Ukhwah Islamiyyah

Isnin, 1 Julai 2013

11 Bulan Untuk Merosakkan 1 Bulan


Kesian syaitan... Dalam setahun, 11 bulan mereka berhempas-pulas berusaha menghasut nafsu kita supaya leka dan lalai. Ini semua semata-mata sebagai persiapan untuk baki 1 bulan lagi yang dinamakan sebagai bulan Ramadhan dimana syaitan-syaitan pada masa itu akan dibelenggu. Mereka tidak akan biarkan manusia melakukan kebaikan walau satu saat, apatah lagi sebulan. Maka 11 bulan itu lah masa yang digunakan oleh syaitan untuk 'mendidik' nafsu agar lalai dan leka semasa di dalam bulan Ramadhan.

Berapa ramai agaknya daripada kita yang menghargai bulan Ramadhan? Dan berapa ramai agaknya yang benar-benar gembira akan kedatangan bulan Ramadhan dan tidak sabar-sabar untuk menemuinya? Tidak kurang daripada kita yang mula berasa susah hati apabila Ramadhan hampir tiba, tidak kurang jugak yang berkata: "Aduh.... Boring la hari-hari berlapar.. Sebulan plak tuh!!!" dan macam-macam alasan lagi...

Ya, itulah tandanya syaitan sudah berjaya 'mendidik' nafsu kita. Selama sebelas bulan, syaitan menggoda manusia agar makan banyak-banyak, minum banyak-banyak, melecehkan amalan-amalan harian yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam, mengumpat dan mencaci, dan sebagainya, sehingga akhirnya apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, kita mengeluh. Mengeluh kerana dah tak boleh dah makan banyak-banyak siang malam, tak boleh dah bercampur gaul dengan kawan-kawan yang suka mengumpat, nak kena pergi sembahyang tarawikh (kalau tak pergi orang kata apa pulak kan) dan sebagainya.

Alangkah ruginya kita dan betapa berjayanya syaitan menghasut hati kita supaya menurut hawa nafsu yang diusahakan oleh syaitan selama 11 bulan untuk merosakkan 1 bulan umat Islam di bulan Ramadhan! 

Manakan tidak. Pada hari-hari biasa (yang bukan dalam bulan Ramadhan), amalan kita cumalah ala kadar sahaja. Lebih-lebih lagi apabila kita tidak berusaha langsung memperbaiki amalan-amalan kita. Pendek kata, kita tidak pernah berusaha menundukkan hawa nafsu untuk patuh pada syariat, dan hidupkan hati dengan amalan-amalan soleh. Sebab itu kita lemah, mudah dipengaruhi syaitan.

Bayangkan 11 bulan nafsu kita dihasut, yang akhirnya akan merosakkan 1 bulan Ramadhan yang mana disitulah bulan untuk mempertingkatkan amalan, bulan keampunan, bulan yang penuh dengan keberkatan yang luasnya seluas langit dan bumi... Pada bulan itulah umat Islam sepatutnya benar-benar berusaha dan berlumba-lumpa melipatgandakan amalan-amalan untuk memperoleh pahala yang berlipat-lipat kali ganda. Apatah lagi jika kita melakukan amalan-amalan soleh itu sehingga beroleh rahmat Allah dan diampuni oleh Allah SWT. Tapi bagi hatinya yang telah 'dididik' oleh syaitan, Ramadhan hanya tinggal Ramadhan, ia dibiarkan berlalu begitu sahaja; disia-siakan. Mungkin seminggu dua saja dia bersemangat untuk berpuasa, solat tarawikh 20 rakaat, tadarus Al-Quran, bersedekah dan sebagainya, tapi lepas tu LEMBIK... Kerana 11 bulan kita diberikan masa untuk memperbaiki amalan sebagai persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan, tapi akhirnya kita gagal.

Jadi, jangan biarkan syaitan menipu kita lagi. Jangan biarkan hati kita dididik oleh syaitan untuk merosakkan 1 bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu bulan Ramadhan. Biarkan syaitan-syaitan berpenat lelah berhempas pulas memujuk nafsu kita, jangan kita turutkan hawa nafsu.

Kesian syaitan, kan? Hah! Peduli apa..?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...