barang2 baru untuk mendapat perhatian manusia dan pujian , lebih malu daripada mengharap keredhaan Allah.

Jumaat, 17 Ogos 2012

Sambut Lebaran Cara Rasulullah SAW

بسم الله الرحمن الرحيم

Daripada Anas RA, beliau menceritakan ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah mempunyai dua hari kebesaran. Penduduk Madinah meraikannya dengan berbagai-bagai jenis permainan. Rasulullah SAW bertanya kepada mereka: Hari apakah yang kamu sambut ini?" Lalu mereka menjawab: "Wahai Rasulullah, ia adalah dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada zaman jahiliyah."

Selepas itu, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah." (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai)

Ubadah bin Soib menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati, iaitu Hari Kiamat." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Salam Aidilftri

Klik untuk besarkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pembaca blog JIWA HAMBA.
Ampun maaf andai terkhilaf sepanjang pengeluaran artikel di sini.
Moga selamat perjalanan pulang ke kampung halaman dan ceria hendaknya.

Definisi artwork:- 

1- Bendang yang siap di tuai bermaksud; masa untuk berehat sebentar selepas berkerja
2- Bendang juga melambangkan KAMPUNG yakni asal kita semua sebelum URBANASI atau mempunyai sifat kebandaran. Balik kampung selari dengan 'kembali kepada fitrah asal kita'
3- Jaluran putih bersilang itu saya ingin melambangkan ketupat dan jalinan persaudaraan yang terikat kembali tika di hari raya
4- Langit melambangkan asalan fitrah kita.
5- Scheme warna pula melambangkan redup dan sayup kerana kita akan meninggalkan ramadhan dan menuju suatu ufuk cahaya yakni Syawal

artikel oleh: future phenomenon

Rabu, 15 Ogos 2012

Apakah Kita Sedih Meninggalkan Ramadhan??

بسم الله الرحمن الرحيم


Ramadhan akan meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi. Bulan keberkatan, rahmat, keampunan sudah hampir menutup tirainya. Syaitan-syaitan hampir dilepaskan belenggunya, pintu neraka hampir dibuka. Namun kita sebagai manusia (termasuk diri ini), masih terleka dengan kegembiraan syawal lebih dari kelebihan ramadhan yang disebut.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 183

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Dalam ayat diatas jelas menunjukkan hasil terhadap orang-orang yang berpuasa adalah sejauh mana taqwanya meningkat. Kita? Adakah taqwa kita meningkat? Sesungguhnya untunglah orang-orang yang berjaya mendapat hasil yang dijamin oleh ALLAH ayat diatas. Siapakah orang-orang tersebut?

Mereka ialah orang orang merasai terkesannya diri untuk menjadi lebih baik, gembira sewaktu kedatangan Ramadhan dan sedih sewaktu pemergiannya. Mengapa mereka merasai begitu? Sudah tentulah kerana ganjaran dan kebaikannya tidak ada di dalam bulan-bulan lain.

Antara kelebihan Ramadhan ialah :

Pahala kebaikan digandakan. MasyaALLAH. Bayangkan kalau diluar ramadhan setiap satu kebaikan akan diberi sepuluh ganjaran, apatah lagi ramadhan? Sebagai contoh, dengan membaca al-Quran, ganjarannya mengikut berapa huruf yang dibaca. Jika satu surah al-Fatihah di baca pada luar bulan ramadhan, setiap huruf di beri ganjaran sepuluh kebaikan. Jika dibulan ramadhan, hanya dengan surah al-fatihah berganda-ganda ganjarannya. Apatah lagi yang menghabiskan satu Al-Quran. Begitu juga sedeqah dan sebagainya. 

Allah membuka pintu keampunan seluas-luasnya. Sedangkan Rasulullah yang ma’sum pun setiap hari bertaubat kepada ALLAH, inikan lagi kita, manusia biasa, yang tidak diberi apa-apa jaminan syurga. Hanya orang-orang bijak sahaja yang mengambil peluang sehabis baik meminta keampunan di bulan ini. Setiap tangisan airmata yang keluar ikhlas kerana ALLAH itulah yang akan membantu menyelamatkan kita dari seksaan azab api neraka.

Malam lailatulqadar. Ganjaran yang ada pada malam ini sama seperti beribadat selama 1000 bulan atau bersamaan dengan 83 tahun. Mengikut salah satu pendapat ulama’ berdasarkan nas-nas, ia berlaku pada sepuluh malam ganjil sepuluh terakhir bulan ramadhan. Semua ciptaan ALLAH tunduk sujud dengan cara tersendiri pada malam itu, Inikan lagi manusia, yang diberi aqal, mereka perlulah lebih berusaha mencari malam ini.

Seperti firman Allah dalam (surah Al-Qadr : 1-5)

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Doa dimakbulkan. Antara doa-doa akan ALLAH akan makbulkan dengan hebat ialah doa orang-orang yang berpuasa. Itupun jika puasa dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Berusaha untuk mencapainya, bukan setakat berdoa sahaja.

Dengan pemergian Ramadhan pada kali ini diharapkan memberi satu kekuatan dan latihan untuk terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan. Oleh itu wahai rakan sekalian, sambutlah aidilfitri dengan kegembiraan yang berpada-pada, janganlah sampai menjadikan syawal sebagai hari balas dendam atas segala apa yang kita tahan selama bulan ramadhan.

Kepada yang berusaha pergi bertarawikh di surau pada bulan ramadhan, teruskan usahamu untuk berjamaah fardhu di luar bulan ramadhan.

Kepada mereka yang berusaha berhenti merokok pada bulan ramadhan, teruskan usaha anda untuk berhenti merokok.

Kepada yang selalu menahan diri dari mencarut pada bulan ramadhan, jaga mulutmu dari perkataan-perkataan yang tidak berguna itu selepas ramadhan.

Kepada mereka yang letih sujud berqiamullail pada bulan ramadhan, teruskan dengan bangun malam itu sepertimana kau mencari LailatulQadr di bulan ramadhan.

Kepada mereka yang menahan diri dari berdating dengan temanmu di bulan ramadhan teruskan usahamu membina pertalian suci diantara dua hati yang bukan muhrim.

Kepada mereka yang menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang terjurus kepada kelucahan semasa bulan ramadhan, jadikan syawal dan bulan-bulan seterusnya sebagai permulaan kepada pengakhiran.

Kepada mereka yang berusaha menutup aurat untuk bertarawikh di surau pada bulan ramadhan, teruskan usaha sucimu itu dibulan-ulan seterusnya. Agar ia menjadi kebiasaanmu kelak.

Dan begitulah selanjutnya, jadikanlah ramadhan sebagai latihan untuk kamu menjadi insan yang lebih berguna.

Terima kasih ALLAH kerana memberikan aku kesempatan untuk menghabiskan ramadhan pada tahun ini, dan sampaikanlah aku ke ramadhan seterusnya. Amin, Ya Rabbal- Alamin

Ahad, 12 Ogos 2012

Pecutan Terakhir

بسم الله الرحمن الرحيم


Saat-saat terakhir ramadhan kian terasa.

Ramai sekali yang gembira menanti kedatangan Aidil fitri yang tak dinafikan cukup indah..

Gembira berjumpa sanak saudara...

Gembira memakai baju raya...

Gembira dapat merasa lemang dan kuih raya...

Gembira dapat duit raya.... (^_^)

Tiada salahnya di situ..

Sememangnya hari raya merupakan hari untuk umat Islam bergembira.. Inilah nikmat Allah kepada hambaNya yang mentaati-Nya....

Tapi ada juga yang turut berasa sedih.. tapi tak ramai...

Mungkin sedih kerana mengenangkan mungkin ini ramadhan terakhir buat mereka..

Sedih kerana tiada lagi ganjaran amalan yang berlipat ganda,

Sedih kerana syaitan bebas dari dibelengu,

Sedih kerana saf jemaah di masjid mungkin berkurangan, Sedih kerana tiada lagi kemeriahan tarawikh...

Sedih kerana mungkin tidak dapat merasa lagi nikmat berbuka dan bersahur...

Sedih kerana mungkin tiada lagi RAMADHAN tahun depan...

Sambutan yang berbeza dari setiap insan...

Apa pun sambutan kita, pastikan hari raya Aidil fitri kali ini, kita betul-betul kembali kepada FITRAH....

Fitrah seorang hamba yang akur, taat pada TUAN-Nya....

Khamis, 9 Ogos 2012

Kuliah Subuh Khas Ramadan

بسم الله الرحمن الرحيم


Lailatul Qadar – Apa persediaan kita?

بسم الله الرحمن الرحيم


Bermula sudah episod kita untuk mengembara di 10 malam terakhir Ramadan. Semoga Allah membantu hamba-hamba-Nya untuk tunduk dengan rendah hati, tanpa jemu dan tak pernah henti. Alhamdulillah kita antara yang insan terpilih untuk memasuki kemuncak Ramadhan.

Apa persediaan kita? Teruskan berzikir. Teruskan membaca / tadabbur Al-Quran. Teruskan solat wajib, tarawih, solat witir dan solat sunat yang lain. Teruskan bersedekah. Teruskan berbuat baik kepada ibubapa dan ahli keluarga. Teruskan melaksanakan tugas harian di rumah sambil bertasbih. Teruskan bekerja / belajar dengan niat kerana Allah, mengikut etika yang diredhai Allah, mengikut etika yang ditetapkan oleh majikan sambil berzikir dalam hati dan bermuhasabah diri. Teruskan berbuat baik sesama insan dan makhluk lain. Ringkasnya, FOKUS SEMUA niat / fikiran / ibadah / perbuatan / aktiviti hanya kerana Allah swt dan berakhlak baik pada setiap saat, di mana jua kita berada untuk sepanjang 10 hari terakhir Ramadan ini.

Mari kita sama-sama berusaha. Mudah-mudahan dengan usaha amalan ini, kita meraih Lailatul Qadr yang dijanjikan "terlebih baik daripada amalan seribu bulan (surah Al-Qadr ayat 3)". Pada MALAM tersebut, malaikat Jibrail dan semua malaikat turun beramai-ramai ke bumi serta memberi salam, berjabat tangan dan mengucapkan amin atas segala doa kepada setiap orang yang sedang melakukan ibadah kepada Allah swt samada sedang berdiri, duduk, bersolat dan berzikir hingga TERBIT FAJAR.

1000 bulan = 83 tahun 4 bulan (83.33 tahun)

Jika umur kita sampai 60 tahun, bermakna kita mendapat pahala amalan baik untuk selama 83.33 tahun dengan lebihan 23.33 tahun. Bukankah itu jauh lebih baik dan menggembirakan daripada segala bonus / harta yang ada di dunia? Moga kita semua menjadi insan terpilih untuk meraih Lailatul Qadr.

Kata Imam Nawawi malam lailatul qadar itu berpindah-pindah pada setiap tahun. Ia tidak tetap pada sekian haribulan dan sekian hari [al-Majmu', 6/450].

Umat pun dinasihatkan agar menggunakan kesempatan ini untuk memperbanyakkan ibadat dan berdoa. Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Nabi s.a.w., "Sekiranya aku berada pada lailatul qadar, apa yang aku perlu buat?"

Jadi baginda menjelaskan supaya kita beriktikaf pada malam sepuluh terakhir Ramadan di mana fadilatnya lebih banyak dari hari-hari biasa. Iktikaf tadi adalah mendampingi masjid untuk mentaati Allah.

IKTIKAF

Nabi s.a.w. beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan. Isteri-isteri baginda juga ikut iktikaf. Jadi, nak iktikaf kena berniatlah nak iktikaf. Tidak sah melainkan dengan berniat. Iktikaf hanya boleh dibuat di masjid. Seseorang yang nak iktikaf hendaklah masuk ke masjid sebelum mentari terbenam ke-20 Ramadan [Panduan Puasa Ramadhan, Jakim, cetakan.2007].

Apa nak buat ketika iktikaf?
- solat sunat
- baca al-Quran
- bertasbih, bertahmid, bertakbir
- beristighfar, berselawat dan berdoa
- mengikuti majlis ilmu
- mengulangkaji hadis-hadis
- membaca tafsir
- membaca sirah nabawi.

Itikaf Lailatul Qadar

Itikaf ini dikenali juga sebagai ‘Iktikaf Asyrul-Awahir’. Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjd sebelum terbenam matahari kedua puluh Ramadhan dan waktu tamat iktikaf ialah selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan. Iktikaf menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.

Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW. mengajak isteri dan keluarga serta para sahabat Baginda menghidupkan malam dan mengisinya dengan pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan ‘taqarrub‘ (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dan janganlah dekati (jimak) mereka (isteri kamu) dalam keadaan kamu beriktikaf di dalam masjid.” (Al-Baqarah: 187)

Daripada Aishah r.a telah berkata : “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan).” (Muttafaqun alaih)

Daripada Aishah r.a bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir dari Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan isteri-isteri baginda.. ( muttafaqun alaih)

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : “Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan Baginda SAW.” ( Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah).

Amalan Tengah Malam Lailatul Qadar

Di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa Qiamullail, iaitu mulai 12.00 tengah malam ialah;

1. Mengambil wuduk dan mendirikan Solat Sunat Wuduk.
2. Membaca surah Ali Imran; ayat 190 –200.
3. Solat Sunat Tahajjud – bagi memantapkan iman dan akidah tauhid.
4. Solat Sunat Hajat dan berdoa kepada Allah mohon dipertemukan dengan Lailatul Qadar.
5. Membaca Al-Quran.
6. Beristighfar dan berzikir
7. Bertasbih dan berselawat
8. Bersolat sunat

Solat Sunat Taubat – Mohon keampunan.
Solat Sunat Tasbih – Mengagungkan Yang Maha Esa.
Solat Sunat Lailatul Qadar – Tanda Syukur dapat meraih Malam Berkat.
Solat Sunat Witir – Solat Penutup

BERDOA

Saat Makbul Doa

Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah. Oleh kerana itu perbanyakkanlah doa pada malam itu, khususnya pada:

1. Masa berlalunya separuh malam.
2. Ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.

Ulama tasauf dan fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata: “Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doanya kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab.”

Doa Bertemu Lailatul Qadar

Orang yang bertemu dengan Lailatul Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri oleh para malaikat (sebentar sahaja). Hendaklah segera kita membaca: .


Dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Qadar), maka apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab:

“Bacalah:
اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى.
“Allahumma innaka ‘afuwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni wagh’firli”

Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi suka mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku.

rujukan: http://shafiqolbu.wordpress.com

Selasa, 7 Ogos 2012

Petua Imam Al Ghazali Mencari Malam Lailatul Qadar

بسم الله الرحمن الرحيم


Maksud Lailatul Qadar

Lailatul Qadar atau Lailat Al-Qadar (malam ketetapan) adalah satu malam penting yang terjadi pada bulan Ramadhan, yang dalam al-Quran digambarkan sebagai malam yang baik dari seribu bulan. Dan juga diperingati sebagai malam diturunkan al-Quran.

Petua oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama' untuk mencari malam Lailatul Qadar

Jika awal Ramadhan jatuh pada hari:

Ahad atau Rabu malam Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan

Isnin - dijangka berlaku pada malam 21 Ramadhan
Selasa atau Jumaat - dijangka berlaku pada malam 27 Ramadhan
Khamis - dijangka berlaku pada malam 25 Ramadhan
Sabtu - dijangka berlaku pada malam 23 Ramadhan

Kata Sheikh Abu Hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan Lailatul Qadar pada malam yang tepat mengikut petua diatas. Walaubagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam Qadar pada malam-malam yang lain juga. Sebabnya Ibnu Kathir ada menulis dalam kitabnya; ada sebahagian ulama' berpendapat setiap malam dalam bulan Ramadhan ialah malam Lailatul Qadar [tak kira ganjil tak ganjil] Jadi, lebih baik kita anggap setiap malam adalah malam Lailatul Qadar supaya boleh jadi perangsang kepada kita untuk tingkatkan ibadah secara istiqamah.. Jika ditakdirkan Allah tak memberi malam Lailatul Qadar pada kita, ibadah yang kita buat secara bersungguh sungguh tu tak sia sia bukan? malah Allah akan berikan ganjaran yang setanding dengan amalan yang kita lakukan tu.. Allah kan Maha Adil  dan Pemurah.. Nasihat berharga dari Almuhtaram Ustaz Muhadir bin Haji Joll bagi mereka yang ingin mencari malam lailatul Qadar... >> dipetik dari satu website ( tak ingat nama websitenya.. semoga Allah merahmati si penulis]:

Tanda-tanda Lailatul Qadar

Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas. Siangnya cahaya matahari warnanya pucat. Pada malam itu malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat dan tandanya ialah tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba. Itu sahaja dapat dikongsi sempena bulan yang baik ini. Insyaallah kita akan bertemu dengan malam tersebut jika diizinkan oleh Allah S.A.W.

Marilah kita menjadi umat yang memperolehi kelebihan daripada anugerah Allah ini !

rujukan: http://blogtokwan.blogspot.com/2012/08/petua-imam-al-ghazali-mencari-malam.html

Jumaat, 3 Ogos 2012

Salam Nuzul AL-QURAN

بسم الله الرحمن الرحيم


Masa berjalan begitu pantas. Kini kita telah melalui pada 15 Ramadhan 1433. Samada kita penuhi ia dengan sesuatu yang manfaat, melakukan amal kebaikan yang berterusan dan mengerjakan amal ibadah dengan penuh keikhlasan dan keimanan atau ianya sama kualiti seperti Ramadhan seperti tahun2 yang lepas.

Amat rugilah bagi mereka yang tidak mengambil peluang yang telah diberikan oleh Allah kepada kita dengan memanjangkan umur kita hingga bertemu kembali dengan Ramadhan 1433 tahun ini. Dalam Rejab dan Sya’ban kita selalu berdoa, “Ya Allah, Engkau rahmatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban ini, Engkau sampaikanlah Ramadhan kepada kami”.

Jadi bila tibanya Ramadhan, kita kurang mengimarahkannya. Kita biarkan ianya seperti bulan2 yang biasa. Kita hanya sibuk dengan balik awal untuk ke bazar2 Ramadhan. Maklumlah bazar2 sama meriahnya dengan shopping2 mall yang sibuk dengan adengan2 untuk menyambut Syawal. Apa yang kita kejarkan dalam Ramadhan ini? Setiap tahun jika diberi kesempatan kita akan lalui bulan Ramadhan. Pernahkah kita terfikir untuk meningkatkan lagi mutu dan kualiti ibadah kita? Lebih mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta. Lebih ingin menjadikan hamba yang lebih bertaqwa. Atau kita sekadar berpuasa, menjalani rukun Islam yang ke 3 hanya menahan diri dari lapar dan dahaga tanpa mendapat apa itu intipati dari Ramadhan itu sendiri.

Ramadhan bulan yang penuh dengan Barakahnya. Bulan Ramadhan diberikan pelbagai nama jolokan. Bulan Rahmat, Bulan Maghfirah, Bulan Tarbiyah, Bulan Mujahadah, Bulan al-Quran dan berbagai lagi. Dalam Ramadhan juga terjadinya peristiwa agung dalam sejarah umat Islam yakni penurunan al-Quran Kareem dari Allah melalui perantaraan malaikat Jibrail as kepada Rasulullah S.A.W. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke 185 yang bermaksud:

“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”

FirmanNya lagi dalam ayat pertama surah al-Qadar :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. 

Dalam surah al-Dukhan pula ayat ke 3 pula Allah s.w.t telah berfirman :

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).

Walaupun umat Islam di Malaysia secara tradisinya menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat yang lebih tepat tentang turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M. Ini disebabkan pendapat / khilaf ulamak yang mengatakan berlakunya pada 17 Ramdhan adalah berpandu pada ayat ke 41 dari Surah Al-Anfaal adalah difokuskan kepada perisytiwa perang Badar bukannya tentang penurunan al-Quran.

Firman Allah dalam ayat ke 41 surah al-Anfal itu, maksudnya : 

“…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…” 

‘Nuzul’ merupakan perkataan Arab yang memberi makna turun atau berpindah, iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. ‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat, kisah syurga dan neraka, kisah para2 Nabi dan Rasul dan sebagainya.

Al-Quran itu adalah mukjizat yang masih kekal hingga ke zaman ini. Allah memuliakan akan Nabi Muhammad S.A.W. hingga mukjizatnya yang dibawa oleh Baginda S.A.W masih utuh hingga ke saat ini. Zaman yang penuh dengan segala cabaran, fitnah, propaganda2 yang ingin menyesatkan umat Islam itu sendiri.

Jadi perbanyakkanlah membaca al-Quran pada bulan yg penuh Rahmat ini. Cuba menghayati intipati dan makna yang diceritakan didalamnya. Moga dengan banyaknya kita membaca, mendekatkan diri, memahami apa yang terkandung di dalam al-Quran akan membuatkan hati kita mudah lentur, penuh keinsafan, terdidik dalam menghayati hidup sebagai hamba Allah.

Nuzul al-Quran yang akan tiba nanti pada 17 Ramadhan 1433 bersamaan 6hb Ogos 2012 (Isnin).

Rujukan: http://masterismi.wordpress.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...