Ukhwah Islamiyyah

Rabu, 25 Disember 2013

Aceh, Hikmah Tsunami Di Astro Oasis


Masih terpahat di hati penduduk Aceh selepas sembilan tahun tragedi Tsunami yang berlaku pada tahun 2004 kekal tersimpan sebagai ‘memori duka’ terutamanya mereka yang kehilangan orang yang tersayang. Tidak hanya di Aceh, tragedi pilu turut meragut ratusan ribu penduduk yang tinggal di Sri Lanka, Thailand termasuk Malaysia.

Sebagai memperingati kisah menyayat hati yang telah meragut hampir 200,000 ribu nyawa di Aceh, pihak Astro bakal membawakan anda sebuah dokumentari berjudul Aceh, Hikmah Tsunami yang bakal menemui para penonton pada hari Khamis, 26 Disember 2013 bermula jam 11.00 malam di Astro Oasis (106).

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Encik Namanzee Harris, beza antara dokumentari Tsunami terbitan pihak Astro dengan produksi yang lain adalah bagaimana kebangkitan umat Islam di Aceh selepas kejadian pilu ini berlaku.

“Sedia maklum, sudah banyak dokumentari Tsunami Aceh telah diterbitkan tetapi untuk kali ini Aceh, Hikmah Tsunami menyingkap kebangkitan umat Islam di sana selepas meragut hampir 200,000 nyawa selain menggubah sekaligus landskap bumi Aceh.

“Jadi kami akan paparkan empat kisah menarik di Aceh iaitu kehidupan seorang anak yatim, cerita bekas pemberontak Gerakan Aceh Merdeka (GAM), kisah seorang ibu yang kehilangan anak-anaknya dan keajaiban seorang lelaki yang ditakdirkan terselamat apabila sebuah bot mendarat di atap rumah jirannya.

“Dokumentari ini juga bakal mengubah penerimaan dan tanggapan para penonton tentang bencana alam dan bagaimana kemusnahan yang banyak mampu mengubah pembangunan fizikal serta peningkatan kualiti kehidupan yang dinikmati oleh penduduk Aceh,” ujar Namanzee kepada Astro Gempak.

Lebih menarik, pihak Astro turut berpeluang sekali lagi bekerjasama dengan pihak Layar Consult Sdn Bhd yang baru sahaja memenangi anugerah dalam kategori Rancangan Dokumentari/Majalah Terbaik di Anugerah Skrin 2013 menerusi rancangan Salam Muslim.

Jelas Namanzee lagi, selain tragedi di Aceh, pihak Astro Oasis juga bakal menerbitkan beberapa rancangan tentang keadaan umat Islam sejagat seperti di isu Palestin, perkembangan umat Islam di China, kisah Islamophobia di negara-negara Eropah dan beberapa kisah masih dalam perancangan.

Jadi jangan lupa untuk menyaksikan dan mengambil iktibar dengan menyaksikan dokumentari istimewa berjudul Aceh, Hikmah Tsunami yang bakal bersiaran pada hari Khamis, 26 Disember bermula jam 11 malam di Astro Oasis (106) dan Maya HD (135) serta siaran ulangan pada 27 Disember (11 pagi), 28 Disember (2.30 petang) dan 29 Disember (6 petang).

sumber: http://www.astrogempak.com.my

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...