Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 17 September 2010

AIDILFITRI : SATU RENUNGAN

سم الله الرحمن الرحيم

Kemeriahan Aidilfitri terus dirasai dan disemangati dengan pelbagai upacara sambutan dan amalan tradisi rumah terbuka di sana sini. Fenomena ziarah-menziarahi dan rumah terbuka Aidilfitri seperti ini sudah begitu sebati dalam masyarakat kita tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Demikianlah hebatnya sambutan Hari Raya Aidilfitri yang merupakan saat yang sememangnya disunatkan untuk umat bergembira dengan penuh rasa kesyukuran setelah berjaya menempuh fasa latihan kerohanian dan penyucian jiwa (tazkiah an-Nafs) di sepanjang bulan Ramadan.

Seperti biasa syawal akan dipenuhi dengan budaya ziarah-menziarahi dan sedekah-mensedekahi, cuma dikesempatan yang ada, inginku berpesan pada diri dan teman-teman supaya menjaga adab-adab ziarah, ambillah masa seketika, belajar sejenak tentang adab-adab ziarah. Supaya ziarah yang kita lakukan mendatangkan pahala kepada kita dan kepada orang yang menerima penziarahan kita.


Pelihara mata ketika ziarah usah melilau mata memandang harta benda tuan rumah kecuali dengan keizinan dan redha tuan rumah, pelihara suara ketika berbicara ketika menziarah, pilih masa yang paling sesuai ketika ziarah, dan pastikan tempoh ziarah tidak terlalu lama supaya tuan rumah memiliki masa untuk berehat ataupun memiliki peluang turut sama meraikan aidilfitri dengan aktiviti-aktiviti yang dirancangnya bersama keluarga ataupun kawan-kawan mereka.


Jika mampu, bersedekahlah kepada mereka yang lebih afdhal, usah bersedekah kerana memilih bulu, atau keturunan, atau latarbelakang semata-mata kerana ingin menjaga standard atau menjaga nama. Seafdhal-afdhalnya sedekahlah kepada orang miskin yang benar-benar memerlukan pensedekahan. Berkongsilah sinar aidilfitri dengan mereka yang benar-benar memerlukan terutamanya anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, orang-orang kurang upaya dan tidak lupa terhadap warga tua.

Hendak berpuasa Syawal atau hendak meneruskan raya

Setelah selesai berpuasa Ramadan kita disuruh atau diperintahkan Allah supaya berhari raya iaitu pada 1hb.Syawal dan setelah itu diperintahkan pula supaya berpuasa sunat, walau bagaimana pun perintah ini hanya perintah yang lebih ringan sedikit, iaitu boleh pilih sama ada hendak berpuasa atau sebaliknya. Tetapi ditegaskan bahawa melakukannya itu lebih utama daripada mengabaikannya kerana berpuasa itu lebih baik, sekiranya kita berhari raya sehari sahaja dan meneruskan dengan berpuasa syawal pada 2hb.Syawal sehingga 7hb.Syawal akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda, mereka itu ibarat berpuasa sepanjang tahun , demikianlah penjelasan dari Rasulullah.s.a.w.

Jika kita mengikut betul-betul sunnah Nabi tanpa ubahsuai, kefarduan puasa dan berhari raya , sebenarnya tidak membebankan pun, baik dari segi apa pun khasnya dari segi ekonomi kerana berhari raya Aidil Fitri hanya sehari sahaja, kemudian kita seharusnya meneruskan puasa. jika ditakdirkan semua orang Islam mematuhinya maka tiada masalah yang mengganggui pelaksanaan syariat tersebut, tetapi, jika berlaku sebaliknya tentulah ada gangguan, satu pihak berpuasa sunat, suatu pihak pula menziarahi kita untuk berhari raya, situasi inilah yang menjadi masalah, di mana ibadat dan adat berlawan tarik tali.Satu pihak ingin menegakkan syariat dengan lebih mantap lagi tetapi ada pula pihak lain ingin mengekalkan adat yang direka dan ditokok tambah pada item sambutan hari raya.

Sebenarnya Hari Raya Haji sahaja yang mengambil masa sampai empat hari iaitu mulai 10hb.Zulhijjah sehingga 13hb.Zulhijjah dalam jarak masa tersebut disuruh mengerjakan ibadat korban dan mereka yang mengerjakan Haji pula ditambah dengan kerja Hajinya.

Semua amalan tersebut tidak akan kembali menjadi lebih baik sekiranya kita melakukannya secara ikut-ikutan tanpa merujuk kepada sunnah Nabi secara teliti dan serius serta takut hendak menyuarakan perubahan kerana takut disanggah oleh orang lain, sepatutnya kita perlu mentahsinkan atau membersihkan amalan kita supaya adat yang terjadi itu adalah hasil ibadat yang kita lakukan berterusan, bukannya bertukar ibadat menjadi adat semat-mata kerana ditokok tambah oleh pihak-pihak tertentu supaya sesuai denga kehendak hati dan naluri. Akhirnya terjadilah ibadat itu kurang berkualiti kerana kita meninggalkan afdal dengan mengambil yang kurang afdal atau tidak afdal, contohnya yang afdal pada 2hb sehingga 7hb.Syawal adalah lebih utama berpuasa sunat tetapi kita gantikan dengan berhari raya, puasa sunat dianjak ke hadapan atau ditinggalkan terus, pada hal dengan anjakan itu akan berbelanja besar kerana persediaan Hari Raya, maklumlah seluruh minda masyarakat tertumpu pada sambutan tersebut.

Perubahan ini memerlukan penglibatan semua orang dan memahami syariat Islam secara kognitif, afektif , psikomotor dan juga berfikir secara proaktif serta menghayatinya berdasarkan kefahaman yang kukuh yang sentiasa merujuk kepada amalan asal yang dihayati oleh Rasulullah.s.a.w.Kalau tidak melibatkan semua orang Islam perubahan akan kelihatan sumbang. Mereka yang melakukan perubahan ke arah yang lebih baik itu umpama kera sumbang dan kelumpok besar yang tidak mahu mentahsinkan itu dilihat lebih baik, walaupun bukan hakikat.

Sikap mengutamakan ibadat dapat mengelakkan pembaziran


Dalam menyambut perayaan sama ada Aidil Fitri mahupun Aidil Adha, sekiranya umat Islam benar-benar mengikut ajaran Islamdalam setiap langkah menyambut perayaan ianya akan mengurangkan pembaziran kerana suruhan yang dianjurkan tiada suatu pun yang menyebabkan pembaziran.

Kiranya inilah pilihan kita insya Allah tidak akan berlaku pembaziran dan melibatkan perbelanjaan yang besar. Adat adalah faktor utama menjadikan kita membazir dan jika silap langkah bukan sahaja kerugian kebendaan atau wang ringgit tetapi juga pahala dan ganjaran baik yang menjadi simpanan untuk akhirat.

Pandangan ini mungkin kelihatan mundur dari segi aqlinya tetapi sebenarnya adalah suruhan yang hakiki yang belum diasimilasikan dengan unsur nagetif yang mendatang.Siapakah yang mula mencemarkan perayaan Aidil Fitri yang suci ini, bukankah di dalam kitab-kitab yang merujuk dan membuat sudutan ajaran dari al.Quran dan al.Hadis tidak langsung menyebut bahawa perayaan itu perlu disertai dan diiringi dengan membakar mercun, bunga api atau perlu mengadakan rancangan hiburan di Tv atau sebagainya.Adakah kita merayakan Aidil Fitri atau kita sebenarnya "Berpesta Aidil Fitri" yang akan melenyapkan pahala ibadat puasa yang dihayati selama sebulan itu.

Jadikanlah Aidilfitri yang kita rayakan ini dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Semoga kita dapat menghayati bulan Syawal dengan sepenuhnya dan
semoga syawal yang kita rayakan memberikan kesan yang baik dalam kehidupan kita.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...