Ukhwah Islamiyyah

Rabu, 7 November 2012

HIJRAH BUKAN SEKADAR LINTASAN SEJARAH

بسم الله الرحمن الرحيم






















“Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu”. 

Alhamdulillahirabbil A’lamin. Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kehadrat Allah Taala,Tuhan yang mentadbir sekalian alam seterusnya selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Pertamanya dan selamanya marilah sama-sama kita mengucapkan syukur kepada Allah Azzawajalla atas nikmat serta rahmat kasih dan sayangnya yang tidak terjangkau hingga kita masih diberi peluang untuk terus bernafas demi merasai dan menghayati nikmat penghijrahan Rasulullah ke Madinah suatu ketika dahulu. Walaupun peristiwa hijrah sudah lama berlaku pada 1434 tahun yang lalu, signifikan dan impaknya masih kita hayati dan rasai dari tahun ke tahun. Bahkan penafsiran manfaat hijrah Rasulullah itu terus berkembang dan mampu diolah dan diceduk manfaatnya seiring peredaran masa dan zaman.

Seperti selalunya apabila tiba bulan Muharram menziarahi ummat islam, tauladan dan kesan hijrah Rasulullah terus diperihalkan semua lapisan dan golongan. Masing-masing tampil mengolah dan menghuraikan makna hijrah mengikut cara dan kefahaman tersendiri. Adapun golongan intelektual memandang hijrah dalam konteks aplikasi moden mereka manakala muda mudi memandang hijrah sebagai satu lonjakan perubahan sikap dan pencapaian kearah yang lebih baik. Kita adalah manusia yang sentiasa memaksimumkan kerahan kudrat dan buah fikiran kita demi mempersiapkan diri menjadi pemimpin ummat. Setiap peristiwa dan sejarah yang senantiasa berulang tidak pernah berlalu melainkan kita menagambil ibrah daripadanya.

Sahabat-sahabat perjuangan yang saya kasihi sekalian,

Apabila kita menyingkap kembali sejarah hijrah Rasulullah dan ummat islam ke Madinah, kita kian menyedari betapa sikap sahabat dan tidak berputus asa itu mesti ada dalam jiwa manusia yang menggelarkan diri mereka pejuang islam. Hijrah membuktikan betapa pentingnya kekuatan rohani dan jasmani yang perlu ada dalam jiwa setiap pejuang Islam. Rasulullah tetap membulatkan tekad baginda bersama sahabat setia Abu Bakar As-Siddiq mengharungi pelbagai mehnah dan halangan berhijrah ke Madinah demi menyelamatkan aqidah dan Islam yang nikmatnya terus kita rasai sehingga sekarang. Tentangan yang kuat didalam menyebarkan dakwah Islam selama 13 tahun di Mekkah sedikit pun tidak mengurangkan keazaman baginda yang pernah mencuba nasib ke Taif dengan harapan penduduk Taif menerima baginda namun, mereka menghalau bahkan mengejek serta melukakan baginda. Kita dapat menyaksikan,peristiwa tersebut tidak menjejaskan semangat baginda Rasulullah untuk terus membawa islam. Sikap dan semangat inilah yang harus ada dalam jiwa setiap pejuang islam yang bakal mewarisi kepimpinan akan datang.

Penghijrahan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam hendaklah dilihat dari pelbagai perspektif membabitkan perancangan strategi dengan melihat ruang dan peluang di tempat baru. Ummat islam bukan sahaja merancang bagaimanakah mereka dapat keluar dari Kota Mekah dengan selamat bahkan pemilihan Madinah sebagai tempat pembentukan negara islam pertama juga dibuat melalui pengkajian dan penelitian pelbagai aspek penting demi memastikan kejayaan hijrah dari segi agama, moral sosioekonomi dan politik selain ianya perintah dari Tuhan. Hakikatnya perisiwa hijrah juga telah mengajar kita peripenting merancang dan merangka strategi yang teliti demi memastikan sesuatu agenda itu berjalan sebaiknya. Oleh itu, pejuang Islam itu mestilah menjiwai siasah Rasulullah yang penuh teliti dan berstrategi dalam tindakannya kerana dialah yang akan bertanggungjawab setelah sesuatu tindakan itu dibuat. Hijrah dilakukan semestinya kerana Allah, demi mendapatkan keredaan-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Maka orang yang berhijrah, yang diiusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Aku hapuskan kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah, pada sisinya pahala yang baik.” – (Surah Ali-Imran, ayat 195)

Hijrah dan perubahan yang dipimpin baginda Rasulullah bukanlah suatu agenda yang mudah, ummat islam yang tertindas di Mekkah harus dipindahkan ke Madinah dengan penuh strategi dan perancangan yang teliti agar ianya tidak dapat dihidu oleh kaum musyrikin Mekah. Hasilnya rombongan pertama seramai 70 orang yang dipimpin Abu Salamah bin Abd al-Asd selamat tiba di Madinah dalam kumpulan-kumpulan kecil yang telah disambut baik oleh penduduk Madinah.

Teman-teman yang saya kasihi sekalian,

Hari ini, cerita penghijrahan Rasulullah hanya sekadar catatan yang diabadikan dalam buku sejarah. Seperti cerita-cerita sejarah yang lain, ibrah dari penghijrahan Rasulullah ke Madinah menjadi rakaman sejarah semata-mata. Lebih malang lagi amalan membaca berasaskan orientasi itu akan lupus selepas zaman persekolahan berakhir. Maka jadilah sejarah penghijrahan yang memberi implikasi yang besar maknanya kepada penyebaran Islam itu dilupakan secara berperingkat, jauh sekali untuk dihayati. Sedangkan inti pati dan mesej penghijrahan itu sangat besar dan amat mendalam pengertiannya di sisi Islam.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.” – (Hadis Riwayat Bukhari)

Sebagai pejuang yang mengimpikan gelaran penyambung mata rantai perjuangan Rasululullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kita haruslah berusaha untuk mewarisi ketabahan dan kebesaran jiwa baginda yang sanggup meninggalkan kampung halaman yang amat baginda sayangi demi menyelamatkan aqidah islam. Peranan utama yang dimainkan baginda setelah tiba di Madinah juga harus dijadikan tauladan dimana baginda telah berjaya menyatukan kaum Aus dan Khazraj yang telah lama bermusuhan diatas ukhuwah Islam. Kesatuan antara kaum Muhajirin dan Ansar pula menjadi elemen yang terpenting dalam menjayakan misi pembentukan sebuah Negara islam. Dengan ini, Rasulullah sebenarnya telah mengajar kita betapa perpecahan itu mesti kita satukan demi merialisasikan impian sebuah kepimpinan islam.

Oleh itu wahai sahabat-sahabat teman seperjuangan sekalian, marilah kita sama-sama menyahut seruan didalam membangunkan ummah serta mentajdidkan kembali semangat perjuangan kita agar terus subur sesubur peristiwa hijrah Rasulullah yang saban tahun kita raikan. Penghayatan hijrah yang sebenar mampu mengembalikan kita ditempat yang sepatutnya setelah kita terhanyut sebentar dengan hitam putih dunia global. Saya percaya betapa kuasa dan semangat hijrah Rasulullah perlu dilteladani oleh semua manusia yang meyakini mereka adalah pejuang islam. Dengan hijrah yang lemah kembali tabah yang gagah terus terserlah, buktinya penyebaran aqidah islamiyyah menjadi mudah dengan penghijrahan Rasulullah ke Kota bercahaya Madinah al-Munawwarah.

oleh: Muhammad Hussin bin Mohd. Fauzi

Hijrah satu perkara yang berat...tapi jika kita bersedia dengan dugaan 
Allah tetapkan..manisnya nikmat penghijrahan itu..
Jiwa Hamba

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...