Ukhwah Islamiyyah

Sabtu, 31 Disember 2011

Keperluan 'Riak' Dalam Amalan


أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم

Entri kali ini mungkin penuh nada gurauan namun bacaan perlu penghayatan dengan ketelitian.



"Kalau diberi peluang, nak meninggal dalam keadaan bagaimana?" bertanya seorang sahabat.

"Ketika sujud?" saya menjawab.

"Kenapa?"

"Nampak riak sikit," saya cuba bergurau.

"Hehehehe," masing-masing ketawa kecil penuh makna.



Teringat Ustaz Majid, ustaz 'handsome' bertaraf bapa yang mengajar madah Sorof. Kelas kini masa untuk pecah perut. Ustaz Majid punya sense of humor yang agak tinggi kiranya. Seorang pensyarah yang kreatif dalam mengajar. Bayangkan sahaja, bagaimana mungkin mata pelajaran yang bermain wazan dicampur aduk diolah melalui masakan. Andai diteliti, beliau sebenarnya seorang yang tegas tetapi lembut dalam berkata-kata. Sukar untuk marah dan bijak menegur secara hikmah, bersabar. Banyak yang saya pelajari daripada kualiti dirinya sahaja, itu belum semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Amat mengagumi dan menghormatinya. Barakallahu feeka ya Ustaz.



"Ustaz Majid kan ajar supaya riak," saya membalas.



Saat ini saya teringat pertanyaan Ustaz sewaktu awal menjalani tarbiyah madrasah Ramadan dalam kelas kami yang hanya didominasi muslimaat keseluruhannya. Setiap orang diajukan soalan "dah sampai juzuk mana?. Pelbagai jawapan yang diberikan. Kebanyakannya pada juzuk 3. Ada juga yang belum memulakan tilawah. Ada juga yang sudah sampai juzuk yang agak banyak. Ustaz kehairanan. Begitu cepat sekali. Rupa-rupanya menyambung bacaan yang dimulakan sebelum Ramadan lagi. Kelas ketawa kecil.



“Saya tak banyak, baru sampai juzuk 10 je,”. Ustaz tersenyum riak muka bergurau. Gamat ketawa seisi kelas. “Kita perlu riak,”.



Perlu 'riak'. Kini bukan mengira makna riak yang mahu kelihatan baik di hadapan manusia. Riak dalam ibadah yang mendambakan pujian manusia. Riak yang menghapuskan pahala ibadah kerana dilakukan bukan kerana Allah.



'Riak' di sini diolah maknanya. 'Riak' dengan menunjuk-nunjuk agar menjadi pendorong buat orang lain juga untuk beribadah lebih. Berlumba dalam melakukan ibadah. Kami bisa memahami maksud tersirat kata-kata Ustaz. 'Riak' agar masing-masing berlumba dalam melakukan kebaikan.



“Kalau kita baca Al-Quran tu panggil kawan duduk di tepi. Cakap dekat dia, saya mahu baca Quran ni, awak dengar. A’udzubillahi minassyaitonirrajeem. Bismillahirrahmanirraheem. Dan baca. Lepas tu tanya dia, awak dah baca sampai mana? Juzuk berapa dah?, Saya dah juzuk sekian, sekian”



Saya terkesan dengan setiap bait kata Ustaz. Tatkala Ustaz mengatakan telah banyak juzuk yang dibaca, hati saya menjerit, “saya juga mahu!”. Saat Ustaz mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dengan suara yang merdu penuh penghayatan, saya juga mahu belajar memperbaiki agar bacaan seperti Ustaz. Tarbiyah Ustaz berjaya mengetuk diri saya untuk sentiasa berusaha mengejar yang terbaik!. Didikan Ustaz terkesan di hati saya. Jazakallah ya Mu’allim.


‘Riak’ tanpa sedar terucap. Juga tanpa sedar mengetuk pintu hati.



Apabila... “mari makan tengah hari sama-sama,”. “Maaf, saya puasa sunat hari ni, lain kali ye?. Terdengar bisikan dalam hati, “oh, dia puasa ke, aku pun nak puasa sunat la juga,”.



Apabila... “Man, aku nak keluar sekejap, pergi musolla, ada usrah dengan abang Gombak. Kalau kau nak pesan apa-apa, mesejlah aku. Aku pergi dulu, Assalamualaikum,. “Oh ye, baik, baik. Waalaikumussalam,”. Terdengar bisikan dalam hati, “Bagusnya Daniel, setiap kali hujung minggu je ada usrah, aku pula buang masa asyik membuta. Aku nekad nak beritahu nanti, aku pun nak ikut usrah dia,”.



Apabila… “Na, marilah tengok cerita ni, filem paling baru ni,”. “Tak apalah Su, Su tengoklah, dah masuk waktu Asar, Na nak solat dulu. Nanti kita tengok sama-sama ye,”. Terdengar bisikan dalam hati, “aku sengaja melambat-lambatkan solat kerana perkara lagho ni, kalau ajal dijemput terlebih dahulu sebelum buka GOM Player ni....ish, ngeri bila dibayangkan, nak solat dulu jugalah,”.



Kesimpulan.



‘Riak’ positif punya misi. Misi dengan tujuan agar mendorong hati-hati yang berdekatan sama-sama melakukan kebaikan.



‘Riak’ positif punya tujuan. Tujuan agar memupuk sikap kebersamaan mengejar kebaikan dan keredaan.


‘Riak’lah secara positif.


Selamat berfikir!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...