Apabila pilihanraya kecil disesuatu kawasan akan diadakan, kita akan mendengar ceramah dari parti-parti politik yang akan bertanding. Dalam usaha untuk memenangi pilihanraya kecil, kita sering mendengar kisah baik dan buruknya calon yang akan bertanding.
Segala keburukan tentang calon tersebut akan didedahkan oleh parti lawan kepada pengundi sehingga mengeluarkan aib seseorang walaupun perkara itu benar atau sebaliknya.
Mungkin sudah tidak terhitung seberapa banyak aib daripada seseorang yang telah kita ungkap di hadapan khalayak ramai.
Dan betapa kita mungkin merasa nikmat kerana telah memperbincangkan hal ikhwal tentang aib seseorang, meskipun kita sendiri sesungguhnya belum yakin akan kebenaran berita dan aib dari orang yang kita bicarakan tersebut. Begitu ringannya lidah kita melancarkan sebuah kalimat yang kita tidak tahu apakah kalimah tersebut membawa keredhaan Allah SWT atau mungkin malah mendatangkan kemurkaan-Nya - Semoga Allah SWT lindungi kita dari hal demikian.
Imam Hasan Al Bashri dalam kalamnya (ucapannya) menyebutkan bahawa,
"Engkau tidak akan memperolehi hakikat iman selama engkau mencela seseorang dengan sebuah aib yang ada pada dirimu sendiri. Perbaikilah aibmu, baru kemudian engkau perbaiki orang lain.
Setiap kau baiki satu aibmu, maka akan tampak aib lain yang harus kau perbaiki. Akhirnya kau sibuk memperbaiki dirimu sendiri. Dan sesungguhnya, hamba yang paling dicintai Allah adalah dia yang sibuk memperbaiki dirinya sendiri. "
Semoga petikan ucapan ringkas dari Imam Hasan Al Basri di atas cukup dan boleh menjadi renungan buat kita bersama dan semoga hal ini menjadi motivasi bagi kita untuk tiada henti-henti menilai diri dan berhati-hati dalam setiap ucapan yang akan kita buat.
Astaghfirullahal 'aziim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan