Tarikh : 27 Mac 2011 (Sabtu)
Lokasi: Masjid Sultan Salahuddin, Masjid Negeri Shah Alam, Selangor
Alhamdulillah, Sabtu lepas saya berada di Masjid Negeri, Shah Alam untuk mendengar tausiyah yang disampaikan oleh ulama terkenal dari Indonesia, Habib Munzir Fuad Al-Musawa. Beliau adalah anak murid kepada Habib Umar ulama besar dari Yemen yang pernah mengunjungi Malaysia baru-baru ini. Beliau adalah ulama yang mengasaskan apa yang dipanggil sebagai “Majelis Rasulullah” di negara kelahiran beliau sehingga berjaya menarik ribuan malahan jutaan umat untuk mengikuti majlis mengingati baginda Rasulullah saw. Boleh dikatakan setiap daerah yang dikunjungi oleh beliau akan mengadakan majlis zikir maulid untuk memperingati Rasulullah saw. Pendekatan beliau dilakukan kerana umat sekarang terlalu jauh dari mengingati Rasulullah saw apatah lagi mengikuti sunnah atau cara hidup baginda. Selain itu, beliau juga giat berdakwah ke seluruh pelosok pulau Jawa sehingga ke kawasan pedalaman untuk mengajak manusia kembali semula ke jalan Allah.
Alhamdulillah, walaupun kita tiada kesempatan untuk menatap wajah Rasulullah saw secara zahirnya, melihat susuk tubuhnya secara lahir, mendengar nasihatnya secara langsung apatah lagi menyentuh dan mengucup tangan mulia baginda namun Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang masih menganugerahkan nikmat kepada kita untuk berada di dalam Majlis Zikir dan Majlis Berselawat. Sekurang-kurangnya dengan adanya majlis seperti ini jiwa kita tidak akan gersang kerana sering disirami dengan rahmat dari Allah berkat ingatan kita kepada baginda Rasulullah saw.
Memandangkan beliau baru sahaja tiba dari Jakarta dan masih keletihan, Habib Munzir hanya menyampaikan tausiyahnya selama 30 minit. Antara tausiyah beliau yang saya masih saya ingati ialah kisah kewafatan Rasulullah saw yang tidak sempat disaksikan oleh Muaz bin Jabal. Penceritaan beliau cukup menyentuh perasaan. Seorang jemaah di tepi saya menangis bila mendengar tausiyah ini. Berkata Ummul Mukminin Saidatina A’isyah r.a kepada Muaz bin Jabal bahawa jika Muaz berada di sisi baginda tentunya Muaz tidak sanggup untuk menatap saat-saat sakratul maut baginda. Wajah baginda sekejap merah sekejap pucat dek sakitnya dan mabuknya kesakitan sakratulmaut yang dipinta sendiri oleh baginda untuk merasainya bagi meringankan beban yang akan ditanggung oleh umatnya.
Justeru, Habib Munzir meminta semua jemaah supaya sentiasa mengingati baginda dan jasa-jasa baginda kepada kita.
"Diberikan segala kunci di dunia ditangan Rasulullah s.a.w.. jangan ditunggu lagi cintailah kamu akan Rasulullah s.a.w…jadikan dia itu akan idola, mentor kamu"…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan