بسم الله الرحمن الرحيم
Solat adalah ibu segala ibadah, yakni ibadah rasmi dari Allah kepada hamba-hamba-Nya seluruhnya. Ia merupakan pertemuan rasmi lima kali sehari semalam dengan Allah Al Khaliq. Ertinya pertemuan rasmi dengan Raja yang Maha Agung, Raja bagi segala Raja.
Jika dalam pertemuan rasmi dengan raja di dunia ini, sesama rakyat jelatanya, bagaimana keadaan kita? Apa yang kita rasa? Apa persiapan yang sepatutnya?
Kita bersihkan badan serta berwangi-wangian, berpakaian yang paling cantik dan kemas yang selayaknya untuk mengadap raja. Kemudian pergi dengan kenderaan sampai istana. Tiba di sana kita duduk dengan penuh tertib berhadapan dengan raja di balai mengadap. Kita duduk dengan penuh tertib dan tawadhuk. Bahu membongkok mata ke lantai, tidak pandang kiri dan kanan. Penuh bimbang, malu dan takut. Tidak ada seorang yang berani bercakap-cakap dan bersembang-sembang.
Menunggu dengan penuh takut akan perintah raja. Apa titah raja, apa pesanan, apa amanahnya, Dan apa nasihatnya.
Begitulah solat, pertemuan dengan Allah SWT secara rasmi, Dia adalah Raja Segala Raja. Raja yang mempunyai Zat yang Maha Suci daripada segala penyerupaan. Allah yang Maha mengetahui dan Maha mendengar. Dia mengetahui segala perbuatan baik dan buruk hamba-hambaNya. Dia mendengar segala detik hati yang tidak diketahui makhluk-makluk yang lain.
Sepatutnya pertemuan kita lebih serius, lebih beradab, bertertib dan takut. Di waktu itu, kita menyediakan diri agar bersih lahir dan batin. Menunggu penyembahan itu dengan penuh takut, malu, khusyuk, penuh rasa kehambaan. Takut dan malu hendak bercakap-cakap dan berbual, kecuali yang ada hubungkait dengan Allah.
Kita menyembah, seluruh fikiran, hati dan jiwa seluruhnya tertumpu kepada Allah. Fizikal rukuk, fikiran ikut rukuk, hati juga ikut rukuk. Fizikal bersujud, fikiran ikut sujud, jiwa juga ikut sujud.
Waktu berdiri dirasakan seolah-olah kita berada di Padang Mahsyar, sedangkan Allah sedang melihat. Aduh! Kecutnya perut, menggeletar jiwa.
Di waktu itu sepatutnya tidak ada apa yang dapat diingat, melainkan dengan sepenuh hati jiwa raga dan fikiran hanya kepada Allah semata-mata.
Tapi ramai manusia tidak begitu. Berhadapan dengan raja jenis manusia lebih terasa gerun, malu dan beradab berbanding berhadapan dengan Tuhan pencipta manusia, dek kerana manusia belum kenal Tuhan Khaliqnya, Allah SWT.
Saya perturunkan satu kisah buat teladan dan iktibar, agar kita lebih gigih berusaha untuk meningkatkan kualiti kusyuk dalam solat.
Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk.
Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al Assam dan bertanya: "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"
Hatim berkata: "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin."
Isam bertanya: "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?"
Hatim berkata: "Wudhuk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air. Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:
1. Bertaubat.
2. Menyesali dosa yang telah dilakukan.
3. Tidak tergila-gilakan dunia.
4. Tidak mencari atau mengharap pujian orang (riya')
5. Tinggalkan sifat berbangga.
6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu.
7. Meninggalkan sifat dengki.
Seterusnya Hatim berkata: "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan aku sedang berhadapan dengan Allah, Syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian Siratal mustaqim dan menganggap bahawa solat ku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.
Setiap bacaan dan doa dalam solat ku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."
Apabila Isam mendengar menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.
Ya Allah, permudahkanlah kami untuk mengingatimu, rukuk dan sujud kepadaMu. Bantulah kami untuk khusyuk dalam solat kami, sepertimana firmanMu,
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (Al Mukminun:23:1-2)
oleh: Mohd Fadli Yusof
1 ulasan:
Allah..betul2 terkesan di jiwa..jzkk.
Catat Ulasan