Hari ini genaplah 17 hari kita berpuasa di Ramadhan 1431H. Sempena 17 hari yang telah kita lalui di bulan yang penuh barakah ini, marilah kita renung sejenak ke dalam diri kita. Sejauh mana 17 hari yang telah kita lalui ini berjaya mendidik hati-hati kita.
Apakah kita semakin merasai kelazatan dalam beribadah ? Apakah kita semakin merasai penderitaan insan yang kurang bernasib baik yang hidup mereka bak kata pepatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang ? Apakah kita semakin peka akan kedahagaan kasih sayang seorang anak kecil yang kematian ibu dan ayah ? Apakah kita semakin merasakan kekurangan dan kelemahan diri kerana taubat yang kita pohonkan masih tidak setimpal dengan dosa dan kemungkaran yang kita lakukan ?
Atau .....
Apakah kita masih ditakuk lama ? Bersenang-senang dengan dosa dan kemungkaran. Apakah kita masih merasakan diri kita insan suci yang bakal melangkah pintu syurgawi ? Atau apakah kita masih berlazat-lazat dengan maksiat dan merasakan ibadah ini hanya suatu rintangan untuk mengecapi nikmat duniawi yang hanya seketika ?
Seandainya scenario pertama yang kita rasai, maka bersama-samalah kita sujud syukur ke hadrat Ilahi kerana menganugerahkan kita dengan rasa kehambaan untuk terus mentaati-Nya. Berdoalah kepada-Nya agar perasaan dan kekuatan beramal ini akan berterusan dan istiqamah. Agar kembalinya kita menghadap Allah dalam hati yang tenang. Mendapat keredhaan-Nya dan keampunan-Nya.
Sebaliknya, jika scenario kedua yang kita alami. Sedarlah bahawa masih belum terlewat untuk kita merebut peluang di Ramadhan yang mulia ini untuk berubah. Tingkatkanlah azam dan paksalah hati untuk mengorak langkah ke arah kejayaan. Gunakanlah masa yang terluang untuk berzikir, berselawat dan membaca Al Quran. Hiasilah malam mu dengan Tahajud, Tasbih dan Taubah. Raikanlah fakir miskin dan anak yatim piatu. Korbankanlah masa dan wang ringgit, agar si fakir dan si yatim, terukir senyuman di hari lebaran. Hari lebaran yang bakal menjelang mungkin merupakan hari kesedihan buat insan malang. Kerana di hari lebaranlah kenangan bersama insan tersayang yang telah menemui Ilahi datang menggamit. Tatkala kita bersuka-ria, mereka bermuram durja dan ada yang berendam di dalam linangan air mata.
Oleh itu, lakukanlah perubahan ini dengan hati yang ikhlas dan rendah diri sambil mengharap pimpinan dari Ilahi. Agar amalan-amalan ini dinilai Allah sebagai amal taqwa di akhirat nanti. Dengannyalah nanti yang bakal menyelamatkan kita dari menjadi bakaran api neraka.
Perbanyakkanlah taubat, kerana jalan taubat saja syarat penyucian dosa yang kita lakukan. Dosa yang dilakukan ada dua jenis. Pertama dosa dengan Allah. Kedua, dosa sesama manusia.
Imam Al Ghazali dalam kitabnya Minhajul Abidin dibawah juzuk Aqabatut Taubah menyatakan.
Manusia melakukan dosa kepada Allah kerana meninggalkan/mengabaikan apa yang diperintah Allah serta melakukan apa yang dilarang Allah.
Manusia melakukan dosa sesama makhluk kerana melakukan empat perkara iaitu :
- Dosa yang ada hubungan dengan diri seseorang (contoh : menganiayai atau menzalimi seseorang)
- Dosa yang ada kaitan dengan harta seseorang (contoh : kita mencuri harta atau haknya)
- Dosa yang ada kaitan dengan keluarganya (contohnya : menzalimi ahli keluarganya)
- Dosa yang ada kaitan dengan agama seseorang (contohnya : kita mengajar ajaran sesat yang menyalahi aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah kepada orang)
Imam AL Ghazali menulis lagi dalam kitabnya.
Bagi menyucikan dosa dengan Allah, ada tiga syarat yang perlu ditempuh iaitu :
- Menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan
- Tinggalkan perbuatan yang mengundang dosa
- Berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Bagi menyucikan dosa sesama makhluk :
- Menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan
- Tinggalkan perbuatan yang mengundang dosa
- Berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.
- Memohon maaf dan kifarah kepada orang yang dilakukan dosa
Taubat yang diterima Allah ialah taubat yang dilakukan dengan penuh keinsafan, ikhlas dan sungguh-sungguh.
Kita sudah pun melewati fasa pertama Ramadhan yang menjanjikan rahmat. Kita juga sudah di pertengahan fasa kedua Ramadhan yang menjanjikan keampunan. Tidak lama lagi kita akan berada diambang fasa ketiga Ramadhan yang menjanjikan pembebasan dari api neraka. Begitu juga di fasa ketiga ini, kita diraikan oleh Allah dengan kedatang Lailatul Qadar, malam yang menyamai seribu bulan. Barangsiapa beribadah di malam Al Qadar, bagaikan beribadah selama 1000 bulan. Rebutlah peluang ini walau kita dalam kesibukan. Gunakanlah sisa-sisa Ramadhan yang masih berbaki ini untuk kita meraih ganjaran pahala yang bakal mendekatkan kita dengan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan