Ukhwah Islamiyyah

Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Rabu, 18 November 2015

Mendidik Hati Pejuang Kebenaran.

























Ingin menegakkan Islam ini, perlu seorang pejuang yang berjiwa besar dan kuat kesabarannya, yang hatinya dekat dengan Allah, menjadi tauladan kepada semua insan.

Dan semestinya, perjuangannya, mengikut langkah-langkah perjuangan Rasulullah SAW, bukan mengikuti landasan yang dicipta musuh-musuh Allah.

Pejuang yang haq itu..

Daripada perbuatan, perilaku dan imejnya sahaja sudah cukup memberi kesedaran kepada hati kita, tentang keindahan Islam. 

Hati kita telah terketuk untuk kembali kepada Allah. ( Dengan izin Allah )

Belum lagi kata-kata yang keluar dari nasihatnya dan pesanannya. 

Itu semuanya dengan izin Allah.

Kebiasaannya, pejuang yang benar-benar bersifat ini yang ikhlas berjuang kerana Allah, dari zaman ke zaman, mereka akan di musuhi oleh pejuang-pejuang batil yang tidak pernah henti merosakkan usahanya.

Setiap zaman itu pasti ada 4 golongan ini..

Mukminin
Fasiqin
Munafiqin
Kafirin

Dari 4 golongan tadi, pejuang yang haq itu semestilah Mukminin.

Dan dari 4 golongan tadi, pejuang yang batil itu mestilah Fasiqin, Munafiqin dan Kafirin.

Setiap sudut perjuangan pejuang yang haq, pejuang-pejuang batil ini, akan mencari jalan untuk merosakkannya.

Melalui fitnah..

Melalui hasutan kepada para pengikut pejuang yang haq..

Melalui usaha, memarakkan api permusuhan dalam hati pihak yang memusuhi pejuang yang haq... 

Mempengaruhi golongan penguasa untuk menyebarkan dakyahnya.. 

Dan berpakat dengan musuh-musuh Allah.. ( Yahudi, Nasrani dan Majusi ) 

Fasiqin dan Munafiqin..

Golongan ini lebih bahaya.

Musuh dalam selimut.

Jika menemui mereka ini, pohonlah pertolongan Allah. Hanya Allah yang mengetahui, apakah yang selayaknya mereka patut terima..

Hidayah atau bala Allah..

Kita teruskan dakwah !! Jangan lemah dengan penentangan mereka.

Itulah cara Allah mendidik hati pejuang kebenaran.


 °°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°

Bagi pejuang kebenaran, mereka akan tenang dalam menghadapi penentangan pejuang-pejuang batil. 

Mereka mengetahui setiap apa yang pejuang-pejuang batil buat kepada mereka, tetapi mereka tidak pernah ingin membalasnya, selagi mana pejuang-pejuang batil tersebut, tidak menentang Allah.

Bagi pejuang yang haq, melayani karenah, dan gangguan pejuang-pejuang yang batil ini, hanya membuang masa. Kerana, masih banyak perkara yang wajib untuk dilaksanakan oleh pejuang yang haq untuk Islam.

oleh: safwatullah.bin mohd fadli

Khamis, 10 April 2014

Berdoa Minta Pertolongan Hendaklah Sepanjang Masa Bukan Ketika Berdepan Musibah.























RAMAI yang meminta kepada manusia tetapi tidak mahu meminta kepada Allah SWT. Mereka juga pandai menjaga hubungan baik dengan manusia tetapi memutuskan hubungannya dengan Allah SWT.

Mereka bergantung kepada manusia dan berharap mendapat manfaat daripadanya sehingga melupakan kuasa Allah SWT yang memberi manfaat dan mudarat. Perbuatan sebegini boleh menyebabkan iman seseorang terjejas. Seolah-olah mereka hilang kepercayaan kepada Allah SWT, padahal Dialah yang menggenggam ubun-ubun setiap makhluk.

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan cucunda Umar bin Al-Khattab, seorang warak, zuhud lagi alim bernama Salim bin Abdullah bin Umar al-Khattab. Kedua-duanya berada di Baitullah. Khalifah bertanya: “Apakah kamu mempunyai hajat kepadaku, wahai Salim?” Salim menjawab: “Wahai Sulaiman tidakkah engkau malu mengatakan itu padahal engkau berada di Baitullah? Kemudian Salim keluar dan Sulaiman menunggunya di luar Baitullah dan kembali bertanya: “Apakah kamu mempunyai keperluan kepadaku?” Salim bertanya juga: “Keperluan dunia atau akhirat, wahai khalifah?” Sulaiman menjawab: “Keperluan dunia.” Salim berkata: “Adapun tentang keperluan dunia, kepada yang memilikinya pun aku tidak pernah meminta, bagaimana mungkin aku memintanya kepada yang tidak memilikinya?

Kepada Allah SWT yang memiliki dunia dan segala isinya pun beliau tidak meminta kecuali untuk kepentingan akhiratnya saja, apatah lagi kepada manusia yang hakikatnya tidak memiliki apa-apa. Begitu kuatnya hubungan orang mukmin kepada Allah SWT melebihi hubungan sesama manusia di dunia ini. Keyakinannya kepada Allah SWT terpacak kukuh dan tidak mungkin digoyah oleh kuasa apapun.

Orang mukmin berpegang kepada satu keyakinan, iaitu hanya kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-An’am: 17)

Apabila syaitan pernah meminta kepada Allah SWT dan permintaannya dimakbulkan, mengapa ramai manusia tidak yakin dengan doanya kepada Allah SWT seterusnya berhenti berharap, berputus asa daripada rahmat-Nya dan mencabut akar keyakinan daripada hatinya kepada Allah SWT? Sedangkan iblis diberi peluang, inikan pula manusia makhluk pilihan paling mulia. 

Sebagaimana yang terakam di dalam surah Al-A’raf: 14-15, maksudnya: “Iblis berkata: Beri tangguh kepadaku sampai waktu mereka (manusia) dibangkitkan”. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.”

Sehebat dan sekuat apapun, manusia tetap makhluk yang tidak berupaya melawan takdir-Nya. Dia memerlukan pertolongan Allah SWT, menyandar pada rahmat-Nya, bergantung hidup kepada limpah kurnia-Nya dan mengharapkan belas kasihan ketika menghadapi sebarang musibah.

Namun begitu, ada juga yang bergantung kepada Allah SWT ketika susah saja, jika sudah berakhir kesusahannya dia kembali berpaling. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya, begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah Yunus: 12) 

Mengapa cepat sekali hati berubah? Sekejap ingat sekejap lupa, iman dan kufur bertukar-tukar seperti baju yang dipakai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kalian mengerjakan amal soleh. Kerana akan terjadi bencana yang menyerupai malam yang gelap, iaitu seseorang yang pada waktu pagi beriman tetapi pada waktu petang dia kafir atau sebaliknya pada waktu petang dia beriman dan pada pagi harinya dia kafir. Dia menukar agamanya dengan sedikit keuntungan dunia.” (Hadis riwayat Muslim) 

Perubahan iman yang berlaku sebegini pada asasnya disebabkan renggangnya hubungan manusia dengan Allah SWT, lemahnya keyakinan mengenai sifat-Nya dan kejahilan yang disengajakan. Secara sengaja mereka menolak kebenaran al-Quran dan Sunnah, berdolak-dalih mencari alasan untuk meninggalkan agama ke tepi. Pandai berputar belit menafikan ayat-ayat Allah dan semua itu dilakukan kerana mereka lupa siapa diri mereka sebenarnya. Jika mereka berpijak pada bumi nyata, mereka akan menghayati kelemahan diri. Mereka memerlukan Allah SWT untuk selamat sampai ke tujuan.

Jika mereka diliputi kesulitan hanya kepada Yang Maha Kuasa saja tempat bergantung. Apabila tiada lagi kekuatan dalam diri yang boleh menyelamatkan maka mereka menjerit mencari Tuhan Yang Maha Perkasa. Sebagaimana jeritan Qarun dan Firaun, kaum ‘Ad dan Tsamud. Sedangkan Nabi Musa merayu kepada Bani Israil setelah berkali-kali dikecewakan dengan kekufuran mereka:

Walau diri pernah ternoda oleh dosa dan maksiat, tetaplah berharap kepada Allah SWT. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan Allah maka dia akan terputus daripada kesenangan dunia dan di akhirat pula menanti azab yang kekal selama-lamanya. Doa dan harapan kepada Allah adalah senjata yang paling tajam untuk membunuh iblis dan syaitan. Doa seorang hamba melemahkan semangat iblis untuk menyesatkannya dari jalan Allah. Disebabkan tangisan, ketakutan, harapan dan cemas mengiringi doa seorang hamba membuat iblis berputus asa seketika.

Apatah lagi mendengar ketulusan seorang yang menyerahkan segala permintaannya menurut ilmu Allah SWT bukan menurut kehendak diri sendiri. Sebagaimana doa Nabi Nuh AS saat melihat darah dagingnya sendiri tenggelam ditelan banjir besar. Firman Allah yang bermaksud; “Nuh berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakikat)nya dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Hud ayat: 47)

Bolehkah kita menghadirkan sangka baik kepada Allah SWT dalam keadaan seteruk apapun dan mempersembahkan doa yang paling tulus? Belum terlambat untuk mengetuk pintu langit dengan bahasa yang paling indah dan lembut diiringi dengan harapan dan keyakinan kepada janji Allah SWT. Sesungguhnya tidak akan ditolak doa orang yang berpuasa. Amin ya Allah, ya rabbal ‘alamiin.

Oleh Mufti Perlis Yang Sekarang

http://rezekihalal.com/ingat-allah-setiap-masa-bukan-masa-susah-sahaja/

Isnin, 3 Mac 2014

Riak - Takabbur!!


Ujian Ahli Ilmu dan Ahli Ibadah

Orang Islam, jika bukan termasuk dalam golongan AHLI ILMU , maka hendaklah dia memastikan dirinya dalam golongan AHLI IBADAH .

Alangkah baiknya jika dia tergolong dalam kedua-duanya golongan tersebut. Jika tidak termasuk dalam salah satu golongan ini, maka dia termasuk dalam golongan yang sangat rugi.

Namun, setiap golongan ini diuji dengan ujian.

Seorang ulama berkata:

وكثير من المنتسبين إلى العلم يُبتلى بالكِبْر كما يُبتلى كثير من أهل العبادة بالشرك
 ولهذا فإن آفة العلم الكِبْر، وآفة العبادة الرياء، وهؤلاء يُحرَمون حقيقة العلم.

"Ramai ORANG yang mempunyai kaitan dengan ILMU (ulama, penuntut ilmu dan seumpamanya) diuji dengan SOMBONG. Sebagaimana ramai AHLI IBADAH yang diuji dengan SYIRIK.

Oleh sebab itu, kerosakan ILMU adalah SOMBONG. Manakala kerosakan IBADAH adalah RIYA. Mereka inilah yang dihalang daripada HAKIKAT ILMU" [Rad Ala Syazili ms:207]

JAUHKAN diri daripada SOMBONG dan SYIRIK. Semoga Allah taala menjadikan kita sebagai ahli ilmu dan ahli ibadah yang sebenar.

oleh: Dr Abu Anas Madani'

Jumaat, 28 Februari 2014

Nikmat - Hitunglah kesyukuranmu, bukan kesusahanmu !






















Dalam kehidupan kita, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Antara sedar dan tidak sedar, nikmat yang kita dapat terlalu banyak. Nikmat kesihatan, nikmat kebahagiaan, nikmat rezeki, nikmat keamanan dan sebagainya. Alhamdulillah! kadang-kadang kita ini insan yang lemah yang mudah lupa untuk mengucapkan Alhamdulillah.

Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu Ya Allah, kerana memberikan keluarga yang sentiasa berada di sisiku, kerana memberikan aku sahabat yang selalu mendorong ku kejalanMu, kerana memberikan aku nikmat-nikmat pemberianMu, Siapa lah aku untuk mengeluh jika apa yang diinginkan tak diperolehi, kerana jika difikirkan, telah terlalu banyak nikmat pemberianMu itu, Dan pasti Allah memberi dengan adil kepada hamba-hambaNya. 

Seringkali kita manusia biasa hanya fokus kepada nikmat orang lain yang dirasakan lebih baik daripada kita. Dan seringkali juga kita akan mengeluh atas segala ujian dan musibah yang melanda hidup kita. Kita terlalu membesarkan kesusahan yang kita lalui sedangkan ada lagi manusia lain yang lagi menderita dan susah dari kita seperti mana musibah yang menimpa saudara kita di Gaza sekarang. Dalam masa yang sama, kita turut membutakan mata atas segala nikmat yang dikurniakan di sekeliling kita. Realitinya, kita tersangat mewah dan kaya dengan kenikmatan. Mengapa kita mudah lupa?? Benarlah bahawa kita hanya asyik mengira kesukaran dan kesusahan yang melanda diri tetapi kita lupa menghitung kesyukuran atas segala nikmat yang ada di sekeliling kita!

Nikmat dalam hidup 

Nikmat Allah yang kita kecapi dalam hidup kita ini terbahagi kepada dua :

  • Nikmat yang dinisbahkan dengan dunia seperti mendapat nikmat diri dan tubuh badan yang sempurna, beroleh kesenangan dan keselesaan hidup dan dijauhkan dari segala musibah dan kecelakaan. 
  • Nikmat yang dinisbahkan dengan akhirat seperti mendapat hidayah Islam, mendapat taufik dan hidayah daripada Allah dan mendapat pemeliharaan Allah daripada mudarat agama. 

Tepuk dada, tanya iman dan hati masing-masing. Alhamdulillah, segala infiniti pujian berbalik kepadaNya sekiranya kita mendapat kedua-dua nikmat ini. Dan sebesar-besar nikmat adalah kita dikurniakan nikmat IMAN dan nikmat ISLAM.

Syukurlah sekiranya kita dilahirkan fitrah dalam ISLAM. Sama-sama kita jaga nikmat itu dengan sebaik-baiknya supaya mendapat pengakhiran yang baik. Tak semestinya permulaan kita baik yakni kita dilahirkan islam akan menjamin pengakhiran yang baik juga untuk kita. Semua bergantung kepada hati, amal ibadah dan ketaqwaan kita kepadaNya.

Jadilah hamba yang bersyukur 

Malulah jika kita tak mampu menjadi hambaNya yang bersyukur. Rasulullah SAW, manusia yang paling mulia di bumi Allah ini pun bersolat malam sehingga bengkak kaki dan tatkala ditanya oleh Saidatina Aishah mengapa berbuat sedemikian lantas baginda menjawab:

‘ …tidak bolehkah aku menjadi hambaNya yang bersyukur.’ 

Dan kita, aku, kamu, awak, anda bagaimana pula? Nikmat dan kurniaanNya terlalu banyak sedang dosa kita juga banyak. Astagfirullah, Astagfirullah, Astagfirullah! Sesungguhnya setiap nikmat datang bersama tanggungjawab. Setiap satunya pasti dipersoalkan bagaimanakah telah kita gunakan semua nikmat dan kurniaanNya ini. Pada jalan Allah kah atau kita menjadi pula hambaNya yang semakin jauh dariNya dengan bersifat sombong serta sangat alpa.

Jangan kufur nikmat. Semua ini hanya dipinjamkan sementara sahaja dan anytime je Allah boleh tarik balik nikmat yang ada pada kita. Ingatlah juga, setinggi mana pun pangkat dan sebanyak mana pun harta kita di DUNIA ini, kepada Allah jualah tempat kita kembali. Di dalam kain kubur berselimutkan kain putih juga akan kita huni. Hanya amal sahaja yang menjadi peneman kita. Jadi, jangan bongkak dan sombong. Siapa kita nak bongkak dan sombong, kita ini hanya hamba. Kita buat salah pun, Allah still bagi chance untuk kita bertaubat dan bagi perkara-perkara baik untuk kita. Luasnya kasih sayang Dia dan rahmatNya untuk kita. Fikir-fikirkanlah.

Pembahagian syukur 

Bagaimana cara nak bersyukur?? Syukur itu boleh dengan hati, lidah yakni lisan kita dan juga amal perbuatan kita.


  • Syukur dengan hati 
Hati yang bersyukur akan sentiasa merasakan bahawa setiap nikmat yang diperolehi adalah mutlak daripada Allah SWT bukan kerana kelebihan, ilmu atau kepandaian yang ada pada dirinya. Mereka akan sentiasa merasa malu dan ‘terhutang budi’ kepada Allah.
  • Syukur dengan lidah 
Lidah yang akan sentiasa melafazkan kalimah ALHAMDULILLAH sebagai menzahirkan erti kesyukuran terhadap nikmat yang diterima daripada Allah. Sesungguhnya Allah amat suka apabila hamba-hambaNya menzahirakn kesan nikmat yang diperoleh dengan melafazkan kalimah puji-pujian kepadaNya.
  • Syukur dengan amal 
Menggunakan segala nikmat yang diperolehi untuk beribadah dan ketaatan kepada Allah. Sebagai contoh, mensyukuri nikmat mata iaitu nikmat penglihatan dengan sentiasa digunakan untuk membaca al-Quran, menatap kitab-kitab Allah, melihat alam semesta dengan tujuan merasai kebesaran Allah dan tidak melihat perkara-perkara maksiat.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berusaha menjadi hamba yang bersyukur. Bersyukurlah dengan apa jua kehidupan yang kita jalani. Kita jatuh, bangunlah kerana masih ramai orang yang menyayangi dan memerlukan kita. Yakinlah bahawa langit yang gelap ini akan cerah di kemudian hari. Pandanglah ke hadapan dan jika perlu pandanglah laluan kita yang berliku di belakang sebagai pendorong kita untuk terus maju kerana ianya bukti bahawa kita telah mengharungi pelbagai pengalaman perit.

Namun kita masih mampu berdiri di dunia yang fana ini. Orang selalu kata jangan pandang orang yang lebih tinggi daripada kita tetapi pandanglah orang yang sama taraf dan lebih susah dari kita. Kerana kita akan termasuk dalam golongan orang-orang yang sentiasa bersyukur atas nikmatnya. In shaa Allah! Itu sahaja, jaga diri, jaga hati, jaga iman.

Wallahua’lam.

kredit: http://wafairdina.blogspot.com/

Kesusahan Hidup Tanda Kerinduan ALLAH























Hidup dalam dunia yang penuh kemewahan dan semua yang ada di dalamnya berlumba-lumba pada hari ini sering menghanyutkan kita dengan seribu macam perkara. Hari-hari yang dilalui, dipenuhi dengan jadual dan aktiviti untuk mencapai yang dihajatkan oleh hati. Ingin mengejar itu dan ini.

Hati dan fikiran fokus kepada hal-hal dunia sehinggakan masa untuk kita berhubung mesra dengan ALLAh Ta’ala, berkhalwat dengan ALLAH Ta’ala sudah hampir tiada. Kalau ada pun, berapa ramaikah dari kita yang tergolong dari orang-orang yang sedaya upaya mencuri masanya untuk berhubungan ‘heart to Rabb’ dengan Dia?

Yang parahnya adalah, dalam 1 hari yang dilalui itu, ada manusia yang langsung tidak mengingati Tuhannya dek kesibukan yang mengikat diri. Dan ALLAh Ta’ala, punya cara yang tersendiri untuk menyedarkan! Dan hanya selepas itu, manusia yang tersedar.

ALLAH Punya Cara-Nya Sendiri 

Dia Maha Penyayang, Maha Mengingati dan Maha Mengasihi kepada semua hamba-Nya.

Apabila kita menyayangi seseorang, mesti timbul rasa rindu apabila berjauhan, dan rasa rindu untuk berhubung serta bermesra, bergurau sendanya dengannya. Begitulah juga tamsilan, halnya dengan kerinduan ALLAh Ta’ala terhadap hamba-Nya.

Tapi, cara manusia dan cara ALLAh Ta’ala memanggil, menyeru dan berhubung dengan hamba yang dikasihi-Nya sangat luar biasa. Tidak sama seperti cara manusia. ALLAh Ta’ala punya cara-Nya sendiri. Tapi sayang, dek kerana lemahnya iman yang ada, sangat sedikit dari pada manusia (termasuk saya) yang sedar dan faham akan cara ALLAh menyeru dan memanggil kita untuk mendekati dan mendampingi-Nya. 

Musibah dan masalah dalam kehidupan itu sebenarnya merupakan panggilan-panggilan ALLAh supaya manusia berhubung dengan-Nya. Manusia sering lupa untuk mengingati ALLAh Ta’ala. Sering!

Bagaimana mahu berhubung dengan ALLAH Ta’ala? Melalui telefonkah? Bukan, sayang.

ALLAH Ta’ala menyeru dan memanggil manusia untuk menghampiri-Nya dengan menurunkan kesusahan demi kesusahan, supaya dengan itu, manusia boleh tersedar dan lembut hatinya untuk kembali kepada-Nya berdoa, mengadu dan meluahkan masalah dalam hidup.

Ini soal pergantungan manusia sebagai seorang hamba kepada Tuhannya!

ALLAH Ta’ala yang menurunkan bala bencana dan ALLAH Ta’ala jugalah yang akan mengangkat kesemua bala bencana itu kembali daripada kita. 

Pernah terfikir tidak, kenapa diri sendiri ditimpa musibah secara tiba-tiba, padahal beberapa minit atau beberapa jam sebelumnya hati lapang dan gembira serta tersenyum tawa dengan hati yang riang? Mengapa ALLAh Ta’ala turunkan suatu masalah yang sangat menghimpit jiwa secara tiba-tiba tanpa sebarang alamat? 

Maka, itulah sebenarnya maksud dan perancangan ALLAh Ta’ala pada setiap waktu dan ketika menanti-nanti manusia yakni hamba-Nya meluangkan masa untuk bersama-Nya. Setiap kali ALLAh Ta’ala menyeru dan memanggil manusia melalui kesusahan-kesusahan hidup itu, ALLAh mahu manusia menyahut panggilan-Nya dengan berusaha merapat pada-Nya melalui solat, doa dan munajat.

Ujian kesusahan, kedukaan dalam kehidupan itu bukanlah tanda ALLAh Ta’ala itu zalim. Tetapi kerana zalimnya manusia terhadap diri sendirilah yang menyebabkan ALLAh Ta’ala dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih menyedarkan manusia dari lamunan duniawi.

Itu adalah tanda kasih dan sayang-Nya!

Saya sendiri, dan anda yang membaca,
tidakkah terasa kecut jiwa untuk mahu tunduk terhadap ALLAh?

Dia, ALLAh Ta’ala. Tuhan kita, sentiasa ada untuk menjaga kita.
Maka, jagalah Dia dalam urusan kehidupanmu.

Semoga ALLAh merahmati.

Selasa, 28 Januari 2014

Melihat Wajah Setiap Hari Takut-takut Bertambah Gelap…
































Telah berkata Al-Junaid rah.a. : Aku telah mendengar Sariyy rah.a. berkata (mafhumnya): "SESUNGUHNYA DAKU PASTILAH MELIHAT KEPADA HIDUNGKU SETIAP HARI DUA KALI KERANA TAKUT KALAU-KALAU ADALAH SESUNGGUHNYA WAJAHKU TELAH MENJADI HITAM / GELAP".

Begitulah petikan (terjemahan kasar) daripada Sifah As-Sofwah, susunan Al- Imaam Al-`Aalim Jamaaluddin Abil-Faroj Ibnu Al-Jauziyy rah.a., mujallad 2, halaman 376. Hidung adalah sebahagian daripada wajah. 

Memang cahaya keruhanian akan jelas kelihatan pada wajah-wajah mereka yang dekat dengan Allah swt. Cahaya keruhanian itu adalah sebagai tempias atau gambaran daripada penerimaan Allah swt terhadap amalan-amalan mereka yang bertuah itu. Sebaliknya pula, bagi mereka yang sentiasa bergelumang dengan dosa-dosa dan maksiat, tentulah cahaya keruhanian itu akan pudar sepudar-pudarnya.

Bagi mereka yang telah berpeluang (diberi taufiiq oleh Allah swt) bertemu secara peribadi dengan mereka yang dekat dengan Allah swt itu , tentulah dapat menilai sendiri akan betapa nur keruhanian itu terpancar dari wajah-wajah mereka itu. Orang yang seperti kita ini (terutamanya ana sendirilah) yang penuh dengan dosa-dosa zahir dan batin tentu akan merasa tersangat malu bila (diberi peluang) bertemu dengan mereka itu dan kita akan tertunduk dik kehebatan ruhani yang dianugerahkan Allah swt kepada mereka .Wajah –wajah kita yang penuh kegelapan dan kehitaman pekat ini tak sanggup untuk berdepan secara terus dengan wajah-wajah yang penuh nur lagi diberkati itu. Malah Para Sahabat r.a. sendiri merasa akan kehebatan nurani dan keruhanian Baginda saw bila mereka duduk bersama-sama Baginda saw, sampai-sampai ada yang `asyik tunduk sahaja bila berdepan dengan Baginda saw lantaran kerana malu dan merasakan kehebatan Baginda saw. 

Kembali kepada amalan harian Sariyy Saqtiyy rah.a…iaitu melihat hidungnya 2 kali sehari …. takut kalau-kalau wajahnya berubah menjadi hitam dik dosa-dosa yang dilakukan pada hari itu !!

Kita pula, bagaimana? Cermin memang banyak kat rumah….. Ada check hari-hari ke nur ruhani pada wajah kita (atau sebaliknya iaitu wajah kita yang gelap lantaran dosa-dosa yang berterusan …) ? Yang pasti, makin sehari semakin bertambah gelap wajah kita !! Atau pun kita tidak check ? Atau kalau check pun tak nampak juga? Kerana suluhan hati dah memang gelap? Gelap dalam gelap memanglah tak nampak kan ? Atau pun memang kita tidak berminat untuk buat semakan ini? Ataupun kita hanya memadai dengan melihat / menyemak hidung juga kot (tapi lagi tak nampak kot) ?

kredit: rakangroup

Ahad, 5 Januari 2014

Lima Dosa Yang Mengundang Lima Bencana

SEBAB HARGA BARANG NAIK & HUJAN TURUN AIR TAK ADA:


Di penghujung usia dunia ini, pada saat akhir zaman, perkara mungkar dan maksiat yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai tanda dan alamat hampir Kiamat telah banyak dilakukan oleh manusia. Yang amat menakutkan, terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa ada beberapa jenis maksiat yang akan disegerakan balasannya semasa di dunia ini lagi.

Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW datang kepada kami (pada suatu hari) kemudian Baginda bersabda: “Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah diuji dengannya (jika kamu telah mengerjakannya), maka tidak ada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT, semoga kamu tidak melalui zaman itu.

Perkara-perkara itu ialah:

1. Tidak terjadi perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus-terangan melakukannya, melainkan akan berjangkit di kalangan mereka wabak penyakit menular (Ta’un) dengan cepat, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang terdahulu.

2. Tidak mereka mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan, kecuali mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.

3. Dan tidak mereka menahan zakat harta benda, kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT.

4. Dan tidaklah mereka menyalahi janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menurunkan ke atas mereka musuh yang akan merampas sebahagian dari apa yang ada di tangan mereka.

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Qur'an dan mereka meilih ayat atau hukum yang mereka mahu, maka (di waktu itu) Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri." [HR Ibnu Majah, Sahih al-Jami’ as-Soghir: 7978].

Keterangan Hadis di atas menerangkan bahawa:

1. Wabak Taun yang berjangkit dan kolera serta penyakit kelamin yang begitu banyak merebak sekarang seperti Aids, HIV adalah disebabkan banyaknya terjadi perzinaan.

2. Sukar mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah disebabkan daripada rakyat yang mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan. Lalu terjadilah inflasi, barang naik harga, minyak naik, pendapatan tidak mencukupi, banyak pengangguran dan lain-lain kemerosotan ekonomi.


3. Kemarau panjang disebabkan tidak mengeluarkan zakat. Sesetengah tempat, walaupun hujan turut banyak, tetapi air tidak mencukupi untuk kegunaan, iaitu hujan tidak lagi membawa berkat bahkan membawa bala bencana pula!

Lihat Video di: Hujan Banyak Air Tak Ada

4. Kuasa musuh mengambil sebahagian daripada apa yang dimiliki kaum Muslimin (seperti hilangnya kuasa ekonomi daripada tangan kaum Muslimin) disebabkan mereka mengkhianati janji-janjinya kepada Allah SWT, tidak mentaati perintah Allah. Atau bagi negara Islam lain mungkin penjajah atau pelabur asing yang akan menguasai ekonomi dan hasil kekayaan negeri. Rakyat akan merempat di bumi sendiri!

5. Perang saudara yang berlaku dalam kalangan kaum Muslimin disebabkan mereka mengabaikan hukum-hukum Allah SWTdan tidak menjadikan Al-Qur'an sebagai undang-undang di dalam kehidupan. Akan berlaku perpecahan dan perbalahan, perperangan dan pembunuhan sesama sendiri berleluasa.

Semoga Allah SWT selamatkan kita semua dari bala dan kemurkaan-Nya.

“DAN apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.”(AS SYURA: 30)

HURAIAN

Allah s.w.t. menerangkan bahawa bencana-bencana dunia yang menimpa manusia seperti peyakit, kebuluran, bencana alam dan bermacam lagi itu adalah sebahagian daripaa balasan dan hukuman bagi umat manusia yang melakukan dosa, maksiat dan kemungkaran di dunia ini. Allah s.w.t. menjadikan dosa-dosa sebagai sebab-sebab yang menghasilkan akibat-akibat yang menimpa hamba-Nya yang berdosa tersebut.Apabila terdapat orang yang melakukan maksiat di suatu tempat itu,maka Allah menurunkan bala bencana di kawasan tersebut. Ini kerana akibat perbuatan dosa oleh segelintir manusia, maka manusia lainnya juga menanggung kesusahan yang sama.

Tetapi tidak dinafikan pula, ada yang berbuat kemungkaran dan dosa tetapi boleh hidup senang lenang tanpa sebarang musibah yang menimpa mereka. Namun kita perlu ingat bahawa hukuman atau balasan itu kemungkinan dalam bentukyang lain seperti sakit, dibenci manusia, pergolakan rumahtangga dan sebagainya ataupun ditangguhkan sampai hari kiamat kelak. Di padang mahsyar nanti semuanya akan dihitung dan masing-masing akan menerima pembalasan yang setimpal dengan perbuatan mereka. Sesungguhnya Allah akan menghukum mereka atas dosa-dosa yang dilakukan dan jika dikehendaki, Dia akan mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya setelah mereka bertaubat nasuha dan meninggalkan segala dosa dan keterlanjuran yang telah dilakukan.

KESIMPULAN

Segala bencana dan musibah yang dialami ini antara sebabnya adalah hasil perbuatan dosa dan kemungkaran yang dilakukan oleh manusia. Sesungguhnya Allah berkuasa memberi hukuman terus di dunia dan jika Allah menghendaki, Dia mengampunkan dosa-dosa tersebut. Allah menurunkan bala untuk menyedarkan umat manusia supaya menjauhi kemungkaran dan bertaubat daripada melakukan maksiat dan dosa.

sumber: http://abuanasmadani.blogspot.com/

Rabu, 18 Disember 2013

Dunia Ibarat Kebun Ibadah (tempat menanam amal soleh)


































Demikian peringatan buat manusia beriman dan kita mesti yakin dengan sebenar-benar yakin bahawa setiap amal perbuatan di dunia akan diberikan ganjaran di akhirat nanti. Besar atau kecil amal seseorang semua dihitung. Siapa pun kita, pemimpin atau rakyat, raja atau hamba sahaya semua akan ‘pergi’ menghadap Yang Maha Esa. Jadi apakah bekalan yang kita bawa untuk dipersembahkan nanti?

Oleh itu, kita hendaklah menjadi mukmin cemerlang di dunia. Cemerlang dari segi akhlak. Cemerlang dalam lapangan ilmu pengetahuan. Cemerlang dengan amal ibadah dan amal soleh. Ini kerana kecemerlangan dalam hakikat sebenar yang berpaksikan keimanan, ketakwaan dan menyusuri alur agama akan memberikan impak besar di akhirat nanti.

Dengan itu, selagi kita bernafas dan kudrat yang dipinjamkan Allah kepada kita ini masih bertenaga maka pergunakanlah ia untuk mengumpul perbendaharaan akhirat. Maksudnya melakukan segala amar makruf dan nahi mungkar.

Nabi Muhammad s.a.w pernah berpesan kepada kita yang katanya, “Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, kelapangan sebelum sibuk, hidup sebelum mati.’ (Hadis riwayat Hakim).

Ini adalah pesanan terbaik buat umat manusia. Peringatan supaya kita tidak lalai dengan nikmat kerana sifat manusia cepat lupa dan terlalu ghairah dengan dunia sehingga pesanan Nabi s.a.w ini kita pandang remeh saja.

Bak kata orang tua ‘Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.’ Sebab itulah Nabi s.a.w menyentuh lagi soal kelalaian manusia ini sebagaimana terdapat dalam sabda Baginda yang bermaksud, “Dua nikmat yang manusia terpedaya dengannya, iaitu sihat dan kelapangan.” (Hadis riwayat Bukhari).

Memang tepat apa yang Nabi s.a.w kata kerana sudah menjadi lumrah bagi sesetengah manusia mudah dihanyutkan oleh waktu sihat dan masa lapang. Sedangkan kedua-duanya adalah nikmat Allah yang sepatutnya kita gunakan anugerah tersebut dengan pengisian amal ibadah dan amal soleh. Alangkah beruntungnya orang yang dapat melalui kehidupan dengan amal ibadah dan amal soleh sehingga ke akhir hayat.

Ini kerana bekalan yang penuh berisi dengan ganjaran pahala itu akan menjadi bekal diri bagi menghadapi detik cemas di akhirat nanti. Ingatlah, duka dunia duka sementara tetapi sengsara akhirat kekal selamanya. Jadi, isi kehidupan dengan amal menggunung dan pahala melangit.

Sekali lagi marilah menghayati wasiat Rasulullah s.a.w yang ditujukan buat kita semua dalam melayari kehidupan dunia.

Sabda Baginda, “Seseorang yang meninggal diikuti (dihantar) oleh tiga hal. Maka dua hal pulang dan tinggallah satu. Dia dihantar keluarganya, hartanya dan amalnya. Maka keluarga dan hartanya pulang dan tinggallah amalnya.’ (Hadis riwayat Bukhari).

Inilah hakikat yang mesti semua manusia akui. Harta menimbun sekalipun semua akan kita tinggalkan. Ramai anak pun, semua kita tinggalkan. Hanya amalan yang kita bawa bersama memasuki liang lahad. Apakah ini masih tidak menginsafkan kita? Apakah kita masih mahu terus dibuai keghairahan dunia sehingga lupa kepada ‘pelabuhan’ terakhir kita iaitu akhirat?

Jadi, kita sebagai mukmin yang beriman kepada Allah seharus menyeimbangkan kedua-duanya, dunia dan akhirat. Dunia dikejar tetapi akhirat tetap tidak dilupai.

Dalam hal ini, Allah ada mengingatkan kita sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Qasas ayat 77 yang bermaksud, “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.”

Inilah panduan Allah kepada kita supaya mengambil dunia untuk mendapat pahala dan bukannya mengambil dunia dengan mengisi dosa! Di sini juga ada baiknya kita merenungi mutiara hikmah Saidina Ali Abi Talib sebagai pembuka mata hati menginsafi diri.

Kata Saidina Ali, “Seharusnya mereka yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan di dalam tiga perkara; berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka di dalam perkara yang tidak haram.”

Jadikanlah pesanan ini sebagai perisai pembenteng diri dalam memacu ketulenan roh keimanan dan insya-Allah ketiga-tiga perkara itu memandu setiap insan mukmin ke mercu kegemilangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Justeru, binalah diri kita sebagai mukmin setiap hari dan setiap masa supaya memenuhi ruang lingkup penghidupan dengan perkara bermanfaat berteraskan syariat beragama yang luhur. Budayakan diri dengan amar makruf dan nahi mungkar, biasakan diri dengan beramal kebajikan untuk kesejahteraan ummah.

Inilah landasan yang membawa bekalan pahala buat kita. Allah berfirman melalui Surah An-Nisa’ ayat 40 bermaksud, “Sesungguhnya Allah tiada menzalimi seberat zarahpun kalau ada (yang mengerjakan) satu kebaikan, nescaya Allah akan melipat- gandakannya dan memberikan daripada sisi-Nya pahala yang besar.”
Kita susuri lagi Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 115, Allah memberi jaminan pahala buat insan yang melakukan kebaikan di dunia. Firman Allah, “Apa- apa kebaikan yang mereka buat, nescaya tiadalah dikurangkan pahalanya dan Allah Maha Mengetahui orang- orang yang bertakwa.”

Yakinlah dengan jaminan Allah ini. Imam Ibnu Taimiyah mengingatkan kita dengan katanya, “Sangat berbeza antara yang menjadikan agama sebagai tujuan dan dunia sebagai sarana, dengan orang yang menjadikan dunia sebagai tujuan dan agama sebagai sarana. Orang yang kedua inilah yang tidak mempunyai bahagian apa- apa di akhirat.”

Oleh yang demikian, bersama-samalah kita menjadikan dunia yang kita diami ini sebagai kebun buat beramal ibadah dan beramal soleh dengan satu visi mengumpul dana akhirat dan menjadikan segala gerak laku kita sesuatu yang bermanfaat dan berpahala di sisi Allah.

Rabu, 4 Disember 2013

Banjir - Bencana Alam Pertama

'Bencana alam' pertama 
Banjir semakin teruk di Kuantan hingga darurat dan ini dikatakan banjir paling teruk pernah melanda. Takziah kepada semua mangsa yang terlibat dalam bencana banjir kali ini dan kepada yang tidak terlibat, panjatkan kesyukuran dan jangan pernah dilupa mereka yang sedang kesusahan ketika ini. Sama-sama kita panjatkan doa kehadrat Illahi agar segala ujianNya ini dipermudahkan. InsyaAllah.

Di dalam sejarah dunia, banjir merupakan ‘bencana alam’ yang pertama berlaku. Al-Quran menceritakan kisah banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s. Banyak ayat yang menerangkan kedegilan kaum Nabi Nuh a.s. terhadap amaran dan peringatan yang disampaikan kepada mereka.

Mereka membelakangi dan mendustakan seruan ayat-ayat Allah SWT dan mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. Walaupun baginda berusaha bersungguh-sungguh berdakwah kepada mereka tetapi mereka menuduh Nabi Nuh a.s. melakukannya demi kepentingan diri seperti kepimpinan, kekayaan dan sebagainya. Mereka juga menuduh Nabi Nuh a.s. seorang yang gila.

Allah SWT memberitahu kepada Nabi Nuh a.s. bahawa kaumnya yang menentang kebenaran dan berbuat kezaliman akan ditimpakan azab dan yang beriman akan selamat.

Tiba masanya air dari mata air keluar dengan membuak-buak manakala hujan turun dengan selebatnya sehingga menenggelamkan gunung-gunung yang tinggi. Semua manusia telah mati termasuk anak lelaki Nabi Nuh a.s. kecuali yang menaiki bahtera bersama-sama Nabi Nuh a.s.

Apabila banjir telah surut, bahtera tersebut terdampar di Judi iaitu pada sebuah tempat yang tinggi, menurut al-Quran.

Di antara firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka dibinasakan oleh banjir besar, dan mereka adalah orang-orang yang zalim (dengan kufur derhaka).” (al-Ankabut: 41) “Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran).” (al-A`raaf: 64)

“Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku. Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar.” (al-Qamar: 11-14)

“Lalu Kami wahyukan kepadanya: "Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu kepadaku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas.” (al-Mukminun: 27)

“Sesungguhnya Kami, - ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), - telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya). (Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran.” (al-Haqqah: 11-12)

Ambil pengajaran 

Kisah-kisah umat terdahulu banyak dimuatkan di dalam al-Quran. Seharusnya ia menjadi perkara yang perlu direnungi. Allah SWT menurunkan seksaan-Nya kepada umat terdahulu lantaran keingkaran dan pendustaan mereka terhadap ayat-ayat Allah. Marilah kita menginsafi diri kerana di dalam kisah-kisah yang sebegini ada peringatan dan pegajaran bagi mereka yang mahu berfikir dan menggunakan akal. 

Allah SWT berfirman: 

"Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap). Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka." (Hud: 100-101)


Musibah adalah sebahagian dari ketentuan Allah ke atas hambaNya.. Ia akan memaniskan iman seseorang terhadap Allah swt... Tetapi pada hakikatnya, orang yang ditimpa musibah perlu diberikan bantuan dengan cara pelbagai, sama ada nasihat dan kata-kata yang menyenangkan hati, atau dengan sedikit harta dalam bentuk hadiah atau sedekah dan lain-lain... Di saat ini, ramai saudara kita yang ditimpa dengan MUSIBAH BANJIR di beberapa tempat dalam negara... Doakan untuk mereka keselamatan dan ketenangan dan redakanlah musibah mereka dengan bantuan kewangan dalam bentuk sumbangan derma..... Mudah-mudahan mereka akan berasa tenang hati dan jiwa di atas musibah yang sedang menimpa mereka... Amin.

Hujan masih mencurah di luar dengan lebatnya. Hujan juga ada peringatan dan pengajarannya, tentu sekali bagi mereka yang mahu berfikir.

“Ya Allah, jadikanlah hujan yang turun ini membawa rahmat dan memberi manfaat kepada kami semua, ameen ya Rabb.

diolah semula.
kredit: http://abuikhwan.blogspot.com/

Rabu, 27 November 2013

4 Golongan Lelaki Yang Ditarik Masuk Neraka


Di hari akhirat, ada 4 golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:

1. Ayahnya
Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya
Apabila sang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya.

3. Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang- abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak Lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata dan sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka. Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat, maka kaum lelaki yang bergelar ayah / suami /abang atau anak harus memainkan peranan mereka..............

Wallahu a'lam..

Isnin, 25 November 2013

Kata-kata Yang Membuat Ramai Sebak


Dewasa ini, apabila kita sebutkan pasal pengertian CINTA, ramai daripada kita akan terus teringat kepada kekasih hati kita, sama ada teman wanita, teman lelaki, atau suami dan isteri. Namun, ramai yang lupa, pengertian CINTA yang sebenarnya luas, dan melingkupi keseluruhan kehidupan kita..

Pertama CINTA Allah, ia adalah satu kewajipan. CINTA yang paling agung dan perlu kita letakkan pada tahap tertinggi jika hendak dibandingkan dengan CINTA kita kepada perkara lain. Kedua CINTA Rasulullah, CINTA kepada junjungan besar kita, Nabi kita yang membawa syafaat kepada sekalian umat dan makhluk. CINTA terhadap baginda perlulah melebihi daripada segala CINTA terhadap makhluk yang lain.. Dan yang ketiga, CINTA yang sering kita lupa, sering kita abaikan,.. CINTA kepada orang yang menjaga kita dari kecil, memberi sepenuh kasih sayang kepada kita, sehingga kita besar dan berjaya, CINTA kepada ibu dan bapa..

hayati bait-bait kata ini… semoga kita akan sedar.. dan dapat ingat kembali..

» Bila mak kata dia teringat, kita jawab kita sibuk sangat.
» Bila ayah kata dia rindu, kita jawab nantilah hujung minggu.
» Bila mak minta kita pulang, kita jawab kita belum lapang.
» Bila ayah minta kita singgah, kita jawab kerja kita belum selesai.
» Bila hati kita terguris, kita kata “Mak memang tak pernah faham”.
» Bila hati kita terhiris, kita kata “Ayah memang tak ambil kisah”

 Tetapi

» Bila hati mak kita terguris, mak kata “Tak apa, dia masih muda”.
» Bila hati ayah kita terhiris, ayah kata “Tak apa, belum sampai akalnya”.
» Bila kita menangis tanda lapar, mak berlari bagai hilang kaki.
» Bila kita merintih tanda derita, ayah bersengkang mata bagaikan tiada lena.
» Bila kita sedih kerana gagal, mak setia membekalkan cekal.
» Bila kita pilu kerana kecewa, ayah teguh berkata dia tetap bangga. Fikir-fikirkanlah

* Hidup bagai pusingan roda… sampai masanya kita pula akan menjadi ibu atau bapa… dan anak-anak kita akan melakukan apa yang pernah kita lakukan terhadap ibu dan bapa kita… dan kita akan bersabar dengan karenah mereka sebagaimana ibubapa kita pernah lakukan kepada kita… dan begitulah seterusnya… janganlah mengabaikan mereka, janganlah menghantar mereka ke rumah orang-orang tua. jagalah mereka seperti mereka menjaga anda sewaktu kecil.. Jangan abaikan mereka… 

Sayangilah ibubapa kita…insyaAllah kita akan disayangi oleh anak-anak kita pula..

Selasa, 19 November 2013

Adab Bersahabat


Sabda Nabi saw: "Seseorang itu adalah atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah diperhatikan siapa yang harus dipilih sebagai rakan." 

Al-Qamah, seorang ulama yang masyhur suatu ketika dahulu memberikan beberapa panduan kepada anaknya dalam memilih sahabat, antaranya:

  1. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan membantu menguasahakan pertolongan itu sedaya upayanya. 
  2. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, dia akan menghargainya. 
  3. Jika engkau membuat bakti kepadanya pasti dia akan melindungimu. 
  4. Jika engkau berdua berselisih faham, dia akan mengalah untuk menjaga ikatan persahabatan itu. 


Imam al-Ghazali telah menyenaraikan adab-adab bersahabat di dalam kitab Bidayatul Hidayah. Antaranya:


  1. Melebihkan saudara/sahabatnya itu dengan hartanya (apa yang dimiliki). ~Sepertimana dia berkehendakkan sesuatu kebaikan untuk dirinya, begitu jugalah yang dia harapkan buat sahabatnya (mendapat kebaikan yang sama). ~Memberikan hartanya padahal dirinya berhajat kepada harta itu. 
  2. Menghulurkan bantuan kepada sahabatnya walaupun tanpa diminta. 
  3. Menyembunyikan akan rahsia sahabatnya. 
  4. Menutup aib sahabatnya. 
  5. Apabila terdengar celaan seseorang kepada sahabatnya, tidak disampaikan celaan tersebut kepada sahabatnya itu. 
  6. Apabila diketahui sahabatnya dicela,maka janganlah ia sesekali mendengar celaan itu. 
  7. Apabila diketahui sahabatnya dipuji, maka hendaklah ia menyampaikan pujian tersebut kepada sahabatnya itu. 
  8. Hendaklah memberi perhatian kepada sahabatnya tatkala ia berbicara. 
  9. Menghindarkan diri dari berbantah-bantah dengan sahabatnya. 
  10. Apabila melihat kebajikan yang dibuat oleh sahabatnya, maka hendaklah ia memuji akan sahabatnya.
  11.  Menegah orang yang sedang mencela sahabatnya walaupun ketika ketiadaan sahabatnya. 
  12. Memberi nasihat dan teguran kepada sahabat apabila diminta. 
  13. Memaafkan segala kesalahan sahabatnya itu dan tidak mencacinya atas kesalahan yang telah dilakukan. 
  14. Sentiasa mendoakan kebaikan kepada sahabat sama ada yang masih hidup atau telah mati. 
  15. Hendaklah membuat kebajikan kepada sahabatnya dan kepada keluarganya apabila dia telah meninggal dunia. 
  16. Tidak memberati akan sahabatnya itu daripada suatu hajatnya supaya senang hati sahabat itu dari kesusahan. 
  17. Mendahului memberi salam ketika berjumpa sahabatnya. 
  18. Memuliakan akan sahabatnya itu akan segenap hal kebaikan. 
  19. Apabila sahabatnya berkata, hendaklah dia mendengar sehingga selesai sahabatnya berkata, sesudah itu barulah dia berkata. 


Saidina Ali berkata: "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sisimu (ketika susah dan senang). Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentinganmu." 

Abu Sulaiman al-Darani ra mengingatkan kita agar melihat dua sifat ini pada seseorang sebelum memilihnya sebagai rakan:

(1) Orang yang mudah engkau berurusan dalam kehidupan seharian.
(2) Orang yang dapat memberikan faedah dan manfaat dalam segala perkara.

Setiap individu muslim mempunyai hak yang perlu ditunaikan terhadap sahabatnya. Janganlah sekadar menagih hak kita (sebagai sahabat kepada muslim yang lain), dan mengabaikan hak sahabat lain yang perlu kita tunaikan.

Rabu, 13 November 2013

Drama Melayu versi Ingat Mati


"Sehangat Asmara"
- Mengingatkan betapa hangatnya keadaan dalam kubur. Tanpa ada kipas apatah lagi air-cond. Mengiring berseorangan dalam liang lahad, setiap ketika datang di'peluk' si kembar Munkar dan Nakir. Kadang-kadang tenggelam 7 kaki ke dalam perut bumi. Kadang-kadang terperosok hilang ke dasar bumi. Hangat sampai berpeluh-peluh, berdarah-darah. Kadang-kadang terbakar juga sampai ke kaki. Memang hangat.

"Sebenarnya, Saya Isteri Dia" 
- Itulah kata-kata yang tidak lagi kedengaran di dalam kubur. Dulu, tiap-tiap hari dengar perkataan tu dari isteri tersayang. Dulu, masa ada rupa dan berharta, isteri manja dan mengada-ngada. Bila dah sakit dan miskin, isteri lari entah ke mana. Bila dah dalam kubur ni, tak ada siapa-siapa nak mengaku diri ada kaitan dengan kamu dah. Duduklah sorang-sorang dalam tu. Yang datang mengaku, adalah amalan kamu. Kalau buruk, maka datanglah ular-kala jengking-lipan mengaku, "Sebenarnya, kamilah amalan buruk dia." Jika sebaliknya, maka berdampinglah dengan pemuda kacak yang bernama al-Quran datang mengaku, "Sebenarnya, saya amalan baik dia. Jauhilah dia dari seksa."

"Teduhan Kasih" 
- Bila berada dalam kubur. Kasih anak-anak yang soleh dan solehahlah yang diharapkan. Moga-moga anak-anak berdoa dan beramal soleh hinggakan kesolehan mereka menjadi peneduh di dalam lubang kubur yang panas berapi. Harta dan wang yang disalurkan ke jalan Allah dan menolong fakir miskin, itulah yang membantu. Ilmu walaupun secebis itulah yang membantu walaupun sebesar kuman update status nasihat di muka buku. Lepas dibangkitkan dari kubur lak, kita yang kurang amal ni berharap kasih dan syafaat dari Rasulullah s.a.w. je untuk berteduh di bawah Arasy dan masuk Syurga. Kalau amal buruk yang dibawa ke akhirat, agak-agak ada tak "Teduhan Kasih Allah" untuk kita. Sobs.

"Bunga Merah Punya" 
- Dulu masa hidup, duk bangga tayang awek, tayang boyfriend di internet walaupun dikutuk orang ramai. Bangga sakan sampai letak gambar bercium di facebook dengan caption, "Bunga (nama awek) hanya Merah (nama si bf) yang punya." Mananya tak bangga, sekali letak dapat 5 ribu likes. Sekali tayang dapat 10 ribu likes. "Tengok beribu-ribu orang sokong aku, kau ada?" Entah sebenarnya siapa yang sengal, si couple itukah atau beribu-ribu yang likes tu. Pedulikanlah. Bila dalam kubur dah ni, cuba hang minta LIKE dari Munkar Nakir. "Bro, like la..dulu awek aku cun kot. Ramai kot followers aku." Pasti pukulan padu maut ditekan-tubikan ke atas kepala hang sampai ke kerak bumi. Selamat mencuba.

"Setia Hujung Nyawa" 
- Lubang kubur sentiasa setia menantimu. Tak kira panas atau hujan. Tak kira bersemak samun. Kadang-kadang manusia ni setia sangat dengan manusia, tapi dia tak setia dengan agama. Suruhan manusia dia ikut bila dapat ganjaran. Suruhan Tuhan tak ikut. Solat pun jarang-jarang, tinggal-tinggal, kadang-kadang. Sedangkan antara persoalan utama di kubur dan akhirat adalah tentang solat. Setia pada manusia ok. Setia pada Allah dan Rasul tetap kena lebihkan.

"Karlos" 
- Drama penuh kesedaran. Kejahatan akan tumpas. Kebenaran akan sentiasa menang. Masa belum mati, gengster samseng, curi, pecah rumah, pukul orang, rempit, bohsia, bohjan, hisap rokok, hisap shisha, hisap gam, pil khayal semua nak rasa, air setan semua nak teguk. "Masa muda ni lah nak cuba segala. Kenangan ni, bro." Bila dah tua jadi pemimpin pula, sibuk nak tipu org yg dipimpin. Korupsi, pecah amanah, rasuah, songlap. Ingatlah macam lagu Peter Pan dalam citer ni, "Tak ada yang abadi." Hebat mana pun kita, tinggi mana pun kita, kaya berkuasa mana pun kita, tetap ke lubang kubur. Masuk kubur dah tak boleh dabik dada dah, "Wei aku Genji lah! Langgar ah kalo berani!" Tak perlu langgar. Cukup dengan seekor lipan gajah sudah buat dirimu koma dalam lubang kubur.

"Tanah Kubur" 
- Ingatlah, Tok Adi sentiasa ada masa untuk mengapankan, memandikan, menyembahyangkan, menguburkan, melianglahadkan tuan-tuan dan puan-puan semua. Tok Adi dah pesan, "Mana-mana yang tidak bertamadun mintak LIKE dan FOLLOW di facebook, buat status lucah merapu, status poyo mintak kaki, letak gambar dedah aurat, letak gambar couple haram bercium berpeluk bagai, semuanya akan Tok Adi uruskan. Liang lahad semua dah ready. Tunggu masuk dan kambus je." Tok Adi ingatkan, dunia ni sementara je. Akhirat jua rumah abadi. "Bagi setiap orang di facebook ini, kain kapan dah ready. Call je Tok Adi."

Lubang kubur hari-hari kirim salam padamu. "Bilakah mahu bersatu?"

kredit: Muhammad Rusydi Rusydee Artz)

Jumaat, 23 Ogos 2013

Bagaimana Kita Selepas Ramadhan?


Saudaraku yang dicintai kerana Allah, Berlalunya Ramadhan bukan beerti bebaslah kita daripada menahan diri dalam melakukan perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Menjaga makan, minum, mata dan anggota badan yang lain daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan dosa tetap sama dijaga walaupun kita berada di bulan mana sekalipun. Ini jelas terakam di dalam Firman Allah SWT : “ Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat) “. Surah Qaf, ayat 18.

Raqib dan ‘Atiq tidak pernah berhenti daripada mengintip segala gerak geri kita untuk dilaporkan kepada Allah SWT dan kitalah yang bertanggungjawab dalam menjawab segala apa yang dicatat oleh mereka berdua. 

Syawal yang menjelma merupakah hadiah yang mahal daripada Allah SWT kepada orang-orang yang berpuasa untuk dirai dengan penuh kegembiraan kerana selama sebulan kita berjaya mendidik jiwa dan mengawal nafsu sehingga kita berjaya mendapat ijazah berpangkat “taqwa”. Sama ada semua di kalangan kita berjaya meraih pangkat tersebut atau tidak, maka yang terlebih layak untuk menjawabnya adalah diri kita masing-masing. Semoga segala amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan lepas mendapat nilaian yang terbaik dan diterima oleh Allah SWT.

Saudaraku yang dikasihi kerana Allah, Imam Hassan al Basri r.a ada menyebut : “ Tiadalah satu hari yang dilalui oleh seorang lelaki pada hari tersebut, akan ada seruan menyeru kepadanya dengan berkata : Wahai anak adam, aku adalah hari baru buatmu, amalanmu sebagai saksi. Maka rebutlah peluang dariku. Sesungguhnya aku tidak akan kembali lagi sehinggalah tibanya qiamat “. 

Oleh yang demikian sama-samalah kita penuhi hari-hari kita dengan amalan yang disukai oleh Allah SWT dan RasulNya agar kita tidak segan untuk kembali kepada Tuhan dengan hati yang tenang.

Latihan Bernilai 

Hari yang berlalu atas kita, sama ada sehari, dua minggu, mahupun sebulan, lalu apakah perkara yang kita isi di dalamnya? Apakah pengajaran yang kita dapat pelajari daripadanya? Sepanjang Ramadhan, kita dilatih supaya tidak makan dan minum bermula daripada terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari, lalu apa pula yang kita peroleh daripada peraturan ini? Sesungguhnya orang berakal ialah orang yang sentiasa menginsaf diri agar diari kehidupannya pada hari ini lebih baik daripada hari kelmarin dan diari untuk keesokan harinya terlebih baik dari hari ini.

Saudaraku yang dimuliakan Allah, Sebenarnya, latihan yang kita perolehi di bulan Ramadhan menjadikan kita lebih kuat dan tabah dalam mengharungi liku-liku sebuah kehidupan. Lapar mengajar erti kesabaran. Menjinakkan hati agar bersifat Qana’ah iaitu bersyukur dengan seadanya daripada nikmat pemberian Tuhan. Seluruh manusia mukmin menjadi sama rata. Si miskin tetap berpuasa. Si kaya juga tidak akan menjamu selera sehinggalah dikumandangkan azan maghrib, waktu untuk berbuka. 

30 Hari Sepanjang Latihan

Sepanjang 30 hari kita dilatih supaya mentaati Allah SWT. Kita berhenti daripada makan dan minum yang semuanya halal buat kita bermula terbit matahari sehinggalah tenggelamnya matahari barulah segala yang halal tadi kita kembali melakukannya. Kita makan lalu berhenti, makan kemudian berhenti sehinggalah sebulan berlalu..mengapa?

Sungguh Bulan Ramadhan telah melatih kita. Maka selepas Ramadhan seharusnya kita dapat menilai dan melihat apakah kejayaan yang kita perolehi sepanjang keberadaan kita di dalam latihan bulan yang mulia tersebut. Kenderaan yang dibaik pulih enjinnya tentu sekali meluncur lebih laju di jalan raya berbanding kenderaan yang belum dibaik pulih enjinya. Selama sebulan ‘enjin’ kita dibaik pulih, seharusnya sedikit sebanyak perlu ada perbezaan daripada sebelumnya. Tepuk dada, tanyalah Iman.


Sekiranya Quran yang mulia dapat dikhatamkan di dalam bulan mulia ini. Maka mengapa tidak dikhatamkan juga di dalam bulan-bulan yang lain. Apakah hanya Ramadhan memiliki bilangan hari yang lebih daripada bulan-bulan Islam yang lain. Atau barangkali sehari di bulan Ramadhan melebihi 24 jam??

Pemilik Ramadhan Juga Merupakan Pemilik Bagi Syawal 

Sekalian bulan mempunyai pemilik yang satu iaitu Tuhan Yang Esa. Sesiapa yang berbuat ibadat kerana Ramadhan sesungguhnya Ramadhan telah berlalu pergi, akan tapi sesiapa yang beribadat kerana Tuhan bagi Ramadhan sesungguhnya Tuhan bagi Ramadhan [Allah] itu Maha Hidup tidak akan mati.

Ketaatan Yang Berpanjangan 

Firman Allah SWT : “ Wahai orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasul ( Muhammad SAW ) ”. Surah Annisa’, ayat 59.

Kita diperintahkan oleh Allah SWT supaya taat perintahNya dan RasulNya tanpa mengira masa dan waktu. Ramadhan mahupun bulan lain. Taat kepada Allah dan Rasul semestinya berpanjangan dan berterusan sehingga kita semua menemui Allah.

Bersegera Untuk Tunai Solat Fardhu

Selepas Ramadhan pun kita seharusnya memakmurkan masjid-masjid khususnya pada waktu solat subuh bahkan kita mesti berlumba-lumba untuk memenuhkan saf yang pertama. Namun apa yang berlaku amat menyedihkan. Kemana menghilangnya mereka-mereka yang pernah memenuhkan masjid di dalam dan perkarangan masjid? Mengapa mereka tidak solat subuh berjemaah lagi?

Saudaraku yang dikasihi kerana Allah, Jangan sekali-kali kita mencipta jawapan untuk membalas balik pertanyaan ini. Kita bangun seawal pagi di bulan Ramadhan kerana ingin bersahur supaya dapat menahan letih di siang hari sedang Nabi Muhammad SAW bersabda : “ Bersahurlah kalian semua kerana padanya ada keberkatan ”.
Siapakah yang mengejutkan kita sebenarnya di awal pagi? Tentu sekali ‘sahur’ yang mengejutkan kita. Maka apakah kita tidak lagi bangun seawal pagi kerana sesudah Ramadhan kita tidak lagi dituntut bersahur?

Alangkah ruginya kita setelah mata kita begitu senang untuk celik dan tubuh semakin mudah untuk bangkit seawal pagi untuk bersahur di bulan Ramadhan, tiba-tiba kita memanjakan diri kita semula untuk bangun seawal pagi. Sepatutnya yang mengejutkan kita seawal pagi adalah ‘solat subuh’ bukan sahur yang hanya tertumpu di bulan Ramadhan sahaja sedang solat subuh itu sehingga hujung nyawa. Motivasi yang pernah diucapkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW : “ Barangsiapa yang solat isya secara berjemaah seumpama dia melakukan solat separuh malam, dan barangsiapa yang solat subuh secara berjemaah seumpama dia melakukan solat sepenuh malam ”

Hari Kemenangan 

Adakah Syawal yang kita rai ini untuk mereka yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan atau untuk mereka yang tidak solat sunat teraweh atau pun untuk mereka yang tidak pernah mendekatkan diri dengan Allah? Sekali-kali tidak!!
Hari kemenangan ini adalah semata-mata untuk mereka yang berpuasa dengan penuh taat, membaca Quran dengan penuh khusyuk, dan melakukan solat teraweh sepenuh ikhlas serta mereka yang membanyakkan kebajikan pada bulan Ramadhan. Oleh yang demikian kita sepatutnya bergembira dengan ketibaan hari yang bertuah ini.

Memelihara Ketaatan 

Kita semua diumpakan seperti mereka yang melakukan haji ke Baitullah. Pergi ke Mekah dengan penuh dosa dan kembali ke desa permai dalam keadaan dosa terampun. Maka berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kita supaya buku catatan amal kita senantiasa bersih daripada terpalit dengan dosa.

Segala Perbuatan Mesti Mengikut Niat 

Barangsiapa yang bersusah payah di dunia dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ibadat kepada Allah SWT dia akan merasai kerehatan yang sebenar di akhirat kelak serta menikmati Syurga yang kekal abadi. Imam Hassan al Basri r.a pernah menyebut beberapa kalimat yang masyhur : “ Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan kerehatan kepada orang mukmin kecuali di dalam Syurga ”.

Oleh itu bertakwalah kepada Allah dengan sepenuh hati, taatilah perintahNya serta tahanlah diri kita daripada menyakiti sesama Islam. Lidah begitu mudah menutur kata akan tetapi pastikan ianya bermanfaat untuk Islam. Begitu juga langkahan kaki dan hayunan tangan kita pastikan bahawa pergerakan itu mampu memberi saham dalam neraca amalan kebaikan buat kita. Insya Allah.

Saudaraku yang dicintai kerana Allah, Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menghitung amalan kita seharian agar kita tidak termasuk dalam golongan yang dimurkai oleh Allah SWT. Umur semakin berkurang sedang amalan tidak bertambah. Di kala peluang yang diberikan oleh Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih ini, gunakanlah sebaik mungkin dengan memperbanyakkan syukur atas segala nikmat dan bertaubat atas segala maksiat yang dilakukan secara sengaja atau tidak. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ahad, 4 Ogos 2013

Rahsia Siak Mati Keadaan Bersujud Dikisahkan Isterinya


Alhamdulillah…Muslimat TJ telah menziarahi balu Allahyarham siak surau Taman Desa Surada pagi tadi. 

Satu pertemuan yang cukup menginsafkan, memanggil diri untuk bermuhasabah tentang kehidupan yang telah dikemudi selama ini.

Beberapa mutiara keikhlasan, zuhud kecintaan kepada Allah dan Rasul yang dapat dikutip dari perkongsian kak Mar (balu) untuk tatapan bersama…

Allahyarham bersara awal pada umur 40an. Sejak itu Beliau bersama-sama bekerja untuk jamaah dan bertugas sebagai siak surau di Taman Desa Surada. Surau itu menjadi rumah kedua malah menurut kak Mar mungkin lebih dari rumahnya sendiri.

Allahyarham seorang yang berpegang kepada kata-kata ustaz dalam ceramah2 dan kuliah yang diikutinya. 

Oleh kerana itu beliau:

  1. Tidak pernah meninggalkan solat berjamaah di surau walaupun hujan beliau tetap ke surau dengan menaiki motor dan berpayung. 
  2. Sentiasa membaca Al Quran, tidak pernah ketinggalan dalam hari2 kehidupan beliau. Di surau itu lah tempat beliau berjamaah, mengaji dan membersihkan surau. 
  3. Menyampaikan apa yang didengar ketika kuliah kepada anak-anak dan sentiasa berpesan supaya tidak meninggalkan solat dan mengerjakannya diawal waktu, kalau berkesempatan berjamaah di surau. 
  4. Berpesan supaya rajin membaca Al Quran kerana kata Allahyarham kepada anak2nya Al Quran ini lah yang akan menemani kita dan membantu kita kelak. 
  5. Kata beliau lagi jangan sibuk2 harta dunia kerana hanya 3 benda sahaja yang kita bawa bila mati – “ayah tidak ada harta nak infaq, ini lah saja…. ke surau berjamaah, membaca Al Quran, bertugas membersih dan menjaga surau…. (amal soleh…. & insya Allah anak2 beliau yang soleh). 
  6. Kurang melayan kehendak dunia – tidak suka berjalan jauh2 kerana kata Allahyarham nanti solat jamaah beliau (surau) macamana pula… 

Itu lah antara amalan beliau yang istiqamah kerana Allah. Beliau tidak bekerja lagi walaupun bersara awal kerana nak menghabiskan sisa hidup dengan beramal soleh.

Beliau pernah berkata rentetan peristiwa kematian di Mekah / Madinah (tidak berapa ingat) yang meninggal dalam keadaan sujud…. kata beliau….orang biasa macam kita tidak boleh dapat ke macam tu….maka hajat dan doa beliau dimakbulkn Allah SWT. Rakan beliau yang pernah mendengar beliau berkata begitu menangis mengenangkan kata2 Allahyarham.

Kata kak Mar hujan renyai2 ketika jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Jenazah beliau pun lembut semasa diluruskan & ditanggalkn pakaian untuk dimandikan dan seperti tidur.

Melihat kepada kak Mar yang sederhana dan lembut orangnya… yang sentiasa menolong suami membersih surau (kerja kak Mar basuh toilet), saya dapat merasakan ketenangan dalam keluarga ini.

Hanya kak Mar sedikit terkilan kerana hari itu…rutin hidup seperti biasa tanpa Allahyarham menunjukkan tanda2 kelainan dan kak Mar tidak banyak bercakap dengan suami beliau sebelum keluar mengambil anaknya…. dan tiada di sisi ketika Allahyarham pergi. Tapi beliau redha atas ketentuan Allah dan urusan jenazah pun dipermudahkan Allah SWT… Al fatihah…

Semoga kita yang hidup beroleh iktibar dalam melayari bahtera kehidupan yang singkat ini. Bila-bila masa kita akan dipanggil pergi mengadap Maha Pencipta.

-Mati begini di sebut mati dalam husnul khatimah, yang diimpikan oleh setiap muslim-

sumber: http://greenboc.blogspot.com/

Jumaat, 2 Ogos 2013

MASUKLAH KE DALAM GOLONGAN YANG SEDIKIT




















PADA ZAMAN SAYYIDINA UMAR AL-KHATTAB R.A, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah, yang maksudnya: “YA ALLAH! MASUKKANLAH AKU DALAM GOLONGAN YANG SEDIKIT”... Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah... Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut...

Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: “KENAPAKAH ENGKAU BERDOA SEDEMIKIAN RUPA (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), APAKAH TIADA PERMINTAAN LAIN yang boleh engkau mohon kepada Allah?”... Pemuda berkenaan menjawab: “Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan KERANA AKU (BERASA) TAKUT DENGAN PENJELASAN ALLAH SEPERTI FIRMAN-NYA DALAM SURAH AL-A’RAAF AYAT 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi penghidupan.... (TETAPI) AMAT SEDIKITLAH KAMU BERSYUKUR.” Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit itu, KERANA TERLALU SEDIKIT ORANG YANG TAHU BERSYUKUR KEPADA ALLAH” jelas pemuda berkenaan.... Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab r.a. menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: “WAHAI UMAR, ALANGKAH JAHILNYA ENGKAU, orang ramai lebih alim daripadamu”... 

SEMEMANGNYA BENAR, dalam kehidupan ini AMAT SEDIKIT ORANG-ORANG YANG MENSYUKURI NIKMAT Allah dengan sebenar-benar syukur, kerana kebiasaannya SEMAKIN BANYAK NIKMAT YANG DITERIMA, dia akan SEMAKIN SOMBONG DAN INGKAR kepada sesama makhluk dan kepada Allah SWT....

1] وَمَا ظَنُّ ٱلَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلنَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَشْكُرُونَ
"Apakah dugaan orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah pada hari kiamat? Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia (yang dilimpahkan) atas manusia, tetapi KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENSYUKURI(nya)..”.. (Surah Yunus [60])....

2] وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنشَأَ لَكُمُ ٱلسَّمْعَ وَٱلْأَبْصَٰرَ وَٱلْأَفْـِٔدَةَ ۚ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ
“Dan Dialah yang telah menciptakan bagi kamu sekalian, pendengaran, penglihatan dan hati... AMAT SEDIKITLAH KAMU BERSYUKUR..”.. (Surah Al-Mu'minun [78])...

3] وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلنَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَشْكُرُونَ
“Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai kurnia yang besar (yang diberikan-Nya) kepada manusia, tetapi KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENSYUKURI(NYA)... (Surah An-Naml [73])...

Isnin, 1 Julai 2013

11 Bulan Untuk Merosakkan 1 Bulan


Kesian syaitan... Dalam setahun, 11 bulan mereka berhempas-pulas berusaha menghasut nafsu kita supaya leka dan lalai. Ini semua semata-mata sebagai persiapan untuk baki 1 bulan lagi yang dinamakan sebagai bulan Ramadhan dimana syaitan-syaitan pada masa itu akan dibelenggu. Mereka tidak akan biarkan manusia melakukan kebaikan walau satu saat, apatah lagi sebulan. Maka 11 bulan itu lah masa yang digunakan oleh syaitan untuk 'mendidik' nafsu agar lalai dan leka semasa di dalam bulan Ramadhan.

Berapa ramai agaknya daripada kita yang menghargai bulan Ramadhan? Dan berapa ramai agaknya yang benar-benar gembira akan kedatangan bulan Ramadhan dan tidak sabar-sabar untuk menemuinya? Tidak kurang daripada kita yang mula berasa susah hati apabila Ramadhan hampir tiba, tidak kurang jugak yang berkata: "Aduh.... Boring la hari-hari berlapar.. Sebulan plak tuh!!!" dan macam-macam alasan lagi...

Ya, itulah tandanya syaitan sudah berjaya 'mendidik' nafsu kita. Selama sebelas bulan, syaitan menggoda manusia agar makan banyak-banyak, minum banyak-banyak, melecehkan amalan-amalan harian yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam, mengumpat dan mencaci, dan sebagainya, sehingga akhirnya apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, kita mengeluh. Mengeluh kerana dah tak boleh dah makan banyak-banyak siang malam, tak boleh dah bercampur gaul dengan kawan-kawan yang suka mengumpat, nak kena pergi sembahyang tarawikh (kalau tak pergi orang kata apa pulak kan) dan sebagainya.

Alangkah ruginya kita dan betapa berjayanya syaitan menghasut hati kita supaya menurut hawa nafsu yang diusahakan oleh syaitan selama 11 bulan untuk merosakkan 1 bulan umat Islam di bulan Ramadhan! 

Manakan tidak. Pada hari-hari biasa (yang bukan dalam bulan Ramadhan), amalan kita cumalah ala kadar sahaja. Lebih-lebih lagi apabila kita tidak berusaha langsung memperbaiki amalan-amalan kita. Pendek kata, kita tidak pernah berusaha menundukkan hawa nafsu untuk patuh pada syariat, dan hidupkan hati dengan amalan-amalan soleh. Sebab itu kita lemah, mudah dipengaruhi syaitan.

Bayangkan 11 bulan nafsu kita dihasut, yang akhirnya akan merosakkan 1 bulan Ramadhan yang mana disitulah bulan untuk mempertingkatkan amalan, bulan keampunan, bulan yang penuh dengan keberkatan yang luasnya seluas langit dan bumi... Pada bulan itulah umat Islam sepatutnya benar-benar berusaha dan berlumba-lumpa melipatgandakan amalan-amalan untuk memperoleh pahala yang berlipat-lipat kali ganda. Apatah lagi jika kita melakukan amalan-amalan soleh itu sehingga beroleh rahmat Allah dan diampuni oleh Allah SWT. Tapi bagi hatinya yang telah 'dididik' oleh syaitan, Ramadhan hanya tinggal Ramadhan, ia dibiarkan berlalu begitu sahaja; disia-siakan. Mungkin seminggu dua saja dia bersemangat untuk berpuasa, solat tarawikh 20 rakaat, tadarus Al-Quran, bersedekah dan sebagainya, tapi lepas tu LEMBIK... Kerana 11 bulan kita diberikan masa untuk memperbaiki amalan sebagai persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan, tapi akhirnya kita gagal.

Jadi, jangan biarkan syaitan menipu kita lagi. Jangan biarkan hati kita dididik oleh syaitan untuk merosakkan 1 bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu bulan Ramadhan. Biarkan syaitan-syaitan berpenat lelah berhempas pulas memujuk nafsu kita, jangan kita turutkan hawa nafsu.

Kesian syaitan, kan? Hah! Peduli apa..?

Khamis, 20 Jun 2013

Dosa Umpat Kekal Jika Tak Diampun Mangsa



MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, "mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim). 

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat.

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).

Pahala Kita Menjadi Milik Orang, Dosa Orang Menjadi Milik Kita 

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". 

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya" .

Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.


Kenapa manusia boleh terjerumus ke dalam perangkap ghibah (mengumpat) ?

1. Lemah iman dan tidak takut kepada Allah. Seseorang yang lemah imannya, tidak akan mampu mengawal dan menguasai lidahnya.

2. Berkawan dengan orang yang suka mengumpat. Lantaran itu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengingatkan kita agar mendampingi orang yang baik-baik. Sabda baginda (maksudnya): “Seseorang itu mengikut cara hidup teman rapatnya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa teman rapatnya.” (Riwayat At-Tirmizi)

3. Dengki dan iri hati. Dengki merupakan penyakit hati yang terpendam di dalam diri seseorang. Orang yang dengki tidak senang hati melihat orang lain memperoleh nikmat daripada Allah dan bercita-cita agar nikmat tersebut segera hilang, malah kadang-kadang mendorongnya berusaha dengan langkah-langkah tertentu untuk menghilangkannya.

4. Cintakan dunia dan berlumba-luma untuk meraih keuntungannya. Al-Fuadhil bin Iyadh pernah berkata: “Tiada seorang pun yang cintakan pangkat kecuali dia akan berdengki, berbuat zalim, mencari-cari keaiban manusia dan tidak suka kebaikan orang lain disebut.” Sesetengah orang tidak melihat kecuali dirinya. Dia suka mengangkat dirinya dan menyebut keaiban orang lain.

5. Tidak tahu mengisi masa lapang. Sesetengah manusia berasa seolah-olah dia mempunyai banyak masa lapang dan tidak tahu mengisinya dengan perkara yang berfaedah. Lalu masa itu diisi dengan percakapan kosong sehingga terbawa-bawa kepada mengumpat dan mengorek rahsia orang lain.

Selamatkan diri daripada dosa ini dengan:

1. Takut kepada Allah pada setiap masa dan tempat. Bertakwa kepada Allah membantu kita berhenti daripada mengumpat dan dapat menghapuskan dosa-dosa lalu. Firman Allah bermaksud: “...Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan membesarkan pahala balasannya.” (At-Talaq: 5)

2. Sibukkan diri dengan membaiki kelemahan sendiri, jangan asyik memerhati kelemahan orang lain. Bak kata seorang penyair: “Perhatikanlah dirimu dan periksa kelemahannya; biarkanlah kekurangan manusia itu diurus oleh mereka.”

3. Membaca sirah para sahabat dan salaf as-soleh serta mendampingi orang-orang yang baik. Dengan itu kita dapat mencontohi akhlak mereka. Kata seorang penyair: “Tirulah mereka walaupun kamu tidak seperti mereka; sesungguhnya meniru seseorang tokoh akan membawa kejayaan.”

4. Muhasabah diri dan mencelanya ketika ia melakukan kesalahan. Itu merupakan cara yang dianjurkan untuk membaiki kesilapan diri.

5. Sentiasa menyedari kepentingan taubat daripada dosa ghibah dan sentiasa menanam azam untuk tidak melakukannya. Minta maaf daripada orang yang pernah kita umpat dan mohon ampun kepada Allah untuk diri sendiri dan untuk kaum Muslimin seluruhnya.


Moga-moga Allah memelihara lidah kita daripada ghibah dan menyelamatkan kita daripada fitnah dunia dan akhirat.

Isnin, 6 Mei 2013

Kemenangan Adalah Milik Allah


Menang dengan bergaya, atau menipu sampai berjaya. Kalah dengan mulia, pendam seribu duka. Semuanya berlaku di atas qudrat dan iradat Allah SWT. Perhitungan dan formula Allah tak tercapai oleh akal manusia. Usah ditanya mengapa ditakdirkan Allah begitu begini. Ikhtiar diberikan kepada makhluk, tadbir urusan Sang Khaliq, Teruskan ikhtiar, kemenangan hakiki terletak di negeri abadi. Hanya bersama Allah ia boleh dikecapi. 

Kemenangan adalah milik Allah. Jika Dia belum mahu memberikannya kepada kita, maka kita takkan pernah memperolehnya. Kita selalu tertipu. Merasakan bahawa kemenangan itu milik kita, hak kita, bahawa dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, kita pasti menang. Sehinggakan kita terkeliru, tersilau mata. Memfokuskan kepada kemenangan, bukan pada amal dakwah yang berterusan.

Kita harus memahami realiti dakwah. Ia bersifat Robbani. Kita menyeru manusia kepada Allah, menegakkan hukum-hukum Allah. Dakwah ini bukan milik kita, ia adalah amanah. Amanah yang wajib kita sandarkan kepada-Nya. Apabila Dia menentukan bahawa sudah tiba masanya kita menang, maka pasti tidak ada yang dapat menghalang. Jika masih belum nampak bibit-bibit kemenangan, kita harus terus beramal dan berjihad tanpa sedikitpun meragui akan kehendak Allah.

Maka kemenangan, adalah sebuah anugerah Allah. Apabila Allah memberikannya kepada kita, itu bererti sudah selayaknya kita memperolehnya. Jika belum, ertinya kita belum layak memperolehnya. Boleh jadi kesediaan kita belum cukup untuk menggalas segala amanah-amanah pasca kemenangan tersebut. Maka masa, bukanlah sebuah indikator sesebuah kemenangan. Sekalipun sebuah perjuangan itu memakan masa puluhan tahun, bahkan ratusan tahun, belum menjadi penguat bahawa kita harus menang kerana ia adalah sebuah ketentuan Allah!

Kita tahu bahawa kita bukan pemula sebuah perjuangan menegakkan agama Allah. Kita adalah penerus kepada tali-tali rantainya. Dan hujungnya belum tentu kita. Kita mungkin akan bisa merasa kemenangan tersebut, atau kita mungkin mati sebelum tertegak agama ini di seluruh pelusuk bumi. Apa yang paling penting, kita mengambil posisi penerus dakwah yang tidak kenal henti berjuang dan tidak menggantungkan usaha kepada hasil.

Taujih Robbani itu selalu menyeru kita agar ikhlas dalam perjuangan. Tidak merasa besar dengan amal kita, tidak menggantungkan kekuatan pada jumlah kita. Lihat sahaja dalam kisah perang Hunain ketika Umat Islam itu ramai, namun Allah memberikan pelajaran dengan menangguhkan kemenangan untuk Umat Islam. Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu diwaktu kamu menjadi bongkak karana banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai." [At-Taubah: 25]

Sudah tiba masanya kita tidak bermain-main dalam melaksanakan dakwah kerana Allah. Ketika Allah memilih kita untuk diberikan nikmat besar ini, janganlah kita mengabaikan dan menolaknya lalu menjadikannya sebagai tugas sampingan. Takut-takut apabila sampai masa kemenangan, kita tidak berada bersama-sama dalam angkatan yang memperjuangkannya.

Bersyukurlah, apabila Allah terus memberikan kesempatan dan ruang untuk kita beramal. Jangan dirisaukan akan kemenangan dan jangan dijadikan ia pelemah kepada amal, kerana KEMENANGAN ADALAH MILIK ALLAH!

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat". [An-Nasr: 1-3]

Kemenangan besar yang kita semua inginkan adalah kita mati dalam keadaan Allah meredhai kita, bahkan lebih istimewa kita gugur ketika sedang melaksanakan tugas-tugas dakwah.

Wallahua'lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...