Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Maha Pengasih, Maha Penyayang
Keperihatinan Seorang Sahabat
Diceritakan dalam Rahiq Makhtum, bahawa pada suatu hari, Khabbab bin al-Arat RA menemui Rasulullah SAW yang sedang berbantalkan kain di bawah lindungan Kaabah.
Saat itu, umat Islam sedang menderita tekanan hebat oleh musyrikin Quraisy di Makkah. Dakwah yang dibawa Nabi SAW ditertawakan, umat Islam dicerca, dihina, malah ada yang diseksa dengan begitu dahsyat sekali.
Abu Thalib dan Khadijah RA, dua orang pendamping setia Rasulullah SAW dalam perjuangan juga telah pergi meninggalkannya, tiada di dunia lagi. Dakwah Islam terasa suram, tidak bermaya.
Khabbab RA mendekati Baginda SAW dan berkata: "Tidak bolehkah tuan meminta pertolongan Allah? Agar kita dimenangkan?"
Mendengar itu Rasulullah SAW bangun dengan mukanya merah padam, lantas bersabda:
"Orang-orang beriman dahulu dari kamu pernah disikat belakangnya dengan geruji besi hingga luluh habis dagingnya, namun tiada suatupun yang dapat menggugat keimanan mereka. Pasti Allah akan sempurnakan urusan agama ini, hingga seorang musafir dapat berjalan dari San'a hingga ke Hadramaut tanpa takut sesuatu pun, selain dari Allah dan serigala ke atas kambingnya, tetapi kamu tergesa-gesa..."
Bukan Sahabat Biasa
Siapakan sahabat yang bernama Khabbab bin al-Arat itu? Adakah beliau seorang yang suka mengeluh tanpa sebab, hingga membuatkan Rasulullah SAW tidak senang dengan permintaannya?
Tidak sama sekali! Khabbab RA termasuk di dalam as-Sabiquun al-Awwalun, iaitu orang-orang yang terawal memeluk Islam. Malah, beliau membayar harga yang mahal atas keislamannya.
Beliau merupakan hamba kepada seorang perempuan bernama Ummu Ammar. Kerana keislamannya, beliau telah dipaksakan memakai baju besi dan dibaringkan di padang pasir yang panas membakar hingga kulitnya menggelupas.
Tidak cukup dengan itu, beliau diseret ke timbunan bara api yang membara. Beliau diseksa sedemikian rupa sehinggalah bara api itu terpadam oleh cairan lemak dan darah dari badannya.
Khalifah Umar RA yang melihat parut bekas seksaan tersebut, berkata: "Aku tidak pernah melihat belakang badan yang sedemikian rupa."
Pengajaran Buat Kita.
Jika kepada manusia sekualiti Khabbab RA itu pun masih dikatakan tergesa-gesa dalam berjuang, bagaimana pula dengan kita hari ini? Adakah setanding keimanan, pengorbanan dan dakwah kita sehingga dengan mudah mengkehendakkan kemenangan yang segera?
Firman Allah SWT:
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
(Al-Baqarah 2: 214)
Islam yang Kian Terpinggir
Hari ini kita melihat umat Islam yang iltizam dengan agamanya sangat sedikit. Majoritinya hanya Islam pada nama, pengamalan sangat minimum. Keruntuhan akhlak menjadi-jadi, pergaulan bebas, penzinaan, pelacuran, rempit, dadah dan sebagainya berleluasa tanpa sekatan.
Sebut saja masalah, pasti ada orang Islam yang terbabit... Mengapa jadi begini, sedangkan di Malaysia ini begitu banyak sekali gerakan Islam yang ada?
Ada yang berbentuk NGO, parti politik dan tidak kurang juga yang unregistered. Bermacam pendekatan dan program yang 'gah' telah dilaksanakan. Tapi, mengapa Islam belum tertegak di hati umat ini? Adakah pendakwah-pendakwah ini hanya syok sendiri? Buat program yang sia-sia dan tidak bermanfaat?
Saudaraku yang dikasihi,
Kalaulah hasil yang menjadi ukuran Allah SWT, gagal lah dakwah Nabi Ibrahim AS selama 950 tahun, tetapi tidak mampu membina negara Islam? Sia-siakah dakwah Nabi Nuh AS yang gagal menyelamatkan anaknya sendiri? Dan bagaimana pula Nabi Lut AS yang isterinya termasuk dalam kaum yang dilaknat?
Tidak, kerana Allah SWT tidak melihat kepada hasil semata-mata. Sebaliknya, seberapa kuat usaha kita untuk agama-Nya. Kerana itulah, slogan para Du'at ini ialah seperti di dalam firman Allah SWT:
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selagi aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali."
(Hud 11:88)
Dakwah ini Jalan Panjang
Saudaraku, ingatlah firman Allah SWT tentang jalan dakwah ini:
"Sekiranya (yang kamu seru kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh, dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka..."
(At-Taubah 9: 42)
Kerana itu jalan mengajak kepada Allah SWT ini bukanlah semudah yang disangka. Terlibat dengan Dakwah tidaklah menguntungkan kocek para Da'inya. Malah, mereka inilah yang terpaksa berkorban masa, tenaga, wang ringgit, harta benda dan malah jiwa mereka demi tertegakknya Islam.
Para Du'at berinteraksi dengan manusia yang punya hati dan nafsu. Bukannya robot-robot yang mudah diprogramkan mengikut kehendak kita. Gerakan kebatilan juga gencar menyerang sendi-sendi umat ini, sehingga sistem dan pemikiran Jahiliyyah kian menguasai.
Semoga Allah SWT merahmati Syeikh Mustafa Masyhur yang menulis ungkapan indah nasihatnya kepada kita di dalam Tariq ad-Dakwah:
"Jalan Dakwah tidak ditaburi dengan bunga-bunga, tapi adalah jalan yang susah dan panjang. Kerana di antara Kebenaran dan Kebatilan wujud pertentangan yang nyata.
Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan dalam memikul beban yang berat. Ia memerlukan kemurahan hati, pemberian, dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera. Tanpa putus asa dan putus harapan.
Yang diperlukan ialah usaha dan amal yang berterusan, dan hasilnya terserah kepada Allah di waktu yang dikehendaki-Nya."
Kesimpulan.
Sebenarnya Islam sedang meniti era kebangkitannya. Di seluruh dunia, semakin ramai anak muda kembali menghayati Islam dan berusaha mendakwahinya. Di negara kita sendiri, semakin banyak institusi yang menyeru kepada penghayatan Islam yang sebenar.
Islam pasti akan menang jua akhirnya, soalnya apakah sumbangan kita? Ruang dakwah terbuka luas dan kita bebas memilih ruang yang sesuai untuk beramal Islami. Ada internet, blog, FB dan berbagai-bagai wasilah tersedia di depan mata.
Pilihan di tangan anda, samada ingin bersama menyumbang kepada kebangkitan ini... atau sekadar menangisi kemerosotan umat ini..
"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat."
(An-Nasr 110: 1-3)
Wallahu a'lam...
Pejabat IKRAM Gombak
Taman Sri Gombak
1 ulasan:
Alhamdulillah..entry yg baik..
btol tue..sokong sgt2.
Berdakwah adalah satu kewajipan yang amat mulia di sisi Islam dengan tujuan untuk mengajak orang kepada kebaikan dan kebenaran. Sekiranya golongan yang didakwahkan itu tidak tertarik dan terbuka pintu hatinya, maka itu adalah kehendak dan ketentuan Ilahi semata-mata. Oleh sebab itu, seorang pendakwah hendaklah bersabar dan berusaha dengan lebih giat lagi untuk mempamerkan keindahan Islam.
Catat Ulasan