سم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Selawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah merupakan ibadah yang mulia dan terpuji, mengandung berbagai-bagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari baginda SAW serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak. Di antara kelebihan selawat adalah seperti berikut:
1. Mendapat syafaat Nabi SAW
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berziarah kekuburku maka baginya wajib menerima syafaatku.” (Hadis riwayat Ibnu Adi & al-Baihaqi)
2. Mendapat perlindungan dan pembelaan dari Nabi SAW
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi dan al-Khatib)
3. Mendapat keampunan dosa dari Allah
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Hadis riwayat Ahmad, an-Nasaie & al-Hakim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun.” (Hadis riwayat ad-Dailami)
Sabda Rasulullah SAW, dari Ubai bin Ka’ab: “Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyak selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda: “Apa yang kamu kehendaki?” Ia berkata: kataku: “Seperempat.” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Kataku: “Apakah sepertiga?” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai,jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” Ia bertanya: “Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi & al-Hakim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang berselawat kepadaku dari umatku, maka dicatat baginya sepuluh kebaikan dan dihapuskan darinya sepuluh dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku Azza Wa Jalla maka dia (Jibril) berkata: ‘Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku dari umatmu, Allah SWT mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat Allah baginya sepuluh darjat dan menolak Allah atasnya (membalas) yang seumpamanya.’” (Hadis riwayat Ahmad)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa & pembersih dosa) bagimu.” (Hadis riwayat Ibnu Murdawaih)
4. Mendapat rahmat dari Allah
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku di hari Jumaat seratus kali maka ia datang di hari Kiamat dengan cahaya, sekiranya dibahagi antara makhluk semuanya maka cahaya itu akan memenuhinya.” (Hadis riwayat Abu Nu’aim)
5. Mendapat hajat dunia dan akhirat
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah datangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tiga puluh untuk di dunianya.” (Hadis riwayat Ibnu Majar dari Jabir r.a.)
6. Digembirakan dengan syurga
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (Hadis riwayat Abu as-Syaikh dari Anas r.a.)
Sesungguhnya amat beruntunglah mereka yang sentiasa berselawat ke atas Nabi dengan menjadikannya sebagai wirid dan amalan harian dalam hidupnya. Sebaliknya amatlah rugi dan tercelanya mereka yang tidak mahu membaca selawat kepada Nabi SAW dalam hidupnya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Hinalah hidung orang yang ketika disebutkan namaku tidak membaca selawat kepadaku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang bakhil ialah yang disebut namaku kepadanya lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Manafaat berselawat
Di dalam kitab Ibnu Farhun Al-Qurthubi dinyatakan bahawa membaca selawat kepada Nabi SAW mengandungi sepuluh macam manafaat dan mendatangkan kemuliaan iaitu:
1. Memperolehi selawat dari Tuhan Penguasa Alam
2. Memperolehi syafaat dari Nabi SAW
3. Mendapat pimpinan dari malaikat yang baik-baik
4. Menghapuskan dosa
5. Mendapat pertolongan dan tercapai keperluan hidup
6. Mempunyai pembeza dengan orang munafik dan kafir
7. Memperolehi nur lahir dan batin
8. Mendapat keselamatan dari azab neraka
9. Membolehkan memasuki syurga
10. Memperolehi ucap selamat dari Allah
Menurut para ulama yang berdasarkan keterangan-keterangan hadis, bahawa membaca selawat kepada Nabi SAW akan memperoleh berbagai-bagai faedah yang amat besar, di antaranya :
1. Memperolehi limpah rahmat dari Allah Taala
2. Ditulis sepuluh kebajikan
3. Dihapuskan sepuluh kesalahan
4. Diangkat sepuluh darjat
5. Memperolehi kesempurnaan iman
6. Menjauhi dari kerugian dan penyesalan
7. Tergolong sebagai mereka yang soleh
8. Mendekatkan diri kepada Allah Taala
9. Memperolehi syafaat Nabi SAW
10. Memperolehi hubungan yang rapat dengan Nabi SAW
11. Menghilangkan kesusahan dan melapangkan rezeki
12. Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa
13. Menghapuskan dosa dan menutupkan aib
14. Terselamat dari kebingungan di hari akhirat
15. Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu bersedekah
16. Terhindar dari kefakiran
17. Dipandang sebagai orang yang mencintai Nabi SAW
18. Memperolehi keberkahan dalam hidup
19. Terhindar dari mereka yang bakhil
20. Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah Taala
21. Memudahkan jalan bagi memasuki syurga
22. Menjadi zakat dan pembersih diri
23. Memperolehi selawat dari Allah dan para malaikat
24. Memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan di langit
25. Memenuhi hak Nabi sebagai suatu tugas ibadah
26. Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati
27. Tergolong dalam mereka yang tidak melupai Nabi SAW
28. Menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari Padang Mahsyar
29. Dapat meneguhkan telapak kaki ketika meniti Titian Sirat di akhirat
30. Terkabul segala hajat dan cita-cita
Demikianlah faedah berselawat yang sempat dikongsikan dalam entry kali ini. Semoga dipermudahkan Allah agar kita dapat membasahkan lidah dengan berselawat...
Rujukan asal : ahrasis.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan