سم الله الرحمن الرحيم
Sedar tak sedar dah 10 hari kita berada dalam Ramadhan, dan dalam jangka masa 20 hari lagi , sekiranya dipanjangkan usia,kita akan menyambut satu kesedihan dan satu kegembiraan. Kedua2nya dalam suasana yang penuh kesayuan. Sedih kerana Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. Gembira kerana dapat menyambut Syawal, meraikan kemenangan jiwa yang berjaya kembali kepada fitrahnya.
Tapi biasalah, ada golongan yang waktu mula-mula datang Ramadhan sangat tak seronok. Dalam hati memang langsung tak mengalu-alu kan kedatangannya. Namun apabila datang Syawal seronok bagai nak rak. Sambut hari raya sampai lupa ibadah. Sedangkan Nabi pernah menyebut dalam suatu hadith ; “ sekiranya manusia mengetahui (dengan sebenar2 tahu ) tentang apa yang ada pada Ramadhan nescaya mereka akan meminta supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan .”
Ada juga golongan yang sangat gemar kedatangan Ramadhan. Datang je Ramadhan terus dia berubah sehingga jauh berbeza dengan sebelumnya. Masjid tak tinggal. Tadarus dengan istiqamah. Solat tahajjud tiap2 malam. Bab sedekah sangat ringan tangannya, tiap2 hari ada je not yang dimasukkan ke adalam tabung. Alhamdulillah. Tapi yang sedihnya – hanya Ramadhan. Berlalu je Ramadhan terus kembali kepada asal. Seolah ibadah yang dia buat adalah untuk Ramadhan sahaja, bulan2 lain tak perlu. Pada saya, ia berpunca dari kefahaman yang silap ataupun kurang faham tentang hakikat ibadah yang sebenar.
Satu lagi golongan, adalah mereka yang ada menjadikan ibadah Ramadhan sebagai satu trend. Satu ikutan. Orang pakat buat so aku pun kena buat. Orang berpuasa aku pun puasa. Orang datang terawikh, aku pun wajib datang. Semangatnya sangat tinggi. Sebab itu malam pertama Ramadhan ( di mana2 tempat sekalipun kat Malaysia ni ) kita akan tengok begitu ramai manusia datang nak solat terawikh. Lepas je pengumuman ‘esok puasa’ terus berderu2 datang surau dan masjid. Sampai melimpah2 jemaah, AJK terpaksa pula pasang khemah. Teringat pula dialog seorang ustaz dengan seorang pengerusi surau. Si pengerusi tadi minta pendapat ustaz berkenaan tentang cadangan supaya diperbesarkan surau bagi menampung jemaah yang semakin ramai pada bulan Ramadhan. Jawab si ustaz, tak payah buat kerja membazir. Dorang ni ramai bulan Ramadhan je, habis je Ramadhan tinggal satu atau dua saf sahaja. Silap2 pengerusi sendiri pun lingkup.
Begitulah realitinya. Berterawikh kerana trend. Meskipun ia hanya ibadah sunat tetapi bagi mereka yang jauh dari ilmu akan menganggapnya seolah satu kewajipan. Bayangkan sekiranya satu masjid atau surau tidak mengadakan solat terawikh , pastinya meletup seluruh kariah. Ia akan dianggap sebagai satu dosa yang sangat besar, walhal sunat je pun. Nak buat silakan, tapi tak nak buat pun tak mengapa. Kalau masjid tak buat terawikh, kita berterawikhlah di rumah dengan anak isteri.
Inilah kefahaman yang silap dan terkadang menjadi extreme bagi sesetengah orang. Mereka inilah yang dilabel sebagai ‘ ahli sunat wal jumaat ’. Bab solat sunat hari raya dan solat terawikh sangat syadid dan bersungguh2. Bab solat jumaat tak pernah tinggal. Tapi solat 5 waktu di hari2 biasa kadang2 buat kadang2 tinggal.
Begitu juga dengan persoalan bilangan rakaat terawikh. Ada yang cukup extreme dengan mengatakan wajib buat 20 rakaat. Ada pula yang mempertahankan bilangan 8 rakaat. Masing2 berhujah cara mereka lebih betul dan mengikut sunnah. Kadang2 sampai bergaduh dan saling mengata antara satu sama lain. Walhal solat terawikh hanya perkara sunat sebaliknya meninggalkan permusuhan adalah perkara wajib. Akhirnya yang wajib ditinggalkan sebaliknya yang sunat pula diagung2kan. Ini bukan lagi khilaf yang membawa rahmat tetapi mengundang kemurkaan Allah. Semuanya lantaran jahil dan kurang kefahaman.
Bagi saya, mereka ni kadang2 perlu sentiasa diingatkan dan disedarkan. Perlu diajarkan bagaimana cara untuk berlapang dada sesama sendiri. Kalau nak buat 8 rakaat pun tak mengapa, nak buat 20 rakaat pun silakan. Kalau nak buat 50 rakaat pun tidak menjadi masalah. Berita yang saya dengar dari Hadhramaut , Yaman, mereka solat terawikh sampai 100 rakaat. MasyaAllah punya hebat amalan mereka. Kalau kita rasa tak cukup dengan 20 rakaat, cubalah tiru mereka dengan menambah bilangan kepada 50 atau 100 rakaat satu malam. Tak perlu bergaduh.
Kadang2 saya terfikir juga. Setiap kali datangnya Ramadhan dan syaitan diikat, namun masih ramai yang tewas pada amarah masing2. Fenomena mengikut nafsu yang sering terjadi : 1- bab bazaar ramadhan. 10 jenis kuih berlainan bentuk tapi satu rasa sahaja. Yang peliknya semua kita nak borong. Bila sampai waktu berbuka, sedikit sahaja yang mampu kita masukkan ke dalam perut. Akhirnya bazaar ramadhan menjadi ‘ bazir ramadhan ’.2- bab pertelingkahan yang saya sebutkan di atas. Satu pihak memburukkan satu pihak begitu juga sebaliknya. 3- mengumpat dan berkata yang sia2. Yang lelaki biasanya waktu moreh atau majlis berbuka. Yang perempuan sewaktu ke pasar atau menyediakan juadah. Mulut masih sukar dijaga. Ada saja cerita yang nak disebut meskipun sedia maklum ianya adalah perkara yang sia2.
Semua ini adalah perkara yang sering disentuh oleh penceramah dan pentazkirah di bulan Ramadhan. Namun yang dikesalkan ianya hanya menjadi bahan lawak sahaja. Terkadang ucapan sedemikian langsung tidak meresap ke dalam sanubari yang mendengar. Hanya menjadi halwa telinga dan menghilangkan mengantuk. Kalau pentazkirah pandai buat lawak dengan situasi2 di atas maka ramailah yang seronok mendengar. Seronok gelak ketawa dan sebagainya. Bila dinilai dari sudut keberkesanan sangat2 kurang. Buktinya masyarakat tetap dengan ‘adat ramadhan’ mereka seperti tahun2 sebelumnya. Paling ketara ialah fenomena berjemaah hanya di bulan ramadhan, tapi bila datang bulan2 seterusnya masjid dan surau kembali sepi.
Menjejak ke 10 hari Ramadhan mungkin kita perlu sama2 memikirkan keadaan sedemikian. Kalau di Selangor sudahpun diwajibkan tazkirah di masjid dan surau, maka kita ingin melihat keberkesanan yang berbeza dari tahun2 sebelumnya. Terutama dari segi kefahaman masyarakat. Terkadang sesetengah pentazkirah mendahulukan modal lawak berbanding input yang hendak disampaikan. Bukan tidak boleh menyelitkan jenaka tetapi biar ada pengisiannya. Kita perlu memikirkan bagaimana untuk bercakap dalam masa yang singkat sekadar 20-30 minit tetapi padat dengan pengisian yang mudah difahami oleh jemaah yang mendengar. Inilah cabarannya memberi tazkirah Ramadhan. Dalam masa sesingkat itu apa yang perlu kita fokuskan adalah tentang keperluan masyarakat kita hari ini memahami konsep ibadah dan hakikat ubudiyyah mereka kepada Allah.
Dalam tazkirah kita tidak perlu membahaskan tentang rukun solat, atau tentang syarat wajib puasa, atau tentang haul nisab mengeluarkan zakat. Seandainya dibahaskan ia hanya menjadi cerita sekerat jalan sahaja. Jemaah tidak akan mampu untuk faham, tambahan pula di sesetengah tempat yang masyarakatnya kurang pendedahan tentang maklumat2 tersebut. Ia perlu diolah dan dibahaskan dalam siri2 pengajian agama yang sekarang ini saya lihat banyak diatur di kebanyakan masjid dan surau.
Sebab itu apabila menyampaikan tazkirah,focus kita adalah menjurus kepada kefahaman yang perlu diperbetulkan, tentang mindset yang silap, tentang apa yang perlu kita ubah dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Terkadang apa yang kita cakap adalah perkara yang biasa mereka dengar. Focus kita adalah untuk menyedarkan dan untuk memastikan kata2 kita meresap ke dalam hati yang mendengar, bukan sekadar bahan ketawa yang menyeronokkan sahaja. Semalam seorang sahabat saya bercerita tentang pentazkirah yang datang ke tempatnya, dengan method yang agak berlainan. Tajuk yang dibawa adalah “muhasabah Ramadhan”. Yang saya agak tertarik, katanya bukan sahaja pentazkirah mengalirkan air mata bahkan kebanyakan jemaah terisak2 menangis. Ada pula yang apabila bersalaman kemudiannya memeluk dan mengucapkan terima kasih kepada ustaz tersebut atas nasihat yang menyedarkan mereka.
Saya cuba membayangkan situasi tersebut. Alangkah pelik. Biasanya kita mendengar tazkirah dengan santai, relax dan sekadar pengisian telinga semata2. Seperti yang saya nyatakan di atas, sekiranya pentazkirah pandai melawak maka malam itu ia berjaya ‘menghiburkan’ jemaah dengan halwa telinga yang menarik. Agak kesal bila difikirkan makna ‘tazkirah’ itu sendiri yang semakin melencong disebabkan sikap sesetengah pentazkirah yang tidak mendalami konsep tazkirah dengan baik.
Saya tak nafikan sememangnya ada pentazkirah yang sekadar bertazkirah kerana ambil syarat. Ada juga atas dasar memenuhi jemputan. Ada juga yang cari makan, kerana lepas tazkirah dapat sampul dari pengerusi. Macam2 jenis pentazkirah pun ada. Yang benar2 memikirkan mad’u mereka,memeras minda mencari pengisian dan cara penyampaian yang sesuai sangat sedikit. Sebab itulah antara factor masyarakat tidak dapat diubah adalah berpunca dari sikap acuh tak acuh si pendakwah.
Mungkin selepas ini kita perlu memikirkan dan mengubah keadaan sedemikian. Ramai yang mencari modal bagaimana untuk membuat hadirin yang mendengar agar ketawa, tetapi agak sedikit yang memikirkan bagaimana untuk membuatkan mereka yang mendengar insaf dan sampai menangis. Allahu akbar. Saya sendiri merasakan ia sesuatu yang sukar tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan.
Bagaimanapun,cubalah kita imbangkan antara method penyampaian yang banyak membuatkan pendengar bergelak ketawa dengan method penyampaian yang berjaya membuatkan pendengar terfikir dan insaf. Yang penting , pastikan andaikata kita salah seorang pentazkirah, maka pastikan kata2 kita dapat sampai bukan sahaja ke telinga mereka yang mendengar tetapi berjaya meresap ke dalam hati sanubari mereka.
Semoga 20 hari yang seterusnya akan lebih cemerlang buat kita semua.InsyaAllah.
oleh: hafizquran
Tiada ulasan:
Catat Ulasan