سم الله الرحمن الرحيم
Berdasarkan pada tajuk entri di atas, pasti ramai yang sedia maklum tentang program ini jika mengikutinya dari awal lagi. Sepuluh calon Imam Muda dipilih melalui uji bakat dan telah pun menjalani dan mengikuti jadual ketat di bawah pimpinan Datuk Hassan Mahmood sebagai Pengetua dan dibantu oleh dua tenaga pengajar iaitu Ustaz Shahrizan Daud dan Syed Mohd. Norhisyam Tuan Padang. Dan pada malam ini, kemuncak siapakah Imam Muda bakal terjawab tidak lama lagi. Sama ada Imam Muda Hizbur atau Imam Muda Asyraf kita akan saksikannya..
Tetapi sebelum itu, suka saya menyingkap kembali tentang program ini yang tak ketinggalan saya mengikutinya.. Imam Muda merupakan program perintis yang bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) di mana program ini merupakan pencarian tokoh kepimpinan remaja bercorak keIslaman. Program ini sangat bermanfaat untuk para remaja dalam meniti tanggungjawab hidup bermasyarakat. Apatah lagi tanggungjawab seorang Imam yang perlu menghadapi cabaran dan tugasan dalam kehidupan masyarakat Islam zaman moden kini.
Cabaran demi cabaran yang dilalui oleh sepuluh peserta Imam Muda termasuklah menguruskan jenazah yang telah tiga bulan tidak dituntut, memberi motivasi kepada kanak-kanak serta golongan dewasa di rumah perlindungan, operasi ke pusat penyembelihan dan rumah pelacuran serta memberi kaunseling kepada pasangan suami isteri yang bermasalah..
Sebenarnya, saya sangat tertarik dengan isu pengurusan jenazah yang berisiko iaitu menguruskan mayat yang tidak dituntut yang mana ia berbau dan macam-macam lagi. Bagi saya, itu cabaran terbesar buat Imam Muda. Kebetulan ia isu pertama yang dipaparkan di kaca tv. Usaha Imam Muda ini melaksanakan fardhu kifayah menjadi tanggungjawab besar akan peranan seorang Muslim yang bakal menjadi Imam. Hal ini jika tiada siapa yang menguruskan, pasti menjadi dosa besar dan akan menerima akibatnya ialah ahli qaryah terbabit. Jadi itu adalah tugas berat apabila menjadi Imam kelak.
Saya memang kagum dengan bakal Imam Muda ini. Tugasan yang dipikul bukan mudah apatah lagi ada diantara mereka yang masih muda umurnya. Namun itulah realitinya. Setiap dari kita akan memikul tanggungjawab tersebut sama ada kita masih muda atau tua sekalipun. Allah s.w.t telah memberikan kita peranan untuk kita laksanakan dengan sebaik mungkin.
Berbalik kepada program ini, fenomena dan auranya bukan sahaja dalam negara tetapi turut sampai ke seluruh dunia. Bukan calang-calang program yang boleh membuatkan ia mendapat liputan meluas apatah lagi ia merupakan hasil anak tempatan. Nilai-nilai murni yang dipaparkan sangat menarik minat semua golongan dan sudah pasti ia mencerminkan yang Islam itu indah. Dengan itu, ia pasti menerbitkan perasaan untuk orang bukan Islam mendekati Islam.
Hari ini, malam ini, Imam Muda akan melabuhkan tirainya. Bagi saya, siapa pun pemenangnya, tugas anda selepas ini adalah membawa nilai yang baik untuk tatapan masyarakat. Kembalikan Islam ditempatnya. Itulah tugas berat yang menanti. Kita sebagai masyarakat, juga perlu bersama membawa kesedaran membantu mana yang mampu. Kita sebenarnya adalah Imam kepada diri kita sendiri.
~Tertanya dihati, ramai ke jumlah penonton yang menangis apabila mengikuti rancangan Imam Muda ini???
~ Saya sangat tertarik dengan sisipan soalan yang dikemukan dalam program ini seperti: Adakah dibenarkan upacara perkahwinan berlansung bersama dengan majlis aqiqah? Jawapan: Aqiqah bukan tujuan untuk menunjuk jadi tidak boleh dilakukan bersama dengan kenduri kahwin. Banyak lagi soalan yang sangat berguna untuk diketahui..
~ Bila sesi akhir siapakah yang terkeluar, saya suka lagu iringan yang dialunkan...rasanya suara Akil Haiyy.. Zikir apa tu? Nak cari kat mana ye?
~ Saya juga pernah mengikuti latihan pengurusan jenazah..tapi ketika itu ia lebih kepada ikhtifal di sekolah.. Namun, pengalaman membantu menguruskan jenazah makcik, sangat bernilai bagi saya walupun peranannya hanya sedikit...
~ Sejuk hati melihat peserta Imam Muda ini. Baru saya nampak tugas seorang Imam bukan mudah. Sangat meluas skopnya..
~ Tagline yang digunakan: MEMECAH TRADISI... SATU PENEMUAN DALAM SEBUAH KEHIDUPAN... Suka sangat ayat ni..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan