Ukhwah Islamiyyah

Khamis, 27 Januari 2011

Apabila Menghadapi Ujian

سم الله الرحمن الرحيم


Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertentu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam dan mudah buruk sangka. Yang dahsyatnya ialah kalau hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.

Allah Maha Pengasih, jauh sekali Allah takdirkan ujian
hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita
sama-sama cungkil hikmah
di sebalik ujian yang
ditimpakan.

Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan
sebagainya.

Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab
itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau
lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan
ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak
tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah
dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu.
Bukan untuk menghinakan kita tetapi
untuk memberi
ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan
perbuatan dosa itu sehingga bila-bila.

Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu). Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi
Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan,
kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya.

Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah
ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita
tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah
merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan
menambahkan
lagi dosa kita.

Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa.

Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja
Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada
kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang
bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita
akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta
melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan
kemiskinan.

Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa begitulah susah dan
menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah
diterimanya.

Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang
yang paling kita sayangi. Ujian ini sengaja
didatangkan agar terasalah kita ini lemah, tiada kuasa
untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa
kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa
bangga diri.

Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya.

Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan
kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin
bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan
Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang
bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk
syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang
yang berjihad di antara kamu dan belum nyata
orang-orang yang bersabar.”

Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:

“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan
pahala tanpa hisab.”

Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang
kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang
sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau
marah-marah pada Allah, insyaAllah ganjarannya di
syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana
hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak!

Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan
kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab:

“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka
kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”

Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan
keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza
dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila
diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan
berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada
kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan
kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji
kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi,
tanyalah Allah kenapa kita diuji….

Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang
dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya.

Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan
tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang
bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia
tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid
yang bersalah itu layaklah dirotan.

Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih. Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita. Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan. Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah segala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah.

Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib
bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang
Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti
merungut ketika diuji?


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam,
terima ksh d ats pringtan ini..
sy suka bc blog awak..truskn dgn pengisian yg brmkna..

Jiwa Hamba berkata...

sama2, terima kasih krn sudi baca

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...