سم الله الرحمن الرحيم
Saudara dan saudari yang mulia, saya sampaikan salam penghormatan Islam, salam penghormatan dari sisi Allah, Assalamu 'alaikum wa rahmatullah wa barakatuh, sebagai ingatan bersama Ramadhan bulan TARBIYYAH berbaki 3 hari lagi.
Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa:
‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’
(Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: Bahwa sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda:
Ketika datang bulan Ramadhan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, Syaitan- Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).
( HR. Ahmad)
Sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang Ramadhan. Antara yang lain ialah:
1) Persediaan ilmu agama.
Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada. Dikhuatiri ibadah yang diharapkan mendapat pahala sebaliknya tidak diterima malahan mendapat dosa. Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau melayari internet. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.
2) Persediaan kesihatan.
2) Persediaan kesihatan.
Ibadah puasa melibatkan kesihatan tubuh badan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan puasalah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan solat sunat tarawih, qiamullail , membaca al –Quran, iktikaf dan sebagainya.
Penjagaan kesihatan ini termasuklah menjaga pemakanan yang seimbang, riadah dan menjauhkan diri dari perkara yang mendatangkan penyakit seperti tabiat merokok.
3) Persediaan dari sudut kewangan.
Di antara amalan yang begitu mulia dalam bulan Ramadhan ialah bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a:
“Rasulullah saw ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.”
(HR. Bukhari)
Mereka yang jarang-jarang bersedekah dikhuatiri tidak memanfaatkan peluang memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadhan. Sebagai persediaan, kita disarankan agar mula berjinak-jinak dengan amalan bersedekah. Mungkin ia boleh dimulakan dengan jumlah yang kecil atau menderma di tabung-tabung masjid dan surau. Mudah-mudahan lama kelamaan sifit kikir dan bakhil itu dapat dibuang secara beransur-ansur.
Bagi mendapat kelebihan bulan Ramadhan , kita juga harus menangguhkan sedekah pada bulan-bulan lain semata-mata untuk disedekahkan pada bulan Ramadhan dengan syarat ia bukanlah sedekah yang dihajati seperti orang fakir miskin yang memerlukan dan orang dalam keadaan susah dan berhutang.
4) Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan.
Di antara persiapan lain yang perlu ada ialah memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Hal ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita untuk membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika diwar-warkan. Contoh mudah, bagaimanakah perasaan kita di saat diwar-warkan sesuatu sambutan yang besar, seperti Piala Dunia Bola Sepak. Pada ketika itu seluruh saluran media hebat membuat promosi. Kesannya seluruh masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia ternanti-nanti dan merasai bahang temasya tersebut. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemulian dan ganjarannya oleh media massa dan seluruh umat Islam.
Di kesempatan ini juga saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala keterlanjuran tuturkata, perbuatan dan tingkahlaku serta penulisan-penulisan di dalam blog saya mahupun di laman-laman sosial. Yang korek itu kendi, yang merah itu saga, yang molek itu budi, yang indah itu bahasa. Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, semoga kita semua memperolehi keredhaanNya, mendapat kebaikan dan keuntungan di dunia dan di akhirat, ameen.
"Berikanlah kami peluang mengutip kuntum-kuntum pahala yang mekar mewangi di Ramadhan-Mu, wahai Maha Pengasih. Jambangannya menghiasi Malaysia Baru dengan pemimpin dan rakyat bertakwa, satu masa.
Teduhan dan bekalan kami untuk ke syurga-Mu"
Jiwa Hamba
Tiada ulasan:
Catat Ulasan