SUDAH HAMPIR?: Lakaran artis paparkan tahi bintang 2012 DA14 menuju bumi.
- Foto REUTERS
|
Oleh A. RAHMAN BASRUN
MALAM, ini, bumi akan mempunyai tetamu istimewa - berupa sebutir tahi bintang atau lebih tepat, asteroid, yang akan menghampirinya dengan kelajuan lebih cepat daripada peluru.
Waktu ketibaannya? Pada 2.24 petang ikut Eastern Standard Time, atau 1.24 pagi waktu Singapura.
Sebenarnya, jutaan tahi bintang menghujani bumi setiap hari. Cuma kebanyakannya sebesar guli.
Kali ini, asteroid itu sepanjang 45.7 meter - sebesar bangunan pejabat, atau separuh padang ragbi.
Kedua, ia asteroid terdekat sebesar itu pernah menghampiri bumi.
Kata agensi angkasa lepas Amerika Syarikat, Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), tiada peluang bagi asteroid itu - yang dikesan setahun lalu dan dinamakan 2012 DA14 - akan terkena bumi.
Paling dekat adalah 27,359 kilometer - atau satu setengah kali garis pusat bumi.
Ia dekat sekali - bulan saja jauhnya 30 kali garis pusat bumi.
Jika terkena bumi, impaknya akan sama dengan asteroid yang terhempas di Russia pada 1908, sehingga menghapuskan jutaan pokok seluas 2,100 kilometer persegi atau tiga kali saiz Singapura.
Dulu, tahi bintang yang terhempas di bumi dikatakan menyebabkan dinosaur pupus sekitar 65 juta tahun lalu - sebesar 10 kilometer lebarnya, dengan daya kuasa ledakan sebilion kali lebih dahsyat daripada bom atom yang memusnahkan Hiroshima and Nagasaki.
Bagi mereka yang berminat, 2012 DA14 besar kemungkinan boleh dilihat malam nanti dengan menggunakan teleskop kecil saja.
Memang di angkasa lepas terdapat dua jenis tahi bintang - komet dan asteroid - yang berlegar dalam orbit tersendiri.
Bezanya, asteroid setakat batu sementara komet pula mungkin bersalut ais dan kompaun organik.
Apabila komet atau asteroid berpecah, serpihannya dipanggil meteoroid. Jika masuk ke atmosfera bumi dan terbakar, ia digelar meteor.
Pemerhatian tahi bintang termasuk dalam bidang astronomi Islam.
Astronomi Islam - terutama pada abad kelapan hingga ke-15 Masihi - meninggalkan pengaruh besar ke atas dunia.
Padahal ilmunya begitu cetek pada zaman Nabi Muhammad saw - antara pegangan masyhur bersumber daripada pemikir Aristotle - yang percaya bumi di tengah-tengah galaksi, bukan matahari seperti disebut dalam Al-Quran.
Bintang seperti Aldebaran dan Altair dan istilah astronomi seperti 'alhidade' dan 'azimuth' kesemuanya asalnya bahasa Arab.
Malah, dianggarkan terdapat 10,000 manuskrip di seluruh dunia mengenai astronomi Islam.
Pentingnya astronomi dalam dunia Islam terlihat, misalnya, apabila sebuah balai cerap (observatory) dibina di Istanbul pada 1577.
Namun, ia dihapuskan gara-gara pemerhatian sebuah komet dikaitkan dengan malang yang menimpa negara.
Malah, dulu semasa empayar Uthmaniyah, pendidikan wajib seorang khatib bukan saja melibatkan pengajian Al-Quran, hadis dan seterusnya, bahkan astronomi.
Daripada Al-Quran, ada pihak menukil ayat 85 Surah Al-Hijr:
"Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya, melainkan dengan benar."
Bagi mereka, "apa yang ada di antara kedua-duanya" merujuk kepada tahi bintang.
Ada pula pihak mentafsirkan ayat 164 Surah Al-Baqarah sebagai merujuk kepada teori sains bahawa air di dunia ini berasal daripada komet yang kemudian jatuh ke bumi:
"Dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air."
Pun daripada ayat 5 Surah Al-Mulk dan ayat 16 hingga 18 Surah Al-Jihir, iaitu tahi bintang dikatakan berfungsi sebagai melempari syaitan yang cuba mencuri-curi berita dari langit.
Lihat ayat 76 Surah Al-An'am:
"Ketika malam telah menjadi gelap, dia (Nabi Ibrahim) melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: 'Inilah Tuhanku'. Tetapi tatkala bintang itu tenggelam dia berkata: 'Saya tidak suka kepada yang tenggelam'."
Ada pihak mengatakan bintang yang dimaksudkan itu adalah komet Halley - kerana ia datang melepasi bumi setiap 76 tahun!
Apa jadi jika asteroid seperti 2012 DA14 tetap meluru ke bumi?
Yang menarik, atmosfera bumi yang sekitar 50 kilometer tingginya melindungi bumi daripada dibedil tahi bintang.
Sebabnya? Sebaik saja tahi bintang memasuki atmosfera bumi, gas di atmosfera menjadi mampat hinggakan naik suhunya setinggi 1,650 darjah Celsius sehingga mencairkan tahi bintang itu.
Namun, kalau tahi bintang itu terlalu besar dicairkan, tunggulah padahnya nanti.
Bak disebut pada ayat 92 Surah Al-Isra' - orang kafir berkata "atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu (Muhammad) katakan".
Itu boleh merujuk kepada bom-bom berguguran dari langit ataupun tahi bintang.
Kini, Agensi Angkasa Eropah (ESA) sedang berusaha dengan Makmal Fizik Amalan Universiti Johns Hopkins mencari jalan bagaimana menangkis asteroid yang hinggakan sebesar gunung - bak dalam filem Armageddon ataupun Deep Impact.
Bak disebut dalam ayat 88 Surah An-Naml:
"Dan kami lihat gunung-gunung itu, kamu sangka dia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan sebagai jalannya awan."
Ada doa melihat tahi bintang:
"Masya-Allah, la-quwata-illa-billah."
Ertinya, apa yang dikehendaki Allah, tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.
Begitulah hebatnya ciptaan-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan