سم الله الرحمن الرحيم
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, dan bulan berganti tahun. Detik berlalu tanpa sempat kita hitung. Sedar tak sedar kita sekali lagi melangkah ke tahun baru. Dalam beberapa hari sahaja lagi, tahun 2011 akan meninggalkan kita, dan tahun 2012 akan menjelang tiba. Bagi kita orang Islam, ada apa dengan tahun baru Masehi?
Mungkin ramai antara kita yang tidak ambil kisah apa itu tahun baru dan ada yang ambil kesempatan untuk menyambutnya dengan cara yang berbeza-beza. Bagi mereka yang mempunyai matlamat hidup yang penuh dengan disiplin atau serius, maka mereka akan menjadi tahun baru sebagai penanda arah atau sebagai titik permulaan untuk memulakan sesuatu usaha untuk mencapai hasrat dan matlamat.
Mereka yang peka kepada kehidupan akhirat dan tidak meninggalkan duniawi biasanya akan menetapkan misi dan visi mereka. Bagi sesetengah antara kita lebih baik kita memulakan pada tarikh awal muharam. Ok, sebenarnya saya ingin menyentuh sedikit dengan keadaan situasi masyarakat sekarang iaitu semangat menyambut tahun baru. Nampaknya masyarakat hari ini lebih mementingkan Tahun Baru Masihi daripada Tahun Baru Hijriah.. Malah apa yang sangat menyedihkan ialah, ada antara kita sebagai seorang muslim masih tidak tahu apa itu Tahun Baru Hijriah atau Awal Muharam. Malah apabila kita bercakap tentang Awal Muharam, mereka akan terpinga-pinga tidak tahu apa itu Awal Muharam.
Jika kita lihat sambutan Tahun Baru Masihi teramat sangat mendapat sambutan daripada masyarakat berbanding sambutan Tahun Baru Hijriah atau Awal Muharam. Kita lihat di media massa, berapa ramai yang dicekup oleh pihak berkuasa kerana melakukan maksiat. Ada sehingga berjaga malam sampai pagi kerana menghayati Tahun Baru Masihi bersama kawan-kawan dan kita lihat fikir pula berapa ramai yang sanggup bangun malam untuk solat Tahajud? Tidak ramai bukan. Berapa ramai antara kita yang ke masjid pada ambang Tahun Baru Hijriah untuk menbaca doa akhir tahun dan doa Awal Tahun. Bagaimana pula dengan mereka yang sanggup ke pusat hiburan untuk menyambut tahun baru sehingga sanggup mengharungi jalan yang sesak. Agak jauh bezanya kan.
Jika kita lihat keadaan sosial remaja sekarang amat menyedihkan sehingga remaja zaman sekarang lebih berbangga melakukan maksiat. Maksiat lebih diagung-agungkan. Cukup menyedihkan, mungkin masih ramai yang masih berada di landasan yang betul, tetapi hari ini kita seolah-olah tidak menghiraukan dosa-dosa kecil. Kadang kala kita sanggup menipu diri kita dengan tidak menghiraukan apa kesan dan akibatnya.
Tahun baru yang tiba membuka lembaran episod baru dalam kehidupan kita umat manusia. Siang dan malam yang silih berganti tanpa jemu melengkapkan peredaran sehingga cukup setahun tidak kira tahun hijrah dan masihi yang akan disambut selang beberapa hari. Umat manusia menggaru kepala memikirkan kenapa begitu cepat masa berlalu sedangkan baru beberapa kerja dilakukan, baru beberapa agenda dilaksanakan dan kenapa masa berputar sebegitu pantas.
Anak-anak di Palestin terus menghitung hari bila agaknya mereka merdeka kerana setiap hari mereka senantiasa mendengar dentuman bom dan nyanyian peluru yang tidak bermata oleh Yahudi dan Amerika. Anak-anak muda Malaysia menghitung waktu bila tahun baru masihi akan disambut untuk melihat konsert-konsert, berpesta minuman keras, berhibur sehingga melalaikan dan yang menjadi simbol tahun baru bermula dengan percikan bunga api di langit-langit bandaraya metropolitan di Negara Malaysia.
Setiap tahun kita melihat di tempat-tempat yang menjadi tumpuan anak muda kelihatan sebuah masyarakat yang hancur ditelan kemodenan seperti selari dengan pembangunan yang dikecapi. Berbondong-bondong anak muda dengan pakaian ala barat yang diagungkan, anak-anak Melayu seperti hilang kemelayuannya dengan cara penampilan yang sangat asing dengan budaya tempatan seperti kembali ke zaman nomad yang tidak berbaju terutamanya perempuan, rambut-rambut yang diwarnakan dan segala macam jenis sifat yang sukar digambarkan di akal kita berada di bumi Malaysia yang telah merdeka lebih 50 tahun. Persoalannya adakah kemerdekaan yang dikecapi selama lebih 50 tahun hanyalah dari segi kemerdekaan penjajahan kolonial dan tidak merdeka dari segi minda. kita seolah-olah dijajah secara halus lagi berseni seperti meracun masyarakat hari ini dengan madu yang dicampur dengan racun.
Apakah ini lambang kita sebagai masyarakat Islam. Berteriak dan bersorak bagai orang yang hilang pedoman. Berpelukan antara lelaki dan perempuan tanpa rasa takut pada Allah yang Maha Melihat. Ke mana perginya rasa tanggungjawab setiap lelaki yang tercipta sebagai pemimpin? Ke mana jua hilangnya rasa malu yang seharusnya menghiasi peribadi wanita sebagai hamba yang perlu dipimpin? Masing-masing bergembira dan berseronok tanpa sedikit pun mereka sedar, bahawa iblis dan syaitan juga turut bergembira di atas setiap kelalaian mereka. Penghuni langit juga segan dan malu dengan apa yang telah manusia lakukan. Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah, namun manusia hari ini sudah tiada lagi rasa malu dan takut pada Allah.
Ayuhlah saudara seagamaku. Marilah bersama-sama kita kembali ke landasan yang asal. Jalan yang lurus dan benar. Mengapa dikejar keseronokan yang bertopengkan maksiat semata-mata. Tidak tercatat walau satu pun keuntungan di sebalik keseronokan seperti itu. Bahkan akan terus mengheret kita yang sudah sedia dhaif ke jalan yang salah. Kembalilah pada apa yang disarankan oleh agama kita, supaya di padang mahsyar kelak lidah kita tidak akan tergagap-gagap untuk menjawab setiap persoalan yang diberikan oleh Allah Taala terhadap apa yang telah kita lakukan di dunia hari ini. Sedangkan di akhirat nanti, Nabi Allah Adam a.s takut dan bimbang dengan kesilapannya melanggar arahan Allah supaya tidak mendekati pohon khuldi, Nabi Musa a.s juga sedih dan risau dengan dosanya yang telah membunuh nyawa manusia, dan Nabi Ibrahim juga khuatir dengan keadaan dirinya, inikan pula kita sebagai manusia biasa yang tidak memiliki kedudukan istimewa di sisi Tuhan.
Kita bukan Nabi dan Rasul, kita juga bukan dari kalangan Wali dan Ulama. Namun sikap kita hari ini lebih teruk dari insan-insan mulia ini. Seolah-olah kita bagai dijamin dengan syurga oleh Allah. Sedangkan Rasulullah s.a.w yang sangat dicintai oleh Yang Esa dan dijamin syurga sering sujud dan beristighfar memohon keampunan, mengapa tidak kita ikut cara Baginda? Bukankah Muhammad s.a.w itu Rasul yang diutuskan oleh Allah kepada kita?
Pasti akan ada yang mengatakan aku tidak seharusnya membandingkan manusia hari ini dengan golongan Nabi serta manusia yang tinggi imannya dan zuhud pada dunia, namun bukankah kita semua adalah manusia. Allah tidak akan memandang hambanya dari segi rupa, kekayaan atau kedudukan, tapi Allah memandang setiap hambanya dari segi ketinggian iman mereka. Jika hari ini, kita masih ingin memberi alasan, apakah setiap alasan kita hari ini berguna untuk membantu kita di hari perhitungan nanti? Setiap manusia tiada yang sempurna. Semua melakukan kesilapan dan dosa. Namun Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Keampunan Tuhan itu lebih besar dari setiap kesalahan Insan.
Aku sendiri juga seorang hamba yang terlalu banyak dosa dan seringkali melakukan kesilapan kerana ceteknya ilmu dan pemikiran. Nafsu yang seharusnya dielakkan sering menjadi johan. Namun, keinsafan dalam diri akan membantu kita kembali pada jalan yang asal seandainya kita benar-benar ikhlas dan redha. InsyaAllah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan