Ukhwah Islamiyyah

Rabu, 15 Mei 2013

Perpaduan - Mampukah Kita Bersatu


Mutakhir ini ramai orang bercakap tentang perpaduan. Kita diminta supaya bersatu padu dan jangan berpecah belah, berkelahi dan jangan bermusuh-musuhan. Jadilah seperti batu bata dalam sebuah bangunan yang saling mengukuh antara satu sama lain. Seruan ini tidak dinafikan sangat baik. Namun timbul persoalan hendak bersatu atas asas apa? Adakah atas asas bangsa Melayu atau atas asas sesama rakyat Malaysia atau asas aqidah Islamiah?

Rasulullah SAW sewaktu berdakwah pada permulaan Islam mengajak ummat Arab Mekah supaya memeluk Islam dengan meninggalkan kerja-kerja syirik. Baginda mengajak supaya bersatu atas asas aqidah tauhid dan kesatuan Islam. Kerana itu ramai kaum masyarakat musyrikin menuduh Baginda pemecah belah masyarakat, perosak perpaduan ummat Arab, penghina segala apa yang telah dilakukan oleh datuk nenek moyang mereka. Kata-kata seperti ini diucapkan oleh salah seorang ketua mereka bernama ‘Utbah bin Rabi’ah. Antara lain beliau menyebut:

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) anak saudara ku, kamu telah membawa satu perkara besar kepada kaum engkau. Engkau telah memecah belah persatuan dan perpaduan mereka, enkau merendah-rendah dan menghina orang-orang baik dikalangan mereka, engkau menghina dan mencaci tuhan-tuhan dan juga agama mereka, engkau mengkafirkan datuk nenek dan bapa-bapa mereka.Wahai Muhammad, dengarlah dari ku, aku menawarkan kepada engkau beberapa perkara semoga engkau memilih dan menerima sebahagian daripadanya.” 

Mendengar tawaran bapa saudaranya, Baginda bertanya, “Apakah tawaran itu wahai bapa saudaraku? Sebutkanlah, aku akan mendengarnya.”

‘Utbah berkata, “Wahai anak saudaraku, sekiranya engkau mahu dengan melalui agama baru yang engkau bawa itu, untuk mendapat harta kekayaan, kami akan himpunkan harta-harta kami daripada hasil pungutan itu. Kami akan beri kepadamu dan kamu akan menjadi orang yang paling kaya dikalangan kami.

“Jika kamu mahukan kemulian atau pangkat, kami akan mengangkat kamu menjadi ketua kami yang paling mulia. Jika kamu hendak menjadi raja, kami akan melantik kamu menjadi raja kami. Jika kamu dirasuk jin dan tiada sesiapa pun yang mampu merawat mu, kami akan mencari tabib dan bomoh untuk kami upah kepada mereka supaya mereka dapat merawat dan menyembuhklan penyakit kamu.”

Setelah selesai ‘Utbah mengemukakan tawaran-tawaran tersebut, Baginda terus membaca awal surah Fusilat dari ayat pertama hingga ayat ke 14; yang antara lain bermaksud :

“Ha mim.Alquran diturunkan dari tuhan yang maha pemurah lagi maha penyayang, kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya untuk faedah kaum yang mahu mengambil tahu dan membawa berita gembira serta memberi amaran buruk, tetapi kebanyakan mereka berpaling (daripadanya). Mereka tidak mahu mendengar bahkan mereka berkata, hati kami berada dalam tutupan yang menutup apa yang kamu seru kami kepadanya dan telinga kami ada sumbatan. Kemudia diakhirnya Allah menyebut :

Jika kamu berpaling, maka katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Aku memberi amaran kepada kamu dengan azab yang dahsyat iaitu petir, seperti petir yang telah menyambar kaum ‘Ad dan kaum Tsamud.”

Dari kisah di atas, jelas bahawa orang kafir musyrikin Mekah menuduh Baginda sebagai menghina agama mereka. Mereka bersikap demikian tidak ada sebab lain kecuali kerana Baginda mahu menyatukan mereka diatas ajaran al-Quran, diatas agama Allah, agama tauhid, agama perpaduan, agama yang menolak kezaliman, kesesatan dan syirik. Jadi perpaduan yang kita mahu, kalau mengikut Islam ialah perpaduan yang diambil daripada Baginda SAW, melalui ajaran al-Quran dan Sunnah, bukan melalui kebangsaan yang sempit dan bukan melalui pemahaman sekular yang sesat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...