Ukhwah Islamiyyah

Ahad, 3 Oktober 2010

Adab Menuntut Ilmu

سم الله الرحمن الرحيم

"Ta'alim wa Ta'alum" bermaksud "belajar dan mengajar". (Ta'alim bererti menuntut ilmu dan ta'alum pula bererti mengajarkan ilmu kepada orang lain.)

Ilmu yang sebenar-benarnya ialah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah, Tidak kiralah ilmu ukhrawi seperti tauhid atau ilmu duniawi seperti sains dan matematik kerana kedua-dua jenis ini mengajar kita kewujudan dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas.

Ilmu ada dua cabang:

Ilmu masail -- ilmu hukum-hakam dan perundangan (misalnya, fiqh).
Ilmu fadhail -- ilmu mengenai fadhilat dan ganjaran.

Ilmu masail perlu dipelajari dari orang-orang yang ahli dalam cabang ilmu tersebut (ustaz atau guru). Ilmu fadhail boleh dipelajari daripada membaca buku dan menghadiri majlis-majlis ta'alim Fadhail Amal.

Kalau kita perhatikan, ilmu duniawi seperti Sejarah, Matematik dan Sains juga mempunyai kedua-dua komponen ini, iaitu masail dan fadhail.

Maksud kita mengadakan Majlis Ta'alim

1. Menghidupkan Sunnah, iaitu amalan di Masjid Nabawi di zaman Rasulullah SAW. Di waktu itu, Masjid Nabawi hidup 24 jam sehari dengan 4 jenis amalan:

• Dakwah
• Ta'alim wa Ta'alum (belajar dan mengajar)
• Ibadah (temasuk dzikir, solat, membaca Al-Qur'an dan sebagainya)
• Khidmat

2. Memasukkan nur Qu'ran dan Hadis dalam hati agar timbul keghairahan untuk beramal. (Sesiapa yang tidak mendengar ayat Al-Qur'an atau Hadis selama 3 hari berturut-turut, satu titik hitam akan muncul dalam hatinya. Apabila titik hitam ini menebal dan akhirnya menutupi hati seseorang itu, maka amatlah sukar baginya untuk menerima hidayah.)

3. Untuk kita dengar berulang-ulang kali hingga timbul dalam hati kita rasa yakin akan janji-janji Allah yang dikhabarkan melalui Al-Qur'an dan Hadis Rasulullah SAW.

Fadhilat Ta'alim, di antaranya ialah:

1. Sesiapa yang menghidupkan Sunnah di zaman kerosakan umat akan mendapat ganjaran 100 pahala syahid.

2. Menuntut ilmu adalah suatu bentuk jihad. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat ingin menuntut ilmu, para malaikat akan mengiringinya sambil menghamparkan sayap-sayap mereka, dan orang itu akan berjalan di atas sayap-sayap para malaikat. Seandainya dia mati dalam perjalanan, matinya itu adalah mati syahid.

3. Syaitan benci dan takut kepada seorang yang berilmu lebih daripada 1000 orang abid, kerana tugas Syaitan ialah untuk menyesatkan manusia, tetapi seorang yang berilmu pula boleh mengembalikan mereka semula ke pangkal jalan.

4. Majlis ta'alim adalah majlis dzikrullah. Majlis dzikrullah adalah majlis yang amat besar sekali di sisi Allah SWT. Di antara kelebihan majlis dzikrullah ialah:

• Para malaikat akan mengerumuninya dan bertimpa-timpa hingga sampai ke Arasy. Apabila malaikat-malaikat ini kembali kepada Allah dengan laporan mereka, Allah akan menyebut nama-nama orang di majlis itu dan ibu bapa mereka dengan bangganya di dalam perhimpunan para malaikat.

• Penghuni langit melihat majlis-majlis dzikrullah di bumi ini bersinar seperti kita melihat bintang-bintang yang berkilauan di langit.

• Orang-orang yang berhimpun dalam majlis dzikrullah akan diampuni dosa-dosanya oleh Allah. Bukan setakat itu saja, dosa ibu bapa mereka juga akan diampunkan.

• Orang yang melewati majlis sebegini tanpa niat untuk duduk dalam majlis ini pun akan diampunkan dosanya.

Satu majlis dzikrullah di masjid menghapuskan 100 majlis lalai. Satu majlis dzikrullah di rumah menghapuskan 40 majlis lalai.

5. Disebabkan ramainya Malaikat yang mengerumuni majlis dan rahmat yang melimpah akibat daripada kehadiran mereka, ia menjadikan majlis ta'alim sebuah majlis sakinah (ketenangan). Ketika para Sahabat ra menghadiri majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, suasana menjadi sungguh tenang hinggakan burung-burung datang dan bertenggek di atas bahu dan kepala mereka tanpa sedikit pun rasa takut.

6. Dengan rahmat ini juga, Allah membersihkan dan melembutkan hati manusia di sekeliling dan memberi hidayah kepada mereka. (Sebab itulah, kita juga digalakkan untuk buat majlis ta'alim di rumah, agar ahli keluarga kita juga akan dapat hidayah, biarpun yang nampak hanya kita seorang saja yang baca kitab ta'alim, tetapi para malaikat sebenarnya ada bersama kita dan sedang mendengar apa yang kita bacakan.)

Adab Ta'alim

1. Berwudhu.

2. Solat sunat 2 rakaat sebelum majlis (dengan harapan Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memudahkan kita untuk memahami, mengingati, mengamalkan dan menyampaikan).

3. Pakaian bersih dan menutup aurat.

4. Memakai wangi-wangian.

5. Pandang mulut orang yang membaca ta'alim. Anggaplah hadis-hadis yang kita dengar sebagai sabdaan-sabdaan Rasulullah SAW yang datang dari mulut Baginda sendiri.

6. Apabila kita membaca ta'alim, ulangilah hadis yang kita baca hingga 3 kali agar mudah dihayati oleh jemaah.

7. Mendengar dengan penuh konsentrasi. Ketika para Sahabat ra duduk dalam majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, mereka tumpukan sepenuh perhatian hinggakan mereka tidak mempedulikan burung-burung yang bertenggek di atas bahu dan kepala mereka.

Apabila kita menunaikan hak mendengar, Allah akan memudahkan 3 perkara:

• Allah mudahkan ilmu masuk ke dalam hati kita.

• Allah mudahkan kita untuk memahami apa yang kita dengar.

• Allah mudahkan kita untuk bercakap tentang ilmu tadi bila diperlukan.


8. Anggaplah hadis yang kita dengar itu seolah-olah inilah kali pertama kita mendengarkannya.

9. Duduk rapat-rapat (supaya syaitan tidak mencelah di antara kita dan supaya Allah satukan hati kita dan wujudkan sifat kasih sayang di antara kita). Ketika para Sahabat ra duduk dalam majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, mereka duduk rapat-rapat hinggakan daun yang gugur dari pokok tidak jatuh ke tanah, tetapi jatuh ke riba dan bahu mereka.

10. Sebaik-baiknya duduk dalam posisi tahiyat awal dan kalau boleh, lutut kita bertemu dengan lutut si pembaca ta'alim. Kalau penat duduk tahiyat awal, bolehlah berubah kepada posisi tahiyat akhir. Kalau tidak mampu juga, bolehlah duduk bersila. (Cara duduk beginilah yang ditunjukkan oleh Malaikat Jibril AS ketika dia datang kepada Rasulullah SAW dan mengajukan beberapa soalan kepada Baginda, dengan disaksikan oleh para Sahabat.)

11. Apabila disebut nama Allah, kita sambut dengan Allahu azza wajalla atau Allahu Jalla Jallaluhu atau Subhanallah.

12. Apabila disebut nama Rasulullah SAW, hendaklah kita berselawat ke atas Baginda. (Malaikat melaknat orang yang tidak berselawat bila nama Baginda disebut).

13. Bila disebut nama para Sahabat atau Sahabiah, kita sambut dengan RadhiAllahu Anhu / Anha.

14. Bila disebut nama orang-orang alim (seperti tabi'en, imam-imam besar dan sebagainya), kita sambut dengan Rahmatullah Alaih.

15. Bila disebut nama musuh-musuh Allah (seperti Iblis, Fir'aun, Namrud, Abu Lahab dan sebagainya), kita dibolehkan menyambut dengan Laknatullah Alaih.

16. rasa gembira bila disebut tentang syurga dan takut bila disebut tentang neraka. (Kalau tak boleh, cuba paksa.)

17. Jangan mengganggu perjalanan majlis (seperti berbual-bual atau bersalam-salam bila datang lewat).

18. Menghadiri majlis ta'alim adalah lebih baik daripada melakukan ibadat-ibadat sunat yang dilakukan bersendirian. Seandainya kita datang ke masjid dan mendapati majlis ta'alim sedang berlangsung, kita digalakkan supaya duduk dalam majlis ta'alim dan menggantikan solat tahiyatul masjid dengan zikir "Subhanallah Walhamdulillah Wa lah Ilaha Ilallah Wallahu Akbar" 3 kali.

19. Ta'azeem bil Qalbi --- Memuliakan dan membesarkan majlis di dalam hati.

20. Tashdiq wa Yaqin --- Membenarkan dan meyakini (percaya) akan segala yang didengar.

21. Tabligh wa Amal --- Mempunyai niat untuk menyampaikan dan mengamalkannya.

Nota Tambahan

• Saiyidina Umar Al-Khattab ra mendapat hidayah melalui majlis ta'alim yang dipimpin oleh Saiyidina Khabbab bin Alarat ra yang dibuat di rumah adik perempuannya.

• Saiyidina Mus'ab bin Umayr ra telah diutuskan oleh Rasulullah SAW untuk berdakwah di Madinah. Sampai saja beliau di sana, beliau duduk di bawah sebatang pokok dan membuat majlis ta'alim. Dengan berkat majlis ta'alim itu, seluruh penduduk Madinah memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku selepas peristiwa Baiatul Aqabah dan sebelum penghijrahan umat Islam Makkah ke Madinah.

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com http://www.ukhwah.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...