Ukhwah Islamiyyah

Memaparkan catatan dengan label Doa-doa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Doa-doa. Papar semua catatan

Khamis, 10 April 2014

Berdoa Minta Pertolongan Hendaklah Sepanjang Masa Bukan Ketika Berdepan Musibah.























RAMAI yang meminta kepada manusia tetapi tidak mahu meminta kepada Allah SWT. Mereka juga pandai menjaga hubungan baik dengan manusia tetapi memutuskan hubungannya dengan Allah SWT.

Mereka bergantung kepada manusia dan berharap mendapat manfaat daripadanya sehingga melupakan kuasa Allah SWT yang memberi manfaat dan mudarat. Perbuatan sebegini boleh menyebabkan iman seseorang terjejas. Seolah-olah mereka hilang kepercayaan kepada Allah SWT, padahal Dialah yang menggenggam ubun-ubun setiap makhluk.

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan cucunda Umar bin Al-Khattab, seorang warak, zuhud lagi alim bernama Salim bin Abdullah bin Umar al-Khattab. Kedua-duanya berada di Baitullah. Khalifah bertanya: “Apakah kamu mempunyai hajat kepadaku, wahai Salim?” Salim menjawab: “Wahai Sulaiman tidakkah engkau malu mengatakan itu padahal engkau berada di Baitullah? Kemudian Salim keluar dan Sulaiman menunggunya di luar Baitullah dan kembali bertanya: “Apakah kamu mempunyai keperluan kepadaku?” Salim bertanya juga: “Keperluan dunia atau akhirat, wahai khalifah?” Sulaiman menjawab: “Keperluan dunia.” Salim berkata: “Adapun tentang keperluan dunia, kepada yang memilikinya pun aku tidak pernah meminta, bagaimana mungkin aku memintanya kepada yang tidak memilikinya?

Kepada Allah SWT yang memiliki dunia dan segala isinya pun beliau tidak meminta kecuali untuk kepentingan akhiratnya saja, apatah lagi kepada manusia yang hakikatnya tidak memiliki apa-apa. Begitu kuatnya hubungan orang mukmin kepada Allah SWT melebihi hubungan sesama manusia di dunia ini. Keyakinannya kepada Allah SWT terpacak kukuh dan tidak mungkin digoyah oleh kuasa apapun.

Orang mukmin berpegang kepada satu keyakinan, iaitu hanya kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-An’am: 17)

Apabila syaitan pernah meminta kepada Allah SWT dan permintaannya dimakbulkan, mengapa ramai manusia tidak yakin dengan doanya kepada Allah SWT seterusnya berhenti berharap, berputus asa daripada rahmat-Nya dan mencabut akar keyakinan daripada hatinya kepada Allah SWT? Sedangkan iblis diberi peluang, inikan pula manusia makhluk pilihan paling mulia. 

Sebagaimana yang terakam di dalam surah Al-A’raf: 14-15, maksudnya: “Iblis berkata: Beri tangguh kepadaku sampai waktu mereka (manusia) dibangkitkan”. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.”

Sehebat dan sekuat apapun, manusia tetap makhluk yang tidak berupaya melawan takdir-Nya. Dia memerlukan pertolongan Allah SWT, menyandar pada rahmat-Nya, bergantung hidup kepada limpah kurnia-Nya dan mengharapkan belas kasihan ketika menghadapi sebarang musibah.

Namun begitu, ada juga yang bergantung kepada Allah SWT ketika susah saja, jika sudah berakhir kesusahannya dia kembali berpaling. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya, begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah Yunus: 12) 

Mengapa cepat sekali hati berubah? Sekejap ingat sekejap lupa, iman dan kufur bertukar-tukar seperti baju yang dipakai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kalian mengerjakan amal soleh. Kerana akan terjadi bencana yang menyerupai malam yang gelap, iaitu seseorang yang pada waktu pagi beriman tetapi pada waktu petang dia kafir atau sebaliknya pada waktu petang dia beriman dan pada pagi harinya dia kafir. Dia menukar agamanya dengan sedikit keuntungan dunia.” (Hadis riwayat Muslim) 

Perubahan iman yang berlaku sebegini pada asasnya disebabkan renggangnya hubungan manusia dengan Allah SWT, lemahnya keyakinan mengenai sifat-Nya dan kejahilan yang disengajakan. Secara sengaja mereka menolak kebenaran al-Quran dan Sunnah, berdolak-dalih mencari alasan untuk meninggalkan agama ke tepi. Pandai berputar belit menafikan ayat-ayat Allah dan semua itu dilakukan kerana mereka lupa siapa diri mereka sebenarnya. Jika mereka berpijak pada bumi nyata, mereka akan menghayati kelemahan diri. Mereka memerlukan Allah SWT untuk selamat sampai ke tujuan.

Jika mereka diliputi kesulitan hanya kepada Yang Maha Kuasa saja tempat bergantung. Apabila tiada lagi kekuatan dalam diri yang boleh menyelamatkan maka mereka menjerit mencari Tuhan Yang Maha Perkasa. Sebagaimana jeritan Qarun dan Firaun, kaum ‘Ad dan Tsamud. Sedangkan Nabi Musa merayu kepada Bani Israil setelah berkali-kali dikecewakan dengan kekufuran mereka:

Walau diri pernah ternoda oleh dosa dan maksiat, tetaplah berharap kepada Allah SWT. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan Allah maka dia akan terputus daripada kesenangan dunia dan di akhirat pula menanti azab yang kekal selama-lamanya. Doa dan harapan kepada Allah adalah senjata yang paling tajam untuk membunuh iblis dan syaitan. Doa seorang hamba melemahkan semangat iblis untuk menyesatkannya dari jalan Allah. Disebabkan tangisan, ketakutan, harapan dan cemas mengiringi doa seorang hamba membuat iblis berputus asa seketika.

Apatah lagi mendengar ketulusan seorang yang menyerahkan segala permintaannya menurut ilmu Allah SWT bukan menurut kehendak diri sendiri. Sebagaimana doa Nabi Nuh AS saat melihat darah dagingnya sendiri tenggelam ditelan banjir besar. Firman Allah yang bermaksud; “Nuh berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakikat)nya dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Hud ayat: 47)

Bolehkah kita menghadirkan sangka baik kepada Allah SWT dalam keadaan seteruk apapun dan mempersembahkan doa yang paling tulus? Belum terlambat untuk mengetuk pintu langit dengan bahasa yang paling indah dan lembut diiringi dengan harapan dan keyakinan kepada janji Allah SWT. Sesungguhnya tidak akan ditolak doa orang yang berpuasa. Amin ya Allah, ya rabbal ‘alamiin.

Oleh Mufti Perlis Yang Sekarang

http://rezekihalal.com/ingat-allah-setiap-masa-bukan-masa-susah-sahaja/

Selasa, 25 Februari 2014

Sunnah Yang Diabaikan






















Solat Sunat Istisqa'

Istisqa’ bermaksud meminta siraman air.

Istisqa’ juga bermakna doa meminta hujan kepada Allah S.W.T dengan cara yang tertentu seperti berdoa ketika khutbah Jumaat, berdoa setelah selesai solat, doa secara sendirian (tanpa solat atau khutbah) dan mengerjakan solat Istisqa’.

Oleh itu solat sunat Istisqa’ adalah solat yang dikerjakan secara spesifik untuk memohon kepada Allah swt agar menurunkan hujan ketika terjadinya musim kemarau.

Sebagai mukmin,kita meyakini bahawa apa jua musibah seperti kemarau yang menimpa adalah salah satu tanda kemurkaan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya yang tidak menurut perintah-Nya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

 ...وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلاَّ أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَجَوْرِ
 السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ... 

 …Dan tidak akan ada suatu golongan yang mengurangi sukatan dan timbangan kecuali Allah akan mencabut nikmat-Nya dan menjadikan penguasa zalim memerintah mereka. Tidak ada orang yang menahan zakat daripada harta-harta mereka kecuali Allah akan menahan turunnya titisan air dari langit…
(Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, Rasulullah saw telah mengajar umatnya agar mengerjakan solat Istisqa’, memperbanyakan doa serta istighfar (memohon keampunan) agar Allah swt mengampunkan dosa lalu Dia menurunkan hujan dan mengembalikan nikmat rezeki kepada para hamba-Nya.

Hukum solat Istisqa’ ini adalah sunat .

KAIFIAT PERLAKSANAAN SOLAT ISTISQA’

Antara perkara yang perlu dilakukan oleh para jemaah untuk solat ini ialah :

Puasa tiga hari, sambil itu bertaubat kepada Allah dengan meninggalkan segala dosa dan kezaliman.

1. Pada hari yang keempat, semua penduduk disuruh keluar dengan berpakaian sederhana menuju ke tanah lapang. Di samping itu binatang-binatang ternakan juga perlu dibawa bersama. Maka pada hari tersebut semua penduduk disuruh supaya memperbanyakkan membaca istighfar.

2. Pada rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah bacalah Surah Sabbihisma Rabbikal A’la, dengan suara keras. Dan pada rakaat kedua pula dibaca surah Hal Ataaka Hadithul Ghasyiah.

3. Sesudah itu, khatib harus membaca dua khutbah, pada khutbah yang pertama dimulai dengan membaca Istighfar 9 kali dan pada khutbah kedua pula dimulai dengan 7 kali istighfar.

4. Sunnah memperbanyak membaca doa minta hujan di dalam khutbah yang kedua, yang diucapkan oleh khatib terkadang dengan jahar (suara keras) dan terkadang dengan sir (suara perlahan) menzahirkan harapan dari alunan suara. Adapun jika doa itu diucapkan dengan jahar maka ma’mum mengucapkan “amin” dengan jahar pula, dan jika diucapkan dengan perlahan maka ma’mum berdo’a sendiri dengan perlahan juga .

5. Sunnah pada akhir khutbah yang kedua :
a) khatib menghadap qiblat (membelakangi makmum)
b) Bagi khatib dan sekalian makmum membalikkan selendangnya (serbannya) dengan menjadikan yang sebelah atas menjadi kebawah dan yang sebelah kanan menjadi kekiri.
c) kemudian berpaling lagi oleh khatib membelakangi kiblat pada akhir khutbah yang kedua itu. 

NIATNYA

 أُصَلِّي سُنَّةَ الإِسْتِسْقَاءِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى 

Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat ististiqa’ 2 rakaat kerana Allah Taala.

DOA SOLAT ISTISTIQA’

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِين . الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيْدُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ . أَنْتَ الْغَنِّيُ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ
، أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ عَلَيْنَا قُوَّةً وَبَلاًغًا إِلَى حِيْنَ . 

Maksudnya : “Segala puji bagi Allah pemelihara alam semesta, Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Raja hari kiamat, tiada Tuhan yang maha benar selain Allah, Yang berbuat menurut kehendak-Nya. Ya Allah, Engkaulah Allah yang tiada Tuhan selain-Mu. Engkaulah Maha Kaya, sedangkan kami adalah papa, turunkanlah kepada kami hujan, dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu menjadi bekal sampai beberapa lama.

PENCERAHAN :

A) Penampilan Fizikal Dan Mental Untuk Bersolat Istisqa’ Mereka yang mengerjakan solat Istisqa’ ini hendaklah menuju ke tempat perlaksanaan solat tersebut dengan penampilan sederhana, tawadhu’ (merendah hati), tadharru’ (bersungguh-sungguh dalam memohon) dan tamaskun (menunjukkan benar-benar perlukan permintaan tersebut)

B) Solat Istisqa’ Dikerjakan Secara Berjemaah Sebanyak Dua Rakaat.

C) Tidak Dilaungkan Azan Atau Iqamah Sebelum Solat Tersebut.

D) Dilaksanakan Sebagaimana Solat Hari Raya. Solat Istisqa’ dikerjakan sama sebagaimana solat Hari Raya yakni dengan melakukan tujuh takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua.

E) Waktu Perlaksanaan Solat Istisqa’. Solat sunat Istiqa’ boleh dikerjakan pada bila-bila masa kecuali waktu yang diharamkan untuk bersolat.

F) Bacaan Dalam Solat Istisqa’ Adalah Secara Jahar (Kuat).

G) Tempat Perlaksanaan Solat Istisqa’. Tidak dikerjakan di dalam masjid atau surau tetapi di tanah yang lapang seperti padang atau halaman masjid yang luas.

RUMUSAN : Rasulullah saw sebagai ketua negara umat Islam telah turun bersama-sama rakyat untuk mengerjakan solat Istisqa’ ini. Lantaran itu pada masa kini terdapat beberapa negara-negara Islam di timur tengah yang mana para pemerintah tertinggi sesebuah negara itu turut turun bersama rakyat jelata untuk mengerjakan solat Istisqa’ ini Kita ternanti-nanti bila sunnah ini akan diamalkan pula oleh pemerintah di Malaysia.

Wallahu a'lam

Rabu, 31 Julai 2013

BERDOALAH DALAM TANGISAN DI RAMADHAN INI


Berdoalah kalian:
  1. Ya Allah muliakanlah aku ketika menghadapi sakaratul maut. 
  2. Ya Allah muliakanlah aku untuk menghadapi masuk ke alam barzakh. 
  3. Ya Allah muliakanlah aku ketika berada di alam barzakh 
  4. Ya Allah muliakanlah aku ketika aku bangkit di Padang Mahsyar 
  5. Ya Allah muliakanlah aku ketika aku berada dihadapan mizan mu nanti. Ya Allah berilah aku syafaat Nabi Muhammad SAW. 
  6. Ya Allah muliakanlah aku ketika aku meniti Titian Siratulmustaqim 
  7. Ya Allah muliakanlah aku ketika aku berhimpun dengan orang-orang yang ku sayangi di syurga nanti. 
Sahabat... Berdoalah dalam tangisan.... Mungkin juga Ramadhan ini ialah Ramadhan yg terakhir bagi kita... 

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dia titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang difardhukan oleh Allah".
(Hadith riwayat at-Tarmizi).

Sabtu, 5 Januari 2013

DI DEPAN PINTU ALLAH

بسم الله الرحمن الرحيم


YA GHAFUR...
♥♥※::~.::※::※::~::※♥♥
Sungguh hamba sangat malu pada Mu
Betapa banyak kehinaan yang ku dapat akibat dosa
Tetapi Engkau tak pernah bosan memberiku kurnia
Dengan linangan air mata penyesalan Hamba Mu yang lemah dan hina bersimpuh di bawah keagungan dan kebesaran Mu
Memohon pada Mu untuk dibukakan pintu taubat Mu

Hamba ketuk pintu taubatmu dengan penyesalan yang terdalam.
Dengan pengharapan dibukakan,dengan kecemasan tak dikabulkan

Tak akan hamba tinggalkan pintu ini
Hingga Engkau memperbaiki dan menerima hamba
Dengan segala cacat dan aib pada diri hamba
Jika Engkau ridha, sungguh itulah kemulian dan kerinduan hamba
Jika Engkau menolak, kepada siapa hamba berharap atas segala dosa.

YA TAWWABU...

Orang–orang mengira diri hamba baik dan mulia
Padahal hamba orang terburuk andai tak Engkau maafkan.

Dalam wahyu yang Engkau nuzulkan.
Engkau berjanji akan mengampuni hamba Mu yang bertaubat dari dosa yang dilakukan Hamba yakin akan ampunan Mu…ya Robbi,

KERANA….

Ampunan Mu sangat luas melebihi kesalahan hamba–hamba Mu

DAN…
Pintu taubat Mu sangat besar melebihi alam semesta.

Isnin, 2 Julai 2012

Khamis, 17 Mei 2012

Doa Rasulullah yang tidak popular di zaman ini

بسم الله الرحمن الرحيم


Tidak ada orang mahu miskin. Semua mahu kaya, mahu rezekinya murah, mahu hidupnya mewah, mahu urusan duniawinya dipermudahkan. Tidak ada yang mahu miskin, kekurangan, apalagi melarat.

Semua mahu hidup senang di dunia, mewah dan berlebihan tanpa memikirkan apa yang menimpa terhadap dirinya dari kekayaan yang diberikan kepadanya. 


Malah sebahagian dari mereka berusaha agar boleh kaya dengan cara apapun. Dengan cara halal atau dengan cara haram. Semua cara dilakukan, yang penting boleh kaya dan mendapat duit.

Banyak sekali do'a-do'a yang diajarkan Nabi kita Muhammad saw agar boleh dapat kekayaan, murah rezeki dan hidup senang, diantaranya yang diriwayatkan oleh Abu Abdullah Muhammad al Qurtubi dalam tafsirnya yang menulis bahawa kebaikan di dunia sangat luas mencakupi diantaranya: 


Kesihatan, isteri yang soleh, anak dan keturunan, ilmu, ibadah dan pula harta benda dan kekayaan. Ini semua termasuk dalam kategori kenikmatan duniawi.

Di lain ayat Allah berfirman "Dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari kenikmatan duniawi". (Al-Qashash 77)


Di samping do'a-do'a yang diajarkan untuk rezeki murah, ada pula do'a-do'a yang tidak popular di zaman ini yang diajarkan Rasulullah SAW agar meminta kepada Allah kemiskinan

"Ya Allah, hidupkan aku miskin. Matikan aku miskin. Dan kumpulkan aku kelak di Padang Mahsyar ke dalam kelompok kaum miskin".


Doa diatas tadi jarang sekali dibaca tapi memang itu kenyataan doa yang diajarkan Rasulullah SAW agar meminta kepada Allah kemiskinan.

Suatu ketika Rasulullah pernah ditanya tentang syurga dan ahlinya, beliau menjelaskan bahAwa penghuni yang paling ramai di syurga adalah orang miskin. Yang dimaksud di sini tentu bukan semua orang miskin masuk syurga. akan tetapi kebanyakan penghuni surga adalah orang miskin yang sabar, soleh, taat kepada Allah dan banyak beribadah.

Miskin. Siapa suka miskin? Semua lari dari kemiskinan dan takut miskin. Ini kenyataan hidup sekarang ini. Tidak ada orang ingin hidup miskin. Bercadang ingin jadi miskin, bermimpi jadi orang miskin atau bertemu dengan kemiskinan atau kesusahan sahaja sama sekali tidak dibayangkan.

Tapi kalau kita teliti dengan saksama memang itulah kenyataan sebahagian falsafah hidup yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita. Dan baginda sendiri ternyata hidup dalam keadaan miskin. Ketika beliau wafat, tidak ada harta yang diwariskan untuk keluarganya dan diketahui baju besinya masih tergadai pula. Rahsia apa sebenarnya yang terkandung dalam gaya hidup seperti baginda itu ?

Begitu pula para sahabat Nabi kebanyakannya mereka hidup dalam kekurangan dan kemiskinan. Hidup berlebihan atau kaya sangat jarang kita dapatkan dalam kisah kehidupan para sahabat Rasulullah. Ada diantara mereka yang kaya seperti Usman bin Affan dan Abdurahman bin Auf, tapi mereka pun berusaha menginfa'kan dan rela mengeluarkan hartanya ke jalan Allah agar jadi miskin.

Imam besar Ali RA hidup miskin dan serba kekurangan. Malah setelah berkahwin dengan Fatimah binti Rasullah beliau tidak mampu mengambil seorang pembantu. 


Ketika isterinya, Fatimah, datang kepada ayahnya minta kepada beliau seorang pembantu. Rasulullah pun berkata "Wahai anakku bersabarlah. Sesungguhnya sebaik baiknya wanita adalah yang bermanfaat bagi keluarganya"

Contoh lainnya, pernah satu ketika Rasulallah SAW datang menziarahi ke rumah anaknya, Fatimah. Ketika beliau melihat anaknya mengenakan subang dan rantai diperbuat dari perak, begitu pula beliau melihat selak pintu rumahnya diperbuat dari bahan sejenis perak, Rasulullah segera keluar dari rumahnya dan kelihatan tanda tanda kemarahan di wajah beliau. Beliau naik ke atas mimbar.

Fatimah pun mengetahui maksud kemarahan ayahnya. Maka ditanggalkan subang, rantai dan selak pintu yang terbuat dari perak dan segera diserahkannya kepada Nabi di atas mimbar seraya berkata "Jadikanlah semua ini di jalan Allah, ya abati".
Ya Allah Ya Robb, adakah lagi perempuan perempuan sehebat Fatimah RA di zaman ini ??

Wahai kaum muslimin, seandainya dunia ini bernilai di sisi Allah sebesar sayap nyamuk, maka tidak ada seorang orang kafir diberi minum setitis pun"

Jadi, mengapa Rasulullah SAW mengajarkan doa jadi miskin? Rahsia apa sebenarnya yang terkandung dalam doa dan contoh yang beliau berikan ?

Orang kaya yang hanya memikirkan diri sendiri, serakah, tamak, dan kedekut, orang semacam ini dikategorikan orang kaya tapi berjiwa miskin. Sebaliknya orang miskin yang menerima nasib, bersabar, tabah dengan segala musibah yang menimpah dirinya, dan redha serta bersyukur dengan apa yang telah diberikan Allah, ia adalah orang miskin berjiwa kaya.

Ahad, 8 April 2012

Berdamailah dengan Takdir


بسم الله الرحمن الرحيم

Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini,

"Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata."
  
Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma 'sekerat', kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.

Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikan-Nya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu. Ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabi'e nya.
Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stress, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk 'berkelahi' dengan takdir. Kita tidak menerima 'warna-warni' kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.

Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, "Sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga." Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk 'bersahabat' dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita menikmati alam seperti seadanya. Akur kepada Pencipta senja.

Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan 'lukisan takdir' pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?

Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah. Malah, kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nanti hasilnya, katakan pada diri

"Aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik."



Jika yang diharapkan berlaku, maka bersyukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka maka bersabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku. Namun, apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.

Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah. Dia akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdir-Nya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stress keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah. Allah tidak akan mengecewakan kita.

Sumber : iluvislam oleh penulis Ustaz Pahrol Mohd Juoi http://www.genta-rasa.com/

Selasa, 10 Ogos 2010

Doa Ramadhan

سم الله الرحمن الرحيم

Hari Pertama

“Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan Maha Pengampun daripada segala dosa.”

Hari Kedua

“Ya Allah, dekatkan aku kepada keredaan Mu dan jauhkan aku daripada kemurkaan serta balasan Mu. Berilah aku kemampuan membaca ayat-ayat Mu dengan rahmat Mu, wahai Tuhan Maha Pengasih”

Hari Ketiga

Ya Allah limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakan bahagian ku daripada kebaikan yang kau turunkan demi kemurahan Mu, wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan.

Hari Keempat

Ya Allah berilah kekuatan kepada ku untuk melaksanakan perintah Mu dan berilah aku kemanisan berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran dengan kemuliaan Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan perlindungan Mu, wahai Tuhan Maha Melihat.

Hari Kelima

Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba Mu yang saleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya..
(orang yang mendapat keutamaan Mu) yang hampir di sisi Mu dengan kelembutan Mu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih daripada segala Pengasih.

Hari Keenam

Ya Allah, janganlah aku dihina kerana perbuatan maksiat ku kepada Mu dan janganlah menyeksa ku dengan balasan Mu. Jauhkan aku daripada sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Mu, dengan anugerah dan bantuan
Mu, wahai kemuncak keinginan orang yang berkeinginan.

Hari Ketujuh

Ya Allah bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya.
Jauhkanlah aku daripada dosa-dosanya. Dan berilah aku zikir untuk
mengingati Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk) Mu wahai
pemberi petunjuk kepada orang yang sesat.

Hari Kelapan

Ya Allah, berilah aku rezeki berupa kasih sayang kepada anak-anak
yatim, pemberi makanan, penyebar salam dan bergaul dengan mulia, dengan
kemuliaan Mu tempat berlindung orang yang berharap.

Hari Kesembilan

Ya Allah, sediakan bagi ku sebahagian daripada keluasan rahmat Mu.
Berilah aku petunjuk dengan ajaran-ajaran Mu. Bimbinglah aku menuju
keredaan Mu yang penuh dengan kecintaan Mu, wahai harapan orang yang
merindu.

Hari Kesepuluh

Ya Allah, jadikan aku di antara orang bertawakal kepada Mu dan jadikan aku di kalangan orang yang menang di sisi Mu. Ya Allah, jadikan aku di kalangan orang yang dekat di sisi Mu. Dengan ihsan Mu wahai tempat tuju orang yang memohon.

Hari Kesebelas

Ya Allah, tanamkan dalam diri ku kecintaan melakukan kebaikan dan
kebencian melakukan perbuatan maksiat serta fasik. Ya Allah jauhkan ku
daripada kemurkaan Mu dan seksaan api neraka, dengan pertolongan Mu
wahai Tuhan yang menolong orang memerlukan pertolongan.

Hari Kedua Belas

Ya Allah, hiasilah diri ku dengan penutup dan kesucian. Tutuplah diri
ku dengan pakaian kesederhanaan dan kerelaan. Tempatkan aku di jalan
keadilan dan keikhlasan. Amankan diri ku daripada setiap perkara yang
aku takut, dengan penjagaan Mu, wahai penjaga orang yang takut.

Hari Ketiga Belas

Ya Allah, bersihkan diri ku daripada kekotoran dan kehinaan. Berilah
kesabaran kepada ku untuk menerima segala ketentuan. Berilah kemampuan
kepada ku untuk bertakwa dan bergaul dengan orang baik, dengan bantuan
Mu wahai pengharap orang yang miskin.

Hari Keempat Belas

Ya Allah, jangan aku dihukum disebabkan kekeliruan yang ku lakukan.
Ampunkan aku daripada kesalahan dan kebodohan. Janganlah kau jadikan
diri ku sasaran bala dan malapetaka, dengan kemuliaan Mu wahai kemuliaan
kaum Muslimin.

Hari Kelima Belas

Ya Allah, limpahkan rezeki kepada ku berupa ketaatan orang yang
khusyuk. Lapangkan dada ku dengan taubat orang yang menyesal, dengan
keamanan Mu wahai keamanan orang yang takut.

Hari Keenam Belas

Ya Allah, berilah kemampuan kepada ku untuk menjalani kehidupan
seperti mana kehidupan orang baik. Jauhkan bagi ku kehidupan orang yang
melakukan kejahatan. Lindungilah aku dengan rahmat Mu hingga ke alam
akhirat, demi ketuhanan Mu wahai Tuhan sekalian alam.

Hari Ketujuh Belas

Ya Allah, tunjukkan bagi ku amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-cita ku, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui segala keperluan tanpa ungkapan permohonan. Wahai yang Maha Mengetahui segala yang ada dalam hati sekalian makhluk. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci.

Hari Kelapan Belas

Ya Allah, sedarkan aku untuk mencari keberkatan. Terangkan hati ku
secerah cahaya dan bimbinglah aku serta anggota ku untuk mengikuti
segala ajaran Mu, dengan cahaya Mu wahai penerang hati orang yang bijak.

Hari Kesembilan Belas

Ya Allah, penuhkan bahagian ku dengan keberkatan dan mudahkan bagi ku
menuju ke arah kebaikan. Jangan kau jauhkan aku daripada ketenteraman
kebaikan, wahai pemberi petunjuk kepada kebenaran.

Hari Kedua Puluh

Ya Allah, bukakan bagi ku pintu-pintu syurga dan tutupkan bagiku
pintu-pintu neraka. Berilah kemampuan kepada ku untuk membaca ayat-ayat
suci al-Quran, wahai pemberi ketenangan dalam hati orang beriman.

Hari Kedua Puluh Satu

Ya Allah, berilah aku petunjuk untuk mendapat keredaan Mu. Janganlah
engkau biarkan syaitan menguasai diri ku. Jadikan syurga tempat tinggal
dan berehat bagi ku, wahai pelaksana keperluan orang meminta.

Hari Kedua Puluh Dua

Ya Allah, bukakan bagi ku pintu kelebihan dan turunkan bagi ku keberkatan mu. Berilah kepada ku untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan keredaan Mu dan tempatkan aku dalam syurga Mu yang luas, wahai penjawab doa orang dalam kesempitan.

Hari Kedua Puluh Tiga

Ya Allah bersihkan aku daripada segala dosa dan jauhkan diri ku daripada keaiban serta tanamkan ketakwaan dalam hati ku, wahai pengampun kesalahan orang yang berdosa.

Hari Kedua Puluh Empat

Ya Allah, aku bermohon kepada Mu perkara yang mendatangkan keredaan Mu. Aku berlindung dengan Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan Mu dan aku bermohon kepada Mu kemampuan untuk mentaati Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap Mu, wahai pemberi kepada yang meminta.

Hari Kedua Puluh Lima

Ya Allah, jadikan aku orang yang menyintai auliya Mu dan memusuhi musuh Mu. Jadikan aku pengikut sunnah nabi Mu, wahai penjaga hati para Nabi.

Hari Kedua Puluh Enam

Ya Allah, jadikan usaha ku sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa ku sebagai dosa yang diampuni, kebaikan ku sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban ku sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar.

Hari Kedua Puluh Tujuh

Ya Allah, berilah rezeki berbentuk ganjaran Lailatul Qadar kepada ku,
ubahkan perkara sulit menjadi mudah, makbulkan permintaan maaf ku dan
hapuskan dosa serta kesalahan ku, wahai Tuhan Maha Penyayang kepada
hamba soleh.

Hari Kedua Puluh Lapan

Ya Allah, penuhkan hidup ku dengan amalan sunnah dan muliakan aku dengan diterimanya semua permintaan, wahai Tuhan yang tidak disibukkan oleh permintaan orang meminta.

Hari Kedua Puluh Sembilan

Ya Allah, hiasilah aku dengan rahmat Mu dan berikanlah aku petunjuk serta penjagaan Mu. Bersihkan hati ku dengan fitnah, wahai pengasih kepada hamba yang beriman.

Hari Ketiga Puluh

Ya Allah, jadikan puasa ku disertai dengan rasa syukur dan diterima
oleh Mu melalui jalan keredaan Mu serta keredaan rasul Mu, cabangnya
yang kukuh dan kekuatan keberkatan, demi kenabian Muhamad saw dan
keluarga baginda yang suci dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian
alam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...