Ukhwah Islamiyyah

Selasa, 10 Ogos 2010

Doa Ramadhan

سم الله الرحمن الرحيم

Hari Pertama

“Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan Maha Pengampun daripada segala dosa.”

Hari Kedua

“Ya Allah, dekatkan aku kepada keredaan Mu dan jauhkan aku daripada kemurkaan serta balasan Mu. Berilah aku kemampuan membaca ayat-ayat Mu dengan rahmat Mu, wahai Tuhan Maha Pengasih”

Hari Ketiga

Ya Allah limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakan bahagian ku daripada kebaikan yang kau turunkan demi kemurahan Mu, wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan.

Hari Keempat

Ya Allah berilah kekuatan kepada ku untuk melaksanakan perintah Mu dan berilah aku kemanisan berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran dengan kemuliaan Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan perlindungan Mu, wahai Tuhan Maha Melihat.

Hari Kelima

Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba Mu yang saleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya..
(orang yang mendapat keutamaan Mu) yang hampir di sisi Mu dengan kelembutan Mu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih daripada segala Pengasih.

Hari Keenam

Ya Allah, janganlah aku dihina kerana perbuatan maksiat ku kepada Mu dan janganlah menyeksa ku dengan balasan Mu. Jauhkan aku daripada sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Mu, dengan anugerah dan bantuan
Mu, wahai kemuncak keinginan orang yang berkeinginan.

Hari Ketujuh

Ya Allah bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya.
Jauhkanlah aku daripada dosa-dosanya. Dan berilah aku zikir untuk
mengingati Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk) Mu wahai
pemberi petunjuk kepada orang yang sesat.

Hari Kelapan

Ya Allah, berilah aku rezeki berupa kasih sayang kepada anak-anak
yatim, pemberi makanan, penyebar salam dan bergaul dengan mulia, dengan
kemuliaan Mu tempat berlindung orang yang berharap.

Hari Kesembilan

Ya Allah, sediakan bagi ku sebahagian daripada keluasan rahmat Mu.
Berilah aku petunjuk dengan ajaran-ajaran Mu. Bimbinglah aku menuju
keredaan Mu yang penuh dengan kecintaan Mu, wahai harapan orang yang
merindu.

Hari Kesepuluh

Ya Allah, jadikan aku di antara orang bertawakal kepada Mu dan jadikan aku di kalangan orang yang menang di sisi Mu. Ya Allah, jadikan aku di kalangan orang yang dekat di sisi Mu. Dengan ihsan Mu wahai tempat tuju orang yang memohon.

Hari Kesebelas

Ya Allah, tanamkan dalam diri ku kecintaan melakukan kebaikan dan
kebencian melakukan perbuatan maksiat serta fasik. Ya Allah jauhkan ku
daripada kemurkaan Mu dan seksaan api neraka, dengan pertolongan Mu
wahai Tuhan yang menolong orang memerlukan pertolongan.

Hari Kedua Belas

Ya Allah, hiasilah diri ku dengan penutup dan kesucian. Tutuplah diri
ku dengan pakaian kesederhanaan dan kerelaan. Tempatkan aku di jalan
keadilan dan keikhlasan. Amankan diri ku daripada setiap perkara yang
aku takut, dengan penjagaan Mu, wahai penjaga orang yang takut.

Hari Ketiga Belas

Ya Allah, bersihkan diri ku daripada kekotoran dan kehinaan. Berilah
kesabaran kepada ku untuk menerima segala ketentuan. Berilah kemampuan
kepada ku untuk bertakwa dan bergaul dengan orang baik, dengan bantuan
Mu wahai pengharap orang yang miskin.

Hari Keempat Belas

Ya Allah, jangan aku dihukum disebabkan kekeliruan yang ku lakukan.
Ampunkan aku daripada kesalahan dan kebodohan. Janganlah kau jadikan
diri ku sasaran bala dan malapetaka, dengan kemuliaan Mu wahai kemuliaan
kaum Muslimin.

Hari Kelima Belas

Ya Allah, limpahkan rezeki kepada ku berupa ketaatan orang yang
khusyuk. Lapangkan dada ku dengan taubat orang yang menyesal, dengan
keamanan Mu wahai keamanan orang yang takut.

Hari Keenam Belas

Ya Allah, berilah kemampuan kepada ku untuk menjalani kehidupan
seperti mana kehidupan orang baik. Jauhkan bagi ku kehidupan orang yang
melakukan kejahatan. Lindungilah aku dengan rahmat Mu hingga ke alam
akhirat, demi ketuhanan Mu wahai Tuhan sekalian alam.

Hari Ketujuh Belas

Ya Allah, tunjukkan bagi ku amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-cita ku, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui segala keperluan tanpa ungkapan permohonan. Wahai yang Maha Mengetahui segala yang ada dalam hati sekalian makhluk. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci.

Hari Kelapan Belas

Ya Allah, sedarkan aku untuk mencari keberkatan. Terangkan hati ku
secerah cahaya dan bimbinglah aku serta anggota ku untuk mengikuti
segala ajaran Mu, dengan cahaya Mu wahai penerang hati orang yang bijak.

Hari Kesembilan Belas

Ya Allah, penuhkan bahagian ku dengan keberkatan dan mudahkan bagi ku
menuju ke arah kebaikan. Jangan kau jauhkan aku daripada ketenteraman
kebaikan, wahai pemberi petunjuk kepada kebenaran.

Hari Kedua Puluh

Ya Allah, bukakan bagi ku pintu-pintu syurga dan tutupkan bagiku
pintu-pintu neraka. Berilah kemampuan kepada ku untuk membaca ayat-ayat
suci al-Quran, wahai pemberi ketenangan dalam hati orang beriman.

Hari Kedua Puluh Satu

Ya Allah, berilah aku petunjuk untuk mendapat keredaan Mu. Janganlah
engkau biarkan syaitan menguasai diri ku. Jadikan syurga tempat tinggal
dan berehat bagi ku, wahai pelaksana keperluan orang meminta.

Hari Kedua Puluh Dua

Ya Allah, bukakan bagi ku pintu kelebihan dan turunkan bagi ku keberkatan mu. Berilah kepada ku untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan keredaan Mu dan tempatkan aku dalam syurga Mu yang luas, wahai penjawab doa orang dalam kesempitan.

Hari Kedua Puluh Tiga

Ya Allah bersihkan aku daripada segala dosa dan jauhkan diri ku daripada keaiban serta tanamkan ketakwaan dalam hati ku, wahai pengampun kesalahan orang yang berdosa.

Hari Kedua Puluh Empat

Ya Allah, aku bermohon kepada Mu perkara yang mendatangkan keredaan Mu. Aku berlindung dengan Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan Mu dan aku bermohon kepada Mu kemampuan untuk mentaati Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap Mu, wahai pemberi kepada yang meminta.

Hari Kedua Puluh Lima

Ya Allah, jadikan aku orang yang menyintai auliya Mu dan memusuhi musuh Mu. Jadikan aku pengikut sunnah nabi Mu, wahai penjaga hati para Nabi.

Hari Kedua Puluh Enam

Ya Allah, jadikan usaha ku sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa ku sebagai dosa yang diampuni, kebaikan ku sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban ku sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar.

Hari Kedua Puluh Tujuh

Ya Allah, berilah rezeki berbentuk ganjaran Lailatul Qadar kepada ku,
ubahkan perkara sulit menjadi mudah, makbulkan permintaan maaf ku dan
hapuskan dosa serta kesalahan ku, wahai Tuhan Maha Penyayang kepada
hamba soleh.

Hari Kedua Puluh Lapan

Ya Allah, penuhkan hidup ku dengan amalan sunnah dan muliakan aku dengan diterimanya semua permintaan, wahai Tuhan yang tidak disibukkan oleh permintaan orang meminta.

Hari Kedua Puluh Sembilan

Ya Allah, hiasilah aku dengan rahmat Mu dan berikanlah aku petunjuk serta penjagaan Mu. Bersihkan hati ku dengan fitnah, wahai pengasih kepada hamba yang beriman.

Hari Ketiga Puluh

Ya Allah, jadikan puasa ku disertai dengan rasa syukur dan diterima
oleh Mu melalui jalan keredaan Mu serta keredaan rasul Mu, cabangnya
yang kukuh dan kekuatan keberkatan, demi kenabian Muhamad saw dan
keluarga baginda yang suci dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian
alam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...