سم الله الرحمن الرحيم
Musim hujan yang berlalu menjadikan pepohon subur menghijau. Kelihatan seekor ulat merayau-rayau di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin.
“Apa khabar daun hijau,” katanya.
Tersentak daun hijau menoleh ke arah suara yang datang
“Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa?” tanya daun hijau.
“Aku hampir tidak mendapatkan dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?” kata ulat kecil.
“Tentu.. tentu.. dekatlah kemari.” Daun hijau berfikir, “Jika aku memberikan sedikit dari tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Hanya sahaja aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi tak apalah.”
“Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau.
Setelah makan dengan kenyang ulat berterima kasih kepada daun hijau yang telah merelakan bahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat.
Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana-sini namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar.
Tidak lama berselang ketika musim panas datang daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar.
Moral Of The Story:
Apa yang terlalu bererti bagi hidup kita sehingga kita tidak boleh berkorban sedikit sahaja untuk kesenangan orang lain? Nah… akhirnya semua yang ada akan mati dan lenyap.
Merelakan kesenangan dan kepentingan diri sendiri untuk sesama insan memang tidak mudah, tetapi indah. Ketika berkorban diri kita sendiri menjadi seperti daun hijau yang berlubang namun itu sebenarnya tidak mempengaruhi hidup kita, kita akan tetap hijau, Tuhan akan tetap memberkati dan memelihara kita.
Bagi “daun hijau”, berkorban merupakan sesuatu perkara yang bermakna dan terasa indah serta memuaskan. Dia bahagia melihat si ulat dapat tersenyum kerana pengorbanan yang ia lakukan. Ia juga melakukannya kerana menyedari bahawa ia tidak akan selamanya tinggal sebagai “daun hijau”. Suatu hari ia akan kering dan jatuh.
Demikianlah kehidupan kita. Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Maka isilah hidup ini dengan perbuatan-perbuatan baik, kasih, pengorbanan, pengertian, kesetiaan, kesabaran dan kerendahan hati.
Jadikanlah berkorban itu sebagai sesuatu yang menyenangkan dan menggembirakan diri kita. Kita dapat berkorban dalam banyak perkara. Mendahulukan kepentingan sesama, melakukan sesuatu bagi mereka, memberikan apa yang kita punyai dan masih banyak lagi pengorbanan yang dapat kita lakukan.
Yang mana yang sering kita lakukan? Menjadi ulat kecil yang menerima kebaikan orang atau menjadi “daun hijau” yang senang memberi??.. Kita sendiri yang pilih dan tentukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan