Ukhwah Islamiyyah

Khamis, 8 September 2011

KEINDAHAN IBADAT SEPANJANG RAMADAN DITUAI DALAM SYAWAL

سم الله الرحمن الرحيم



RAMADAN sudah pun berlalu dan kini Syawal meriah dirai. Semoga hati, jiwa, akal dan fizikal yang dilatih sepanjang Ramadan dengan ibadat khusus dan kesabaran bekerja, membuahkan keriangan serta kepuasan berhari raya penuh kesyukuran.

Walaupun kemenangan yang diraikan itu cumalah sehari, amalan kunjung-mengunjungi, ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, saling mengucapkan selamat dan menjamu tetamu dalam rumah terbuka ada kala berlarutan kemeriahannya sehingga sebulan.

Budaya ini pula bukan sekadar dirai antara keluarga, sanak saudara serta jiran tetangga tetapi juga bersama golongan anak yatim, kurang upaya, rakan taulan serta teman sepejabat. Kemeriahan ini mengeratkan hubungan silaturahim dan persahabatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga dekat dan jauh, teman sejawat, ibu hamil dan hamba sahayamu.”(Surah al-Nisa’, ayat 36)

Perlu diingatkan, nilai murni ini tidak sekadar diamalkan pada musim perayaan tetapi bulan selanjutnya. Ia juga janganlah hanya dizahirkan dalam kalangan sanak saudara dan jiran tetangga, sebaliknya hendaklah diamalkan sepanjang masa dan di mana juga berada.

Inilah sebenarnya keindahan akhlak daripada ibadat Ramadan yang dituai buahnya dalam Syawal. Sesungguhnya nilai itu bukan sekadar mengeratkan tetapi juga mengundang keberkatan rezeki, masa dan umur.

Sabda Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik yang bermaksud: “Barang siapa suka untuk dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.”(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi, yang dimaksudkan dengan pertambahan umur dan rezeki hasil daripada hubungan silaturahim ialah keberkatan serta taufik sebagai natijah masa diluangkan untuk kerja serta hubungan yang bermanfaat.

Imam al-Syafie juga menekankan supaya manusia sentiasa menyibukkan diri dengan kebaikan kerana jika tidak, dirinya akan disibukkan dengan kebatilan.

Walau bagaimanapun amalan berteraskan nilai akhlak ini perlu dilakukan dengan hati yang bersih, suci daripada sifat mazmumah seperti bertujuan membanggakan diri, menunjuk-nunjuk, memandang rendah kepada kurang berada, berpura-pura dalam persaudaraan, iri hati dan sifat berlebihan yang membawa kepada pembaziran. Kesemua sifat ini boleh memakan kebaikan yang dilakukan.

Benarlah kata-kata Saidina Ali yang dipetik dalam buku Nahj al-Balaghah, hati ibarat bumi yang menerima apa saja yang ditanam. Dan apa yang dituai nanti adalah hasil daripada apa ditanam. Ertinya, jika hati ditanam dengan kemanisan hidup bersaudara nescaya itulah yang akan dirasai.

Oleh itu, marilah kita berusaha memastikan apa juga benih ditabur dalam ‘bumi hati’ adalah benih yang subur dan bermanfaat supaya pintu rumah dan pintu pejabat yang terbuka luas menyambut kehadiran tetamu berkunjung disambut bersama hati luhur dan kaya dengan kesantunan diri.

Sebab itulah Rasulullah SAW meletakkan tiga pantang larang dalam menjalinkan perhubungan iaitu tiga pantang larang untuk menjaga dirinya dan tiga pantang larang terhadap orang lain.

Pantang larang untuk menjaga diri ialah jangan suka berdebat, menyombong diri dan melakukan perbuatan tidak bermanfaat, manakala terhadap orang lain pula ialah jangan mencela, mengejek dan mencari kesalahan orang lain. (Hadis riwayat al-Termizi)

Pantang larang ini jika kita sama-sama mengawal diri serta menjaga supaya tidak melanggarinya akan melahirkan kebahagiaan dan keamanan dalam apa juga hubungan sosial. Pada masa sama, budaya ini perlu disemarakkan dalam kehidupan berorganisasi supaya dapat mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja.

Kesannya, pekerja ceria, pelanggan mendapat kepuasan manakala kerja dilakukan pula boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan walaupun ada kala berdepan dengan kerenah atau kesukaran. Ini menjadikan silaturahim antara warga organisasi tanpa mengira kedudukan umpama satu keluarga.

Budaya hidup secara berakhlak dan harmoni adalah sunnah Nabi SAW yang amat dituntut kepada umat Baginda bagi mencerminkan keindahan ajaran Islam. Oleh itu, marilah kita bersama memelihara serta membudayakannya di mana juga kita berada dan dalam apa juga urusan yang dilakukan.

Amalan baik apabila terus dilakukan akan menjadi budaya dan budaya baik akan mencerminkan kekuatan sesebuah masyarakat, bangsa yang kuat akan mampu menjadi contoh kepada yang lain.

Apabila ‘kitaran amal salih’ ini berterusan, maka setiap daripada mereka sama ada yang mencetuskan idea, menunjuk cara, mengatur strategi, mengawal selia, melaksana, meniru cara, menerima manfaat manakala organisasi dan negara dilimpahi rahmat, keberkatan serta mendapat keampunan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...