سم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, kita telah pun berada di bulan Muharram. Mungkin masih banyak yang belum tahu amalan apa yang dianjurkan di bulan ini, terutama mengenai amalan puasa. Insya Allah kita akan membahasnya pada tulisan kali ini. Semoga bermanfaat.
Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:
“Barangsiapa yang hari ini lebih bagus dari semalam, maka dia dari kalangan yang beruntung. Barangsiapa yang hari ininya sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang merugi. Barangsiapa yang hari ininya lebih teruk dari semalam, maka dia dari kalangan yang celaka”
Tepuk dada, tanyalah iman. Mari lah kita hayati dan renung-renungkanlah sedikit kelebihan dan amalan di bulan Muharram.
Bulan Muharram merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan dengan pahala yang besar. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah bulan Allah, Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam”.(Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)
Hadis ini dengan jelas menyatakan keutamaan berpuasa pada bulan Muharram berbanding bulan-bulan lain selain Ramadan. Hadis ini juga menjadi hujah bahawa kita digalakkan berpuasa sunat pada bulan Muharram lebih banyak berbanding bulan-bulan lain.
Puasa bulan Muharram lebih lagi digalakkan pada hari ’Asyura iaitu pada 10 Muharram. Puasa ‘Asyura ini pada asalnya adalah wajib. Kemudian menjadi sunat setelah puasa Ramadan difardukan sebagaimana sabda rasulullah saw hadis riwayat Muawiyah ra berkata : Aku mendengar Nabi bersabda : Hari ini adalah hari ‘Asyura tidaklah wajib kamu berpuasa tetapi saya berpuasa. Maka sesiapa yang mahu ia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu ia boleh berbuka. ( Imam al-Bukhari dan Muslim).
Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas berkata : “Aku tidak melihat Rasulullah saw mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadan”.
Berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat keampunan dosa setahun yang lalu sebagaimana hadis riwayat Abu Qatadah berkata bahawa Baginda saw ditanya tentang puasa ‘Asyura. Baginda menjawab : ''Ia menghapuskan (dosa) setahun yang lepas”.( Riwayat Imam Muslim).
Terdapat sebahagian ulama yang berpendapat puasa pada hari ‘Asyura ini hendaklah dilakukan bersama sehari sebelumnya iaitu dinamakan juga dengan hari Tasu’a (hari kesembilan). Ini berdasarkan hadis hadis Ibn Abbas ra : “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa, mereka berkata: Wahai Rasulullah saw Sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi.
Maka Nabi saw bersabda: ”sekiranya aku masih hidup tahun hadapan, tentu aku akan berpuasa pada hari kesembilan”. ( Riwayat Imam Muslim)
Ada sebahagian golongan menyunatkan berpuasa pada hari 9,10,11 Muharram berdasarkan hadis Ibn Abbas : Hendaklah kamu perpuasa pada hari ‘Asyura dan hendaklah kamu menyalahi orang Yahudi padanya, berpuasalah sehari sebelum dan sehari selepasnya.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Bayhaqi. Namun begitu hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mensyariatkan sesuatu amalan kerana hadis itu adalah da’if lagi mungkar seperti yang dikatakan oleh Imam al-syaukaniy dalam Nayl al-Awtar. Al-Albaniy juga menghukum hadis itu da’if.
Oleh itu kita boleh memilih sama ada hendak berpuasa hanya pada hari ‘Asyura atau hendak berpuasa dua hari berturutan iaitu pada hari Tasu’a dan ‘Asyura. Kedua-dua cara ini mempunyai sandaran dalil masing-masing daripada hadis yang sahih. Seseorang itu juga boleh berpuasa pada hari-hari dalam bulan ini tanpa ditetapkan hari tertentu berdasarkan umum hadis keutamaan bulan Muharram berbanding bulan-bulan yang lain.
Memasak Bubur ‘Asyura
Memasak bubur ‘Asyura juga telah sinonim dengan bulan ini. Memasak bubur ini tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk menjamu sanak saudara dan orang ramai. Menjamu makan merupakan amal soleh dan menepati ajaran al-Quran dan sunnah. Ia jadi masalah bila ditetapkan hanya pada bulan Muharram, tidak boleh pada bulan yang lain. Lebih teruk lagi bila amalan ini disandaran kepada Rasulullah saw. Perkara ini merupakan satu pendustaan atas nama Nami Muhammad saw. Ada juga yang menyandarkannya kepada Nabi Nuh as. Semua kisah tersebut adalah cerita dongeng Bani Israil. Demikian ditegaskan oleh Imam Ibn Kathir ra dalam kitabnya Qashas al-Anbiya’.
Rujukan : Kesempurnaan Ibadat Puasa ; daripada Drs Abdul Ghani Azmi Hj Idris
Tiada ulasan:
Catat Ulasan