Ukhwah Islamiyyah

Rabu, 1 Ogos 2012

Lupa tarawih layan selera

بسم الله الرحمن الرحيم

Berbuka di luar menyebabkan leka segerakan solat

Solat sunat tarawih yang hanya dilaksanakan apabila hadir Ramadan sepatutnya menjadi rebutan setiap umat Islam kerana apabila berakhirnya bulan puasa, tiada lagi peluang menunaikan solat sunat tarawih.

Namun, apa yang mendukacitakan, masih lagi banyak pemandangan umat Islam berbuka puasa di luar dalam suasana meriah dan pastinya ini menimbulkan persoalan kepada mata yang memandang, sempatkah nanti hendak pulang untuk berjemaah solat sunat tarawih.

Malah, dalam perjalanan ke masjid dan surau untuk menyahut seruan muazin yang memberitahu sudah masuknya waktu Isyak, juga tanda bermulanya waktu untuk solat sunat tarawih yang dilakukan selepas fardu Isyak, masih ramai yang sedang menjamu selera atau duduk saja di kedai makan.

Bukankah bulan puasa untuk kita berlumba-lumba memperbanyakkan ibadat dan meningkatkan keimanan bagi meraih ganjaran berganda dijanjikan Allah, justeru alangkah ruginya jika lebih banyak masa kita luangkan untuk berbuka berbanding bersegera menunaikan solat.

Memang kita perlu berbuka puasa dan makan selepas seharian menahan nafsu yang inginkan makanan serta minuman tetapi biarlah berpada-pada, makan sekadar keperluan, jangan melampau hingga memudaratkan.

Amalan dianjurkan ialah selepas dengar saja azan Maghrib, kita berbuka dengan kurma dan segelas air. Selepas itu terus menunaikan solat Maghrib dan kemudian makan semula hidangan disediakan dalam keadaan tenang.

Itu adalah lebih baik berbanding kita makan tetapi pada masa sama memikirkan waktu yang pantas berjalan sedangkan kewajipan solat belum ditunaikan. Bolehkah agaknya kita makan dalam keadaan tenang apabila banyak lagi hidangan masih belum diusik dan solat belum dilaksanakan.

Saat paling sukar, sudah pasti untuk menunaikan solat dengan perut penuh dan keadaan termengah. Oleh itu alangkah baiknya kita merancang supaya setiap yang ingin dilakukan dapat diselesaikan dalam keadaan teratur dan paling penting, tidak tergopoh-gopoh.

Nampaknya, selain menahan dugaan nafsu, pada bulan puasa ini kita juga diuji dengan dugaan berdepan makanan untuk berbuka. Memanglah menyegerakan berbuka itu digalakkan tetapi perlu diperhalusi juga hikmah berbuka yang sepatutnya.

Lagipun, lebih seronok berbuka di rumah dengan ahli keluarga. Selalunya pada bulan puasa, ahli keluarga dapat makan malam bersama iaitu ketika berbuka. Inilah hikmah berbuka untuk mengeratkan silaturahim.

Bukanlah maksud saya tidak boleh berbuka di luar kerana ada antara kita memang terpaksa berbuka di luar seperti orang bujang yang tidak sempat masak, mereka yang tahu jika pulang rumah akan tersekat dalam kesesakan dan pihak dijemput majlis berbuka oleh rakan.

Jika begitulah keadaannya, cuba sedaya upaya menjaga solat dan mencari jalan supaya dapat pulang awal supaya sempat berjemaah untuk sunat tarawih.

Waktu Maghrib tidak panjang dan jika terlalai takut yang dikendong tak dapat yang dikejar berciciran. Takut-takut nanti, puasa kita mungkin tidak diterima jika tertinggal solat kerana amalan puasa menjadi rosak disebabkan tidak solat. Harapan kita biarlah puasa diterima dan kewajipan solat dilaksana.

Pemandangan buka puasa yang indah bagi saya ialah ketika di Makkah kerana selepas makan kurma dan air zam-zam, jemaah terus berpusu-pusu menunaikan solat Maghrib. Selepas tarawih pula mereka berlumba-lumba membaca Al-Quran.

Disana, buka penting tetapi pentingnya tidak sama dengan kita yang jika boleh inginkan hidangan hebat-hebat. Saat berbuka bagi jemaah di Makkah dan Madinah ialah saat yang dinantikan kerana masing-masing berebut untuk bersedekah.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa itu).” (Riwayat al-Baihaqi dan Ibn Khuzaimah)

Marilah bersama kita fikirkan kerana sepanjang Ramadan ini, syaitan dan iblis diikat, jadi tiada yang boleh mempengaruhi kita melainkan nafsu sendiri. Oleh itu jadikan bulan istimewa ini sebagai hadiah tidak ternilai untuk kita. Semoga setiap amalan dilaksanakan mendapat ganjaran sebaiknya daripada Allah SWT.

Oleh: ASHRAF MUSLIM

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...