Jauh sekali kita berjalan, mencari harapan cahaya yang sering dinanti-nanti. Dan apabila ia semakin lambat untuk dikecapi, kita merasa nasib kita tidak adil. Merungut keseorangan sambil menekan-nekan keyboard untuk diluahkan ke dalam alam dunia facebook tanpa kita menghiraukan sedikit pun tentang asal usul kejadian seorang hamba yang bertakwa.
Jiwa Hamba hari ini ingin membawa satu kisah yang sering terjadi acap kali dalam kehidupan seorang hamba Allah.
Setiap hari, hamba Allah ini yang sangat taat pada perintah Tuhannya selalu berdoa pagi dan petang, meminta sesuatu yang sangat diharapkan dalam kehidupannya ketika merantau. Beliau berdoa agar Allah memakbulkan segala permintaanya..
Hari demi hari, masa terus berlalu meninggalkan kisah hari-hari yang berlaku bertahun lamanya..Lantas, hamba Allah ini terasa sangat bersedih..Namun, beliau tidak berputus asa untuk sentiasa berdoa kerana dia yakin bahawa Allah akan senantiasa memperkenankan doa hamba-hambaNya..
Pada satu saat ketika beliau sedang duduk berzikir di dalam masjid, datang seorang sahabat karibnya yang datang untuk solat dan berdoa agar Allah memperkenankan permintaan terbarunya.. Selang beberapa hari kemudian, sahabat karibnya itu mendapat apa yang dihajatkan. Hamba Allah yang taat ini merasa sangat hairan, mengapa sahabatnya yang selalu ponteng solat dan jarang mengikuti apa yang diajar dalam Islam tiba-tiba mendapat apa yang dihajati.
Keajaiban dan kehairanan ini membuatkan hati hamba Allah ini tertarik untuk berjumpa dengan seorang hamba Allah yang alim lalu beliau menceritakan segala isi hatinya kepada orang alim ini.
Dengan bentukan senyuman yang mengukir di wajah orang alim ini, dia bertanya kepada hamba yang taat ini tentang satu persoalan yang sangat ringkas.
"Wahai saudaraku, apakah yang kamu akan lakukan sekiranya datang kepadamu seorang pemuzik jalanan yang suaranya tidak seberapa merdu dan bernyanyi dihadapan rumahmu?"
Lalu, hamba yang taat ini menjawab, " sudah tentu saya akan menyuruh dia berhenti bernyanyi dan memberikan RM 1 serta minta segera beredar ke tempat lain."
"Bagaimana pula sekiranya seorang pemuzik jalanan datang kerumah mu yang mempunyai suara yang merdu untuk meminta derma?" balas orang alim pula.
" Sudah tentu juga saya akan suruh dia menyanyi lebih banyak lagu lagi untuk menghiburkan hati saya, malah saya sanggup memberinya RM50 sebagai balasan," jawap hamba yang taat itu.
Kemudian, orang alim ini menepuk-nepuk dibahunya sambil berkata, " begitu juga dengan kehidupan kita yang merantau dan dipantau. Jika hambaNya berdoa dengan sambil lewa dan ditambah pula tidak taat kepadaNya, sudah tentu Dia tidak mahu mendengar rintihan hambaNya terlalu lama dan terus Dia makbulkan. Tetapi apabila datang seorang hambaNya yang taat meminta doa dengan sepenuh harapan dan diiringi dengan ibadah yang ikhlas kerana cintanya hanya kepada Allah, sudah tentu Dia mahu mendengar suara hambaNya selalu dan lebih lama lagi sebelum Dia memberikan sesuatu yang lebih baik dari apa yang hambaNya hajati."
Hamba yang taat ini tersentak dengan jawapan yang diberikan oleh orang alim itu tadi lantas beliau cepat-cepat beristighfar memohon ampun dan maaf kerana telah berprasangka kepada Tuhannya..
Allah sangat dekat kepada hamba-hambaNya yang taat kepadaNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan