Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 15 Julai 2011

Ahlan Ya Ramadhan

سم الله الرحمن الرحيم



Hari ini ialah hari Jumaat, 15 Julai 2011 bersamaan 13 Syaaban 1432. Enam belas hari lagi kita akan bertemu dengan 1 Ogos 2011, bersamaan 1 Ramadan 1432. Doa kita kepada Allah SWT untuk sampai ke bulan Ramadan sentiasa kita ucapkan tanpa henti. Semoga doa kita dikabulkanNya, insyaAllah!

Kita begitu merindui bulan Ramadan! Kenapa kita begitu menanti-nantikan kedatangannya? Seolah-olah menunggu seorang kekasih yang begitu seronok dengan kedatangannya dan begitu sedih dengan pemergiannya…

Kita menanti kedatanganmu ya Ramadan kerana bulanmu penuh barakah... Bulanmu merupakan bulan kita berpesta beramal. Sesiapa yang membiarkan bulanmu berlalu tanpa berpesta beramal, maka teramat rugilah dia…

Kita begitu mengejar dividen Bank Rakyat yang memberikan pulangan 15% saban tahun. Tidak kurang juga kita mencarum ke dalam TH kerana pulangannya 5-6% setahun dan terus ditolak zakat. Nyatakan apa saja pelaburan yang halal, pasti kita akan melaburnya. Kita tidak mahu tertinggal dalam pelaburan duniawi!

Kita juga tidak mahu tertinggal dalam pelaburan ukhrawi! Alangkah malangnya si dia, jika dia hanya membuat pelaburan di dunia semata-mata. Dia hanya menimbunkan harta kekayaan di sebelah sini tetapi destinasinya yang di sebelah sana tiada apa himpunan bekalan!

Rumah batu besar dibina tersergam indah di sebelah sini. Siap dengan puluhan bilik dan beberapa bilik air. Dihiasi pula dengan lorekan kayu atau hasil kerja tangan pengukir tersohor. Berapa puluhan tahun, tuan punya rumah dapat menghayati kecantikan rumahnya di sini? Jika dia membinanya selepas pencen, mungkin 20 hingga 30 tahun lagi. Selepas itu, rumah mahligai indah akan ditinggalkan!

Adakah sebuah lagi mahligai indah akan menantinya di sebelah sana atau hanya satu lubang dari lubang-lubang neraka yang menjadi kediamannya untuk selama-lamanya?

Jualan murah di bulan Ramadan melampaui jualan-jualan murah yang ditaja oleh manusia. Rahmat Allah mengalir turun sederas-derasnya untuk kita semua kecapi. Seorang yang cerdik akalnya tidak sekali-kali melepaskan peluang keemasan ini. Tahun depan belum tentu lagi kita dapat menemuinya!

Marilah kita tanamkan azam yang tinggi untuk melakukan solat sunat banyak-banyak disamping solat fardhu. Solat sunat terawih, solat sunat tahajud, solat sunat hajat, solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu, solat sunat taubat, solat sunat witir dan bermacam-macam solat sunat lagi kita akan cuba laksanakan sepanjang bulan Ramadan.

Kita juga berazam untuk melaksanakan puasa yang terbaik yang pernah kita lakukan!

Kita juga berjanji akan mengeluarkan sedekah bagai air yang mengalir di bulan yang diberkati ini. Kita akan memanggil mereka untuk beriftar di rumah kita atau setidak-tidaknya, kita akan memberi sumbangan kepada masjid atau surau yang melaksanakan iftar.

Kita juga bersemangat tinggi untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya 2 kali sepanjang bulan Ramadan ini.

Kita juga akan mencuba untuk banyak berqiamul-lail di masjid. Kita juga berazam untuk berzikir dengan zikir-zikir yang ma’thur sepanjang Ramadan ini.

“Ya Allah, Berkatilah Rejab dan Syaaban dan Sampaikan Daku ke Bulan Ramadan”… Amin! Ya Rabbil ‘Alamin!

Penutup: Hentikan kegagalan Ramadhan-Ramadhan yang lalu

Satu kesilapan ramai orang adalah, tidak bersedia untuk Ramadhan. 1hb Ramadhan baru hendak mula mendisiplinkan diri melakukan kebaikan. 1hb Ramadhan baru hendak mula beramal banyak. Inilah yang menyebabkan akhirnya kita lihat, minggu pertama Ramadhan meriah, namun bila masuk minggu kedua dan ketiga, hambar.

Minggu pertama Solat Tarawih di Masjid penuh. Masuk minggu kedua, perlahan-lahan bilangan tiang melebihi bilangan orang. Minggu pertama, sehari membaca satu juz Al-Quran. Tetapi masuk minggu kedua, semput, hanya membaca beberapa helai sahaja. Minggu pertama mampu menjaga mata dari perkara-perkara yang tidak syara’, namun masuk minggu kedua, maksiat-maksiat sudah tidak dapat dijaga lagi.

Beginilah resam kebanyakan orang sebelum-sebelum ini. Punca? Puncanya adalah ketiadaan stamina untuk menggenggam Ramadhan sebaik mungkin. Maka terlepaslah segala kebaikan yang wujud di dalam Ramadhan, dan jadilah kita orang-orang yang rugi. Sedangkan, Ramadhan yang akan datang belum tentu kita dapat lagi.

Maka jangan kita ulang tradisi ini.

Mari. Bermula Rejab ini kita berusaha. Agar kalau Allah berikan kita rezeki sampai kepada Ramadhan tahun ini, kita mampu mengisinya dengan kebaikan. 30 hari sebulan itu, 4 minggu sebulan itu, 7 hari seminggu itu, 24 jam sehari itu, 60 minit sejam itu, 60 saat seminit itu, mampu kita isi semuanya dengan kebaikan bagi menggapai keredhaan Allah SWT, dan menjadikan kita hambaNya yang lebih baik.

penutup oleh: © Langitilahi.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...