Ukhwah Islamiyyah

Rabu, 21 Disember 2011

Menangislah, Kamu Akan Hebat Dengannya

سم الله الرحمن الرحيم


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.




MEREKA HEBAT


Dalam sejarah manusia, yang paling hebat dalam kalangan mereka adalah yang paling berjaya dalam mendidik rohani sendiri.


Mereka ialah baginda nabi, para sahabat baginda, dan pengikut-pengikut mereka yang seterusnya.


Antaranya ialah Salahuddin al-Ayyubi yang orang barat memanggilnya Saladin (1137 -1193 M). Beliau ini masyhur kisahnya selepas menawan semula Baitulmuqaddis (Jerusalem).


Kita mendengar kisah bagaimana Sultan Salahuddin ini, beliau memilih tentera di barisan hadapan pasukannya hanya dari kalangan mereka yang pada malam sebelumnya khemah-khemah mereka cerah bercahaya kerana lampu yang dinyalakan untuk memudahkan mereka mendirikan solat sunat tahajjud.


Hasilnya, pada 2 Oktober tahun 1187 mereka menawan semula Baitul Maqdis selepas hampir 88 tahun kota itu dikuasai tentera Salib.



Bahkan Sultan Salahuddin ini sebenarnya jika mendengar kisahnya, dapat mengalirkan air mata kita. Beliau ini ketika wafat pada 4 Mac 1193 di Damsyik, yang ada ketika dibuka peti simpanan beliau hanyalah beberapa dinar sahaja.


Yang jasadnya disegani kawan dan lawan ini, wang simpanannya tidak cukup untuk menguruskan pengebumiannya sendiri. Semua wang yang dimiliki awal-awal lagi telah disedekahkan kepada rakyatnya.


Antara mereka yang hebat ini juga termasuklah Sultan Muhammad al-Fatih (1432-1481 M). Beliau ini masyhur apabila berjaya menakluk Konstantinople.


Kejayaan beliau ini menepati hadis nabi yang telah disabdakan baginda beratus-ratus tahun sebelumnya.


Rasulullah s.a.w. bersabda ketika menggali Parit Khandaq,

“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Tentera beliau adalah tentera yang mereka ini tidak pernah walau sekali meninggalkan solat fardhu, tentera beliau juga adalah tentera yang mereka ini kebanyakannya tidak pernah meninggalkan solat rawatib sejak baligh.


Namun, antara mereka hanya beliau seorang yang tidak pernah meninggalkan solat tahajjud sejak baligh.


Inilah yang saya lihat sebagai kekuatan yang sebenar. Kekuatan rohani yang dengan kekuatan itu, mereka menawan kota yang selama 800 tahun umat Islam berusaha untuk menaklukinya.





Itulah pendidikan roh yang sebenar. Pendidikan roh yang dengan roh mereka ini, kekuatan pihak batil walau sekuat mana sekalipun tetap dapat ditumpaskan.

MARILAH MENANGIS



Sebenarnya artikel ini saya tulis untuk mengajak kita semua menangis. Menangis kerana kekurangan diri, menangis kerana mengenangkan dosa-dosa kita yang terlalu banyak, kerana maksiat yang bergunung-gunung tingginya.


Menangis kerana maksiat-maksiat kita ini, kita telah dijauhkan dari khusyuk kepada-Nya. Menangis kerana maksiat-maksiat ini, kita jadi dekat dengan dunia. Malah tidak mahu berpisah dengan dunia ini.


Sedangkan dunia ini tidak lebih berharga dari sebelah sayap nyamuk pun. Malah dunia ini pernah baginda nabi sifatkan sebagai bangkai, dan orang yang menggemarinya adalah haiwan yang menggerumuni bangkai.


Marilah menangis kerana kita tidak mampu untuk melazimi solat sunat tahajjud, marilah menangis kerana kita selalu terlupa membaca ayat-ayat suci Al-Quran, marilah menangis kerana kita sukar sekali untuk solat fardu berjemaah di awal waktu.


Marilah menangis dengan air mata keinsafan sebelum sampai masanya nanti apabila kita menangis dengan darah mata sekalipun, insaf kita itu tertolak.





Marilah menangis dan bersujud kepada Allah dengan sujud yang sebenar. Sementara kita masih mampu sujud sebelum sampai masanya nanti kita hanya mampu berlutut,


“Dan (pada hari itu) kamu lihat tiap-tiap umat berlutut. Tiap-tiap umat dipanggil untuk (melihat) buku catatan amalnya. Pada hari itu kamu diberi balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan.” Surah al-Jaathiah ayat 28


Marilah, kita kita menangis dan bersujud kepada-Nya dengan penuh ketundukan hati.


Kita ini,kita beriman kepada-Nya.

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan
kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik."

3 ulasan:

ain musrah berkata...

assalamualaikum ya Jiwa Hamba,

selain yang anta tulis ini, ada lagi kisah yang hebat yang pernah ain dengar iaitu Zainab AL Ghazali.. cuba anta kongsikan dalam blog anta ye..

Jiwa Hamba berkata...

waalaikumussalam ain musrah..
InsyaAllah..satu perkongsian yg sgt baik Zainab al-Ghazali Permata Dakwah & wanita yg hebat..terima kasih

Joe Catalyzer berkata...

sye nk tnye nie......adakah menyimpan rambut pnjang smpai ke bahu adalah sunnah nabi......

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...