Kita semua menyambut Tahun Baru Hijrah 1432. Bagi kita umat Islam, alangkah ruginya jika kita tidak menyambut ketibaan tahun baru Islam ini dgn penghayatan kisah Hijrah Rasulullah saw. Alangkah ruginya jika kita lebih mengagungkan ketibaan tahun baru Masehi 2011 daripada tahun Islam kita sendiri. Jika bukan kita umat Islam yg mengimarahkan tahun Islam ini, maka SIAPA LAGI????
Tidak lama lagi kita akan menyambut dua Tahun Baru bagi dua kalendar berasingan, iaitu Hijrah dan Masihi.
Sebagai umat Islam, apa kata kita jadikan tahun baru 1432 Hijrah yang akan datang ini sebagai batu loncatan untuk perubahan kita. Jadikan kisah di sebalik peristiwa Hijrah sebagai inspirasi.
Apakah perkara yang boleh kita lakukan untuk perubahan ini?Di sini saya cadangkan beberapa perkara, sebagai permulaan
1) Kita tahu setiap saat, setiap detik daripada hidup kita akan dihisab. Jadi, penuhilah setiap saat, setiap detik hidup kita dengan beribadat kepada-Nya. Paling mudah adalah dengan berzikir. Ketika anda baring-baring pun boleh zikir. Apabila sering berzikir dan mengingati Allah, hati akan menjadi lembut. Seterusnya, mudahlah kita dalam melakukan perubahan.
2) Niatkan setiap perbuatan kita lakukan kerana Allah SWT.
3) Apabila hendak berbuat sesuatu perkara yang bakal mengundang kemurkaan Allah, cepat-cepat ingatkan diri bahawa "Allah sedang memerhatikan kita, semua perbuatan kita ini bakal dihitung kelak. Kalau kita buat dosa, kita yang menyesal nanti kat akhirat". Jika anda lakukan ini, insya-Allah pasti anda nak buang sampah merata-rata pun anda tak buat.
4) Banyakkan membaca Al-Quran dan fahami maksud ayat-ayatnya.
5) Bersihkan hati, jangan suka memandang rendah pada orang lain.
6) Lakukan semua Ibadat Fardhu, mulalah lakukan amalan sunat. Yang penting slow and steady, serta Istiqamah. Kerana amal ibadat yang Istiqamah itulah yang paling disukai Allah SWT (Hadis).
7) Jaga hubungan dengan Ibu Bapa anda. Kerana kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan Ibu Bapa.
8) Banyakkan membaca buku tentang Islam. Cari ilmu tentang Islam. Fahamkan Islam itu. Jangan sekadar menjadi umat Islam pada nama sahaja, sebaliknya jadilah umat Islam yang faham.Kerana ada Hadis yang berbunyi lebih kurang begini "...Untuk Menjadi Muslim Terbaik Adalah Dengan Ilmu/Faham" (Betulkan saya jika saya silap mengenai Hadis ini, tetapi rasanya Insya-Allah betul).
9) Mulalah pergi ke Masjid, solat jemaah, hadirkan diri dalam Majlis Ilmu.
10) Ingatlah, Islam itu bukan hanya sekadar satu 'agama' pada nama,sebaliknya ianya adalah cara hidup keseluruhan yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia melalui Rasulullah SAW.
Jika anda lakukan perkara ini, insya-Allah akan membawa impak besar kepada masyarakat. Dan lama kelamaan Islam akan bangkit kembali. Yang penting, kita mulakan dengan diri sendiri. Jangan tunggu orang lain.
Itu sahaja untuk kali ini. Semoga 1432 Hijrah yang akan datang ini, membawa satu semangat baru untuk kita. Cukuplah sudah kita menjadi umat yang lemah yang asyik berkata-kata tentang Islam, tetapi gagal untuk merealisasikan Islam dalam kehidupan seharian.
Terakhirnya, sekali lagi saya ingatkan, kita mulakan perubahan ini melalui diri kita dahulu! Insya-Allah, Allah akan membantu kita jika kita benar-benar ikhlas dahagakan perubahan.
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya
Dimulai dengan Ilmu, disusuli dengan amal, terbina keindahan rasa, mengenal hakiki dengan Allah Swt.. Hidup di dunia diuji, tidak semudah sentuhan mata, tiada seringan luahan kata, senang susah, sihat sakit, berjaya gagal, putih hitam, syukur kufur… hati mesti selalu ingat pada Allah swt.
Hayati Semangat Hijrah Nabi SAW
Hingga ke hari ini, peristiwa hijrah tetap dikenang. Namun pernahkah kita umat Islam terfikir apakah sebenarnya sejarah yang berlaku ketika hijrahnya Baginda dari kota Makkah ke Madinah? Pernahkah kita terfikir untuk mengkaji dan mendalami sejarah Islam itu sendiri?
Tahun baru hijrah mempunyai ciri yang tersendiri dan istimewa. Ia tidak sahaja menjadi alat untuk menghitung hari dan mencatat sejarah sebagai bermulanya takwim Islam tetapi amat rapat hubungannya dengan sejarah akidah dan perkembangan agama Islam.
Menyingkap peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. kira-kira 14 abad lalu, suatu peristiwa yang dipenuhi pahit manis dan pelbagai rintangan serta dugaan yang dilalui oleh Baginda dan para sahabat Baginda semata-mata bagi menyahut seruan Allah s.w.t. untuk menyelamatkan diri baginda sendiri dari ancaman orang-orang Quraisy yang bertekad untuk membunuh Baginda. Peristiwa itu bertujuan untuk mengembangkan dan menegakkan syiar Islam pada ketika itu.
Hijrah Nabi s.a.w. merupakan hasil dari kajiannya yang dilakukan oleh Baginda terhadap keadaan negara dan rakyat yang menetap di Semenanjung Tanah Arab. Ia juga merupakan satu perancangan yang mendalam, pelaksanaan yang teliti dan gerak kerja yang berterusan sehingga baginda mencapai apa yang dirancangkan.
Usaha baginda untuk menjadikan Madinah sebagai pengkalan Dakwah Islamiyyah bukan dilakukan dalam masa yang singkat. Sebelum menyeru umatnya berpindah ke Madinah, Baginda telah mengkaji dan bertemu sendiri dengan sekumpulan penduduk Yathrib dan menyeru mereka kepada Islam.
Mereka ini menerima seruan Rasulullah s.a.w. dan seterusnya membai’ah baginda dan menyatakan kesediaan untuk membantu baginda dan para sahabat baginda. Setelah itu barulah baginda menyuruh para sahabatnya berhijrah ke Yathrib, yang dikenali dengan nama Madinah pada hari ini.
Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. yang kita peringati sekarang ini bukan sahaja bermaksud perpindahan baginda dan umat Islam dari Makkah ke Madinah tetapi membawa maksud “membuat suatu perubahan”. Penghijrahan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. merupakan suatu dimensi baru kepada umat Islam iaitu dari suasana yang lama di Makkah kepada suasana yang baru di Madinah. Peristiwa itu juga merupakan detik terpenting kepada pembaharuan nilai hidup manusia dan tidak akan berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru.
Berlakunya hijrah baginda dari Makkah ke Madinah bukan sahaja mencatat sejarah dengan tertubuhnya sebuah pengkalan Dakwah Islamiyyah tetapi baginda berjaya membangunkan sebuah daulah Islamiyyah dan sekaligus menyumbang kepada perkembangan agama Islam ke seluruh pelusuk samada di dalam atau di luar Semenanjung Tanah Arab.
Antara faktor-faktor yang telah menyumbang kepada kejayaan baginda dalam membangunkan sebuah negara Islam adalah :-
Pertama : Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan pembawa Risalah Allah dan juga pemimpin umat Islam ketika itu. Kewibawaan baginda sebagai pemimpin dapat dilihat dari aspek keperibadiannya yang sanggup berkorban demi untuk menegakkan syiar Islam. Kewibawaan Nabi Muhammad s.a.w. juga dapat dilihat dari sudut pemikirannya yang berpandangan jauh dalam mengatur strategi dakwahnya.
Faktor Kedua: Kecekalan yang ditunjukkan oleh kaum Muhajirin yang telah menyahut seruan Rasulullah s.a.w. supaya berhijrah ke Madinah dengan tujuan untuk menegakkan syiar Islam. Mereka sanggup meninggalkan rumah dan harta benda mereka semata-mata mempertahankan prinsip yang mereka pegang dan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Ketiga: Kesatuan dan kesepaduan umat Islam hasil dari terbangunnya sebuah daulah Islamiyyah di Madinah. Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan berbagai-bagai usaha demi untuk menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar, Aws dan Khazraj agar menjadi sebuah umat yang bersatu. Sesebuah negara tidak akan mampu dibangunkan tanpa mempunyai umat yang boleh hidup dalam keadaan harmoni dan makmur.
Keempat: Pertolongan dari Allah s.w.t. Sudah tentunya setiap usaha yang menghasilkan kejayaan amat bergantung rapat dengan pertolongan Allah s.w.t. Usaha seseorang tidak akan berjaya tanpa pertolongan dan ma’unah dari Yang Maha Esa. Lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menegakkan syiar Islam dan Risalah Nabi Muhammad s.a.w. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 160: yang bermaksud: “Jika Allah menolong kamu maka tiada apa yang dapat mengalahkan kamu, Jika Allah membiarkan kamu maku siapakah yang dapat menolong kamu selain dari Allah sesudah itu, kerana itu hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal”
Kita perlu menghayati erti pengorbanan Baginda dalam peristiwa hijrah supaya lebih bersemangat dalam meneruskan setiap usaha dakwah. Kesabaran dan pengorbanan merupakan kunci utama keimanan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. pada ketika itu. Sumbangan seperti itu sama ada pengorbanan dari segi tenaga dan juga harta, perlu dihayati dan dicontohi umat Islam dalam menghadapi kehidupan hari ini.
Sebagai umat Islam, marilah kita sama-sama menanamkan semangat untuk lebih mendalami dan menghayati sejarah Islam itu sendiri serta mencontohi dan meneladani setiap pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dan panduan untuk mencorak langkah menuju ke arah melahirkan umat yang cemerlang dan mampu menyumbang ke arah pembangunan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan