Ukhwah Islamiyyah

Sabtu, 25 Februari 2012

Nikmat Lisan

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah syukur pada Allah atas limpah rahmatNya pada ummat manusia. Betapa banyak salah silap yang kita lakukan selama ini, namun atas kasih sayang Allah jualah kita masih diberi peluang untuk bernafas di bumi milik-Nya. Manusia adalah makhluk Allah yang istimewa, dibekalkan dengan pelbagai anggota yang memudahkan penghidupan seharian kita. Hari ini saya terfikir tentang sejauh mana saya menggunakan nikmat anggota yang satu ini iaitu lidah.

Mungkin kita sudah sedia maklum betapa pentingnya lidah dalam kehidupan kita. Setiap kata-kata yang terucap melahirkan perasaan dan gerak hati kita. Namun, kadangkala saya terfikir, banyak sudah saya berkata-kata, namun sebanyak mana pula kata-kata itu bermanfaat andai bukan untuk orang lain, untuk diri saya sendiri. Berapa peratusannya yang berguna, berapa pula yang hanya sia-sia. Seringkali kita banyak berbicara, terus petah dan rancak berborak, namun adakah perbualan itu melahirkan rasa taqarrub pada Allah? Pernahkah kita bermuhasabah memikirkan setiap kata-kata yang telah terungkap?

Marilah sama-sama merenung persoalan di bawah:

Sedarkah kita selama ini kita banyak berbicara?
Pernahkan kita terfikir adakah kata-kata kita pernah menyakitkan hati orang lain?
Adakah kita pernah memburukkan orang lain?
Adakah kita berfikir terlebih dahulu sebelum berbicara?

Sahabat-sahabatku,

Apa yang kita ucapkan sebenarnya mencerminkan diri kita. Pemilihan kata-kata menunjukkan akhlak kita. Baginda Nabi SAW adalah contoh terbaik insan yang sopan berbicara dan bijak berkomunikasi. Baginda pandai menyesuaikan diri bukan sahaja ketika berbicara dengan orang dewasa, malahan bijak berbual dengan kanak-kanak. Kata-kata yang sopan itulah wajar kita contohi. Bila memikirkan banyaknya kata sia-sia yang terungkap menyebabkan saya malu dengan diri sendiri. Anggota yang sepatutnya basah dengan zikir kepada Allah, kadangakala tidak dimanfaatkan sebaiknya. Namun, saya bersyukur lahirnya kesedaran untuk membetulkan. Pastinya kita manusia sering lalai, maka bersyukurlah andai kesedaran lahir dalam diri. Lidah ciptaan Allah mampu menjadi medium untuk kita mencapai keredhaan-Nya dan pada masa yang sama mampu membawa kepada kemurkaan-Nya, nauzubillah. Berapa ramai ummat manusia yang tersalah menggunakan kurniaan ini contohnya dengan memfitnah dan mengumpat orang lain. Ada juga yang menggunakan kelebihan suara yang merdu untuk dipersembahkan kepada yang tidak selayaknya.

Di sini saya ingin mengajak diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama memanfaatkan lidah untuk kebaikan bagi diri sendiri dan orang lain. Antara amalan yang boleh dilakukan ialah:

1) berzikir, berselawat
2) membaca Al-Quran dan mentadabbur maknanya
3) menyampaikan ilmu yang bermanfaat; tidak semestinya ilmu agama sahaja
4) menyampaikan nasihat untuk kebaikan
5) berdoa sebanyak-banyaknya

Sahabat-sahabatku,

Berapa ramai di antara manusia yang akan dicampakkan ke dalam neraka akibat dosa lidah mereka. Jelas menunjukkan bahawa lidah ini bahaya andai tidak dijaga sebaiknya. Ia ibarat pedang yang mampu membunuh, maka wajar untuk kita menyarungnya dan meletakkannya pada tempat yang betul agar tidak mencederakan. Diam itu lebih mendamaikan andai berbicara hanya menyakitkan. Beruntunglah andai kita tergolong dalam golongan yang banyak berfikir berbanding berbicara yang sia-sia. Merugilah andai kita hanya petah berbicara, namun kata-kata yang terungkap tidak berisi dan tidak menambah keimanan kita kepada-Nya.

Akhirnya, saya menyeru agar kita berubah untuk menjadi insan yang setiap butir yang terluah itu menyenangkan dan mendamaikan orang di sekitar bukan melahirkan rasa benci dan menyakitkan hati semata-mata. Percayalah ucapan yang baik mampu melahirkan impresi yang baik kepada kita seterusnya melahirkan ukhwah sesama insan. Mulakan kini, gunakan perkataan yang sopan, guna pada tempat yang betul dan intonasi yang tepat. Jadikan lidah anggota yang dapat menambah keimanan kita kepada Allah, InsyaAllah. Sekadar mengingatkan diri yang lupa jua.

Diam lebih baik dari berbicara yang sia-sia!

Kerana pulut santan binasa.
kerana mulut badan binasa.
Begitulah pepatah yang menggambarkan
betapa mulut dapat memberi kesan
kepada pelakunya.

Nikmat lisan yang dikurniakan
Allah hendaklah digunakan
dengan sebaik-baiknya, iaitu
menyeru yang makruf dan
mencegah yang mungkar.

Ingatlah, lisan itu
juga dapat menjadi
tiket untuk ke syurga!.

Wallhua'lam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...